Razi FC, Fimikha terbaik di Kedah

Oleh Mohd Badlishah Mohd Ali


16 daripada 32 pasukan sudah pun layak beraksi ke grand final di HTO de Futsal, Subang Jaya, 27 Julai depan

SEBANYAK 52 pasukan menunjukkan aksi hebat masing-masing bagi merebut dua tempat terbaik mewakili Kedah beraksi di peringkat grand final pada Karnival Futsal Milo Hidup Bola B-16 2008 yang berlangsung di WNS Sports Centre & Hostel, Alor Star, Sabtu, minggu lalu.

Siri ketujuh kali ini membawa tuah kepada skuad futsal Razi FC apabila muncul juara selepas menewaskan Fimikha FC 2-0 pada aksi final.

Persembahan bertenaga serta sokongan padu penyokong sudah cukup buat Razi FC membawa pulang wang tunai RM1,000, pingat, Milo serta barangan sukan Figos. Fimikha FC terpaksa berpuas hati selaku pasukan kedua terbaik karnival menerima wang tunai RM800, pingat serta barangan Figos.

Kedua-dua finalis ini akan mewakili Kedah beraksi di peringkat grand final pada 27 Julai depan di HTO de Futsal, Subang Jaya, Selangor.

Sebelum itu pada peringkat separuh akhir, Razi FC membenam cabaran skuad Akademi MBAS 2-0 manakala Fimikha FC menang tipis ke atas pasukan Kilat FC. Penentuan tempat ketiga-keempat menjadi milik Akademi MBAS selepas mengalahkan Kilat FC 1-0. Hadiah pemenang tempat ketiga-keempat disampaikan Pengarah Urusan WNS Sports Centre, Wan Haron Wan Hamid manakala juara dan naib juara disampaikan Pegawai Operasi Nestle Kawasan Alor Star, Syed Abu Bakar Ahmad.

Sementara itu, satu pasukan pilihan yang masih belum menunjukkan aksi meyakinkan, D’Futsal FC dari Perlis masih berusaha untuk layak ke peringkat grand final. Sebelum ini mereka sudah dua kali beraksi pada peringkat suku akhir iaitu siri kelima di Perlis dan yang terbaru di Kedah.

Pengurus D'Futsal, Ramli Jusoh berkata beliau sentiasa menilai prestasi anak didiknya agar sentiasa meningkatkan prestasi masing-masing jika ingin menempa kejayaan pada kejohanan ini.

“Saya sentiasa berpesan kepada mereka beraksi pada karnival futsal ini, kekuatan mental serta mengekal stamina adalah penting kerana sebelum ini kami gagal kerana kerap leka pada saat-saat akhir sehingga dihukum pasukan lawan,” katanya.

“Kemungkinan kami akan mencuba nasib di Pulau Pinang pada 7 Jun ini dan saya yakin pemain kami mampu beraksi lebih baik daripada siri sebelum ini,” katanya.

Pengarah kejohanan, Datuk Dina Rizal berkata sambutan pemain serta ibu bapa pada karnival futsal tahun ini sangat memuaskan di mana penyertaan pasukan di semua gelanggang melebihi kuota.

“Sambutan kali ini ternyata hebat, ini menunjukkan sukan futsal semakin popular di kalangan remaja begitu juga pengbabitan ibu bapa yang datang memberi dorongan kepada anak mereka,” katanya.

Pengurus Pemasaran Sukan Nestle, Ng Ping Loong, turut mengakui sambutan karnival futsal tahun ini meningkat daripada tahun sebelumnya.

“Saya berharap penyertaan pasukan akan bertambah lagi pada siri-siri akan datang dan semua pasukan berpeluang beraksi di peringkat grand final seterusnya berkemungkinan mereka layak ke Old Trafford, tuah manusia mana kita tahu,” katanya.

Siri kelapan Karnival Futsal Milo Hidup Bola B-16 akan berada di Masterscaff Indoor, Paka, Terengganu Sabtu ini bagi mencari dua lagi wakil Pantai Timur.

FAKTA
NAMA KEJOHANAN: Karnival Futsal Milo Hidup Bola B-16 2008
PESERTA: Bawah 16
LOKASI: WNS Sports Centre, Lot 119, Kuala Sungai, Alor Star
PEMENANG: Juara - Razi FC
Naib juara - Fimikha FC
Ketiga - Akademi MBAS
Keempat - Kilat FC
LAMAN WEB: www.milo.com.my
www.syoknyafutsal.com


Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768