MILO terap seni futsal



KEMPEN Membesar Bersama Milo melalui penganjuran Klinik Futsal bawah 12 tahun adalah satu pendekatan yang seharusnya membuka mata banyak pihak dalam usaha membangunkan budaya sukan, melatih kanak-kanak bermula di peringkat asas. Klinik Futsal yang diadakan selama dua jam setiap sesi disusuli pertandingan futsal nyata mencapai sasaran awal menerap minat kanak-kanak untuk mengetahui lebih banyak selok belok ilmu futsal.

Kini, kempen itu akan memasuki fasa ketiga menjelang 12 November ini selepas fasa pertama di Kuala Lumpur (31 Ogos) dan Melaka (17 September) sudah mencapai sasaran masing-masing.

Apa yang nyata, sasaran untuk mendapatkan 48 pasukan pertama mendaftar bukannya satu halangan besar buat Milo dan penganjur.

Lebih menarik setiap pasukan disertai pelbagai kaum dengan dihadiri ibu bapa sebagai tanda sokongan pada program anjuran Nestle Malaysia dalam usaha membangunkan budaya sukan dan melatih kanak-kanak dalam bidang sukan di peringkat umbi.

Akademi bola sepak, kelab-kelab dan sekolah cukup memainkan peranan dalam menjayakan kempen itu.

Ada antara mereka yang menghantar sehingga empat pasukan yang membuktikan betapa ramainya pemain muda yang berminat dalam sukan futsal.


Pengurus Pemasaran Sukan Nestle, Ng Ping Loong berkata, klinik futsal dikendalikan jurulatih berkelayakan diketuai Zakaria Ismail dan beberapa pemain futsal kebangsaan. Perlawanan antara pasukan turut diadakan secara round robin dengan tiga pasukan terbaik menerima hadiah sumbangan Milo.

“Sukan dan pelajaran boleh disatukan kerana badan yang kuat melahirkan minda cerdas dan paling penting sukan dapat membentuk nilai murni dalam diri kanak-kanak serta kekuatan, disiplin, kerjasama, pemimpin, dedikasi, memiliki sikap kesukanan dan sanggup bersatu dalam menghadapi cabaran besar.

“Klinik kembali ke peringkat asas ini diadakan bagi menarik minat kanak-kanak untuk menyertai sukan dengan memahami teknik asas permainan,” katanya.

Ketika berlangsungnya pusingan awal di Sports Planet Ampang Jaya dan Sports Planet Cheng, Melaka, ada antara pasukan bertanding datangnya dari Melaka, Johor, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Walaupun pusingan di tempat mereka akan diadakan selepas ini, mereka seolah-olah tidak sabar untuk menyertai kempen ini - suatu yang positif.

Menurut ketua jurulatih klinik futsal, Zakaria sepanjang tempoh itu peserta didedahkan dengan pelbagai teknik asas termasuk skil kawalan bola, teknik menendang dengan tepat, menggelecek, serta asas penjaga gol.

“Di peringkat usia bawah 12 tahun, mereka perlu didedahkan ilmu asas futsal kerana mereka mempunyai memori cukup kuat dan mudah memahami arahan jurulatih."

Dengan bayaran cukup rendah, cuma RM20 setiap pasukan, ini adalah peluang terbaik pasukan mengambil bahagian kerana pasti sukar sekiranya kanak-kanak ini mengambil bahagian dalam kejohanan peringkat usia lebih tinggi. Milo juga menyediakan hadiah menarik iaitu wang tunai RM800 untuk juara, RM600 (kedua) dan RM500 (ketiga) dan RM400 (keempat).

Kini, menjelang sambutan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri serta musim cuti sekolah bermula pertengahan November depan, pastinya kanak-kanak bergembira menghabiskan masa dengan kegiatan berfaedah. Pengurus atau jurulatih pasukan boleh mendapatkan borang penyertaan menerusi laman web www.milo.

com.my, atau mendapatkan di lokasi kejohanan atau menghubungi terus Pengarah Teknikal, Nik Muhd Radzi di talian 019-3519934 atau 019-2102442.

Di setiap negeri, mereka boleh menghubungi wakil penganjur iaitu Joe (Johor), 019-7642989; Hadi (Pulau Pinang), 013-3736512; Yusmey (Kelantan) 012- 3605450 dan Kamarudin (Pahang) 013-9309276.

FAKTA
NAMA PROGRAM:
Pertandingan dan Klinik Futsal bawah 12 tahun Milo
ANJURAN: Nestle Malaysia, Dina Sports & Management Services dan Focus Arena Sports & Events.
JUMLAH PESERTA: 600 orang
JURULATIH: 5 orang

JADUAL KLINIK & PERTANDINGAN FUTSAL

31 OGOS: Ampang Sports Planet, Selangor
17 SEPTEMBER: Melaka Sports Planet, Melaka
12 NOVEMBER: Millenium Soccer, Johor Bharu
19 NOVEMBER: Safira Sports Planet, Seberang Jaya, Pulau Pinang
25 NOVEMBER: Kota Bharu Futsal Arena, Kelantan
3 DISEMBER: Plaza Futsal, Kuantan, Pahang



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768