Big Show pengikut setia Frank, Dean dan Sammy


BIG Show dianggap sebagai atlit paling besar pernah menampilkan bakat dalam World Wrestling Entertainment (WWE), seseorang yang dianggap serba boleh kerana kepintaran, karisma dan keupayaannya walaupun mempunyai tubuh badan bak gergasi.

Sejak memulakan kerjaya WWE pada 1999, Big Show yang mempunyai ketinggian melebihi tujuh kaki itu tidak menghadapi masalah menumpaskan lawannya dengan chokeslam yang menggegarkan arena di samping pernah menjuarai pelbagai gelaran WWE.

Disebabkan saiz badannya, Big Show pada mulanya menaruh cita-cita untuk menyerlah dalam profesion bola keranjang. Malah, dia pernah menarik perhatian ramai ketika beraksi dalam liga Wichita State.

Tapi Big Show lebih menerima perhatian dalam WWE, apabila bertanding dalam St Valentine’s Day Massacre buat kali pertama. Sembilan bulan kemudian, dia memenangi Kejohanan WWE buat julung kali, menewaskan The Rock dan Triple H dalam Triple Threat Match. Sejak itu, Big Show tidak lagi menoleh ke belakang.

Tapi di sebalik menyemat rasa takut di hati pencabarnya dan mengundang rasa kagum peminatnya dengan penampilan singlet hitam dan butnya, Big Show sebaliknya menampilkan perwatakan berbeza di luar gelangang.

Ini kerana Big Show adalah peminat setia Frank Sinatara, Dean Martin dan Sammy Davis Jr - yang dianggap sebagai kumpulan Rat Pack.

“Memang saya peminat era Rat Pack,” katanya. “Saya gemarkan Frank, Dean, Sammy, Joey Bishop dan Peter Lawford. Saya sudah menonton semua lakonan mereka.”

Sebagai kumpulan legenda penghibur yang menonjol di Las Vegas pada lewat 1950an dan awal 60an, kumpulan Rat Pack itu pernah muncul dalam filem seperti 'Ocean's Eleven' dan 'Robin and the Seven Hoods' selain membuat persembahan di kasino seperti The Sands. Mereka juga dikenali kerana gaya hidup yang suka berpesta dengan cerita bagaimana mereka menghabiskan waktu malam hari masing-masing menjadi bahan bualan.

“Bagi saya, mereka seperti begitu seronok menghabiskan waktu malam di Hollywood. Mereka berpesta dengan wani-ta yang paling cantik dan keluar bersama orang yang paling penting. Bagi saya, anda pasti tidak akan kecewa jika keluar bersama Dean Martin dan Frank Sinatra,” katanya.

Mungkin kenyataan itu agak luar biasa kerana ahli gusti yang ditonton setiap minggu dalam SmackDown! dengan gaya hebat begitu berminat dengan cara hidup bebas dan berfoya-foya. Apa yang lebih di luar jangkaan ialah Big Show turut berminat dengan muzik yang didendangkan kumpulan Rat Pack itu.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768