Bermula pingat emas Olimpik, Angle kini bergelar bintang


KURT Angle mula mendapat perhatian pada 1996 apabila menjadi rakyat pertama Amerika Syarikat menjuarai pertandingan gusti gaya bebas kategori 100kg di Sukan Olimpik Atlanta. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan kemenangan itu sebagai pengorak langkah buat Angle ke arah pencapaian yang lebih gemilang.

Empat tahun selepas memenangi pingat emas Olimpik, Angle yang mempunyai pengalaman bergusti selama 23 tahun dan memenangi hampir 200 pertandingan, termasuk Kejohanan Dunia 1995 dan Terbuka Amerika 1994, mula menyertai WWE buat kali pertama.

Dia memenangi pingat emas gusti profesional buat julung kali dengan menewaskan The Godfather. Dan selepas itu Angle terus memenangi satu demi satu pertandingan bagaikan tiada apa yang boleh menahannya.

Hanya beberapa minggu selepas menyertai WWE, Angle sudah meraih takhta juara Eropah. Tidak lama kemudian dia cemerlang pula di Intercontinental Championship sebelum turut memenangi 2000 King of the Ring.

Sejurus selepas itu, Angle mengalahkan The Rock dalam pertarungan No Mercy untuk menjuarai WWE Championship - pencapaian yang dianggap besar bagi seorang ahli gusti baru! Kemenangan itu meletakkan Angle sebagai antara ahli gusti paling baik pernah dilahirkan dalam tempoh yang singkat.

Sejak itu, Angle terus menguasai setiap pertandingan yang disertainya selain turut membentuk sebuah pasyukan tag team yang membabitkan ahli gusti muda. Kumpulan mereka dikenali sebagai Team Angle yang akhirnya memegang tali pinggang tag team sebagai `The Worldís Greatest Tag Teamí.

Apapun, pengalaman paling berharga buat Angle hadir pada tahun lalu apabila lehernya patah ketika bertarung dengan Brock Lesnar dalam WrestleMania - pertarungan yang paling diingati peminat gusti. Ketika itu kerjaya gustinya bagaikan di hujung tanduk, tapi Angle memilih untuk menjalani pembedahan yang menggunakan teknik baru sehingga membenarkannya kembali semula ke gelanggang hanya dalam tempoh dua bulan dan bukannya setahun seperti diramal.

Dan langkahannya ke gelanggang itu disambut dengan tepukan bergemuruh peminat, sekali gus menjadikannya penghormatan terbesar pernah diberikan kepada seseorang ahli gusti dalam sejarah WWE. Selepas itu apa yang terjadi? Tekaan anda memang tepat - Angle akhirnya memenangi semula takhta WWE Championship daripada Lesnar!

Perseteruan Lesnar-Angle bagaimanapun tidak berakhir di situ saja, sebaliknya menghasilkan beberapa siri pertarungan menarik yang akan tetap tersemat di sanubari peminat gusti untuk tempoh yang panjang.

Data EPG

KURT ANGLE

TINGGI: 159sm
BERAT: 100kg
ASAL: Pittsburgh
GERAKAN PEMUSNAH: Angle Slam/Ankle Lock
KEMUNCAK KERJAYA: Juara WWE; Juara WWE Tag Team; Juara Intercontinental; Juara Europah; Juara Hardcore; 2000 King of the Ring



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768