Topeng bantu Mysterio jadi legenda


TIADA ahli gusti cruiserweight di dunia ini yang berjaya memikul reputasi seperti mana Rey Mysterio Jr. Sebagai ahli gusti yang pernah bertarung di seluruh dunia, Mysterio Jr yang namanya membawa maksud 'Raja Misteri' yang dianggap menghiburkan, tenang dan antara yang terbaik dalam WWE.

Apa tidaknya, sejak mula menceburi arena gusti pada 1990, Mysterio Jr dianggap sebagai pencipta revolusi gusti profesional, terutama dengan topeng yang dipakainya hingga dianggap membantunya menjadi legenda.

Kebanyakan kredit memberi pujian kepada Mysterio Jr kerana kehebatan yang dicetuskan 'insan kerdil' itu melalui gerakan menariknya di udara serta pelbagai pergerakan yang pada dasarnya memang tidak boleh diterima akal.

Pergerakan itu dipamerkannya dengan baik ketika menentang rakannya yang berada dalam kategori sama cruiserweights atau sewaktu menentang mereka yang bertubuh besar. Justeru bagi peminat, tiada ahli gusti di dunia ini yang boleh bergusti seperti Mysterio Jr.

Mempunyai nama sebenar Oscar Gonzales, dia dilahirkan 29 tahun lalu di Amerika Syarikat. Kelahirannya itu sekali gus membantu ibu bapanya mendapat kerakyataan Amerika yang turut menjamin kehidupan lebih selesa. Tapi Gonzales kerap pulang ke Mexico kerana mempunyai banyak sanak-saudara di negara itu sebelum membesar di bawah bayangan pak ciknya yang juga ahli gusti profesional, Rey Mysterio Sr.

Berbekalkan kebenaran ibu bapanya, Gonzales, yang turut menggunakan nama 'Colibri' yang membawa maksud `Hummingbird', mula berlatih di bawah tunjuk ajar pak ciknya pada usia 13 tahun sebelum bertarung buat kali pertama dua tahun kemudian. Tapi lantaran saiznya yang kecil, dia terpaksa beraksi menentang ahli gusti kerdil.

Pada mulanya, dia bergusti di bawah nama samaran 'Super Nino', sebelum akhirnya menggunakan nama Rey Mysterio Jr, selepas mendapat persetujuan pak ciknya.

Selepas bergusti untuk beberapa tahun, kebanyakannya dalam pertandingan kecil bagi mempelajari dan memahirkan diri dengan teknik dan taktik sukan itu, Mysterio Jr mula membuatkan kehadirannya dirasai apabila menyertai persekutuan baru Mexico, Asistencia Asesoria y Administracion (AAA).

Ketika itu, nama Mysterio Jr mula meletup dan mencuri hati penonton dengan corak bergustinya di tengah gelanggang. Kehebatannya terserlah apabila memenangi takhta welterweight AAA sebanyak lima kali dan light-heavyweight AAA (dua kali), kebanyakannya dengan bertarung menentang mereka yang dia pernah berlatih bersama seperti Konnan, Juventud Guerrera dan Psicosis.

Mysterio Jr turut bergusti dalam WWA, menjuarai lightweight WWA (tiga kali), welterweight WWA (tiga kali) serta turut meraih takhta Tag-Team WWA dengan Rey Mysterio Sr.

Pada penghujung musim luruh 1995, Mysterio Jr memulakan perjalanan jauh ke Amerika apabila bakat semula jadinya dikesan oleh Paul Heyman dengan menyertai Extreme Championship Wrestling (ECW). Di ECW Mysterio Jr kemudian meneruskan kesinambungan perseteruan dengan musuh lama, terutama Psicosis.

Setahun kemudian Mysterio Jr akhirnya mencapai kemasyhuran yang dicari-carinya. Pada awal 1996, pegawai daripada World Championship Wrestling diberitahu mengenai Mysterio Jr oleh salah seorang bintang mereka, Konnan. Mereka kemudian menghubungi Mysterio Jr yang membuktikan keunggulannya dengan menampilkan bakat terbangnya untuk menguasai takhta cruiserweight di World Championship Wrestling.

Selepas itu segala-galanya adalah sejarah buat Mysterio Jr.

Data EPG

REY MYSTERIO, Jr

NAMA SEBENAR: Oscar Gonzales
TARIKH LAHIR: 12.12.1974
TINGGI: 161sm
BERAT: 74kg
NAMA LAIN: Colibri (Mexico), Super Nino (AAA)
CEBURI GUSTI: Sejak 1990
GERAKAN PEMUSNAH: The 619, West Coast Pop, Dropping The Dime, Bronco Buster
PENCAPAIAN:
  • Juara Cruiserweight WWE (enam kali)
  • Juara Tag Team WWE
  • Juara Cruiserweight WCW
  • Juara World Tag Team WCW
  • Juara World Cruiserweight Tag Team WCW



  • Artikel lain:

    Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
    Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768