
SEDIH dan malu melihat aksi pemain Malaysia menentang Indonesia, Isnin lalu. Mereka sebenarnya tiada ciri-ciri atau watak untuk digelar pemain negara ketika mutu permainan ada kalanya seperti taraf sekolah yang belajar bermain bola sepak.
Kurang skil, kurang bakat dan kurang semangat kerjasama menjadi asas utama kekalahan kita. Mereka seolah-olah alpa apabila melihat pasukan lawan bersemangat dan baik dari segi kawalan bola.
Pemain kita juga bersikap sambil lewa apabila bola di kaki mereka dicuri lawan dan tidak mahu merebutnya semula malah mengharapkan kawan lain pula yang mengejarnya.
Pemain kita juga tidak mengawal pemain lawan menyebabkan mereka sering mendapat peluang untuk mencuba menjaringkan gol.
Ramai pemain kita seperti nombor 14, 4, 6 dan 25 tidak layak menjadi pemain kebangsaan kerana mereka ini kurang skil, kurang semangat, tambahan kurang daya melawan.
Saya ada beberapa cadangan untuk diketengahkan di sini.
Wujudkan skuad pelapis bawah 16, 18 dan 21 tahun yang berbakat mengganti skuad yang ada.
Jangan benarkan pemain berambut panjang mewakili negara.
Ketatkan disiplin pemain.
Tambah lagi perlawanan persahabatan dengan pasukan negara luar termasuk Jepun, Korea Selatan, China mahu pun Eropah.
Persatuan Bola Sepak Malaysia dan gabungan mereka harus mencungkil bakat baru untuk diketengahkan sebagai pelapis setiap tahun.
Pandangan orang ramai harus diambil kira.
Jurulatih setiap negeri harus menyiapkan laporan kemajuan setiap pemainnya jika dia dipanggil mewakili Malaysia.
Harap pandangan dan cadangan saya ini dapat dilihat secara positif jika kita ingin melihat bakal pemain yang kita lahirkan nanti memiliki taraf antarabangsa.
Radin Zayady
Shah Alam
radin_zayady@yahoo.com