Pelumba veteran mampu bangkit sesuaikan diri dengan jentera 4-lejang untuk mencabar tiga pemenang di podium di Taiping

PELBAGAI tanggapan menyelubungi sekitar saingan kelas Expert dua minggu lalu di Taiping dengan rata-rata peminat dapat menyaksikan pelumba veteran seakan kehilangan taring berdepan pelumba muda.
Bermulanya kelas Expert yang buat pertama kali menggunakan jentera empat lejang (4-lejang) selepas sekian lama beraksi bersama jentera 2-lejang, ramai pelumba veteran bergelut untuk mendapatkan kepantasan dimahukan.
Dan tiga nama yang menduduki tangga teratas di Taiping iaitu Ahmad Fazrul Sham (Shell Advance Maju Motor), Mohd Affendi Rosli (Suzuki Harian Metro SCK) dan Mohd Zamri Baba (Petronas Sprinta Ah Hong) masih dikira mentah dalam kelas perdana itu.
Mereka adalah golongan pelumba baru yang menyertai kelas berkenaan tetapi masing-masing memiliki nama besar apabila bergelar juara keseluruhan kelas Novis dan Wira epg sebelum ini.
Ia lantas menimbulkan persoalan sama ada pelumba veteran yang ‘pakar’ dalam pengendalian jentera 4-lejang akan dicabar oleh pelumba muda yang semuanya berpengalaman mengendalikan jentera 4-lejang seperti digunakan tahun ini.
Bagi Zulhelmi Ahmad yang kini menyertai pasukan Idemitsu Honda Racing, kekurangan pelumba veteran pada awal musim ini disebabkan beberapa faktor terutamanya kegagalan mendapatkan jentera terbaik.
“Memang kami masih belum menerima alat ganti perlumbaan sepenuhnya dan kami kesuntukan masa untuk mendapatkan jentera terbaik,” katanya yang juga bekas pelumba Petronas Sprinta Ah Hong.

Mungkin disebabkan itu, Zulhelmi menghadapi kesukaran dalam perlumbaan pertama apabila tempat menukar gear patah pada pusingan kedua lantas menyebabkan dia gagal menamatkan saingan.
“Kepantasan masih lagi kurang dan semua pasukan kini sedang membangunkan enjin mereka. Sebenarnya Honda boleh mencabar tetapi kami perlukan sedikit masa lagi untuk benar-benar kompetitif,” katanya.
Apa yang menggembirakan pelumba berasal dari Pulau Pinang itu ialah dia kini sudah dapat membiasakan diri dengan jentera 4-lejang yang disifatkannya lebih mudah dikendalikan berbanding jentera 2-lejang.
Berbeza dengan Rosnizam Mohd Noor, pelumba 41 Motorsports MMRW itu menyatakan bahawa masalah wujud bagi pelumba lama kerana terlalu biasa dengan jentera 2-lejang menyebabkan mereka susah mendapatkan pelarasan terbaik.
“Kebanyakannya adalah disebabkan faktor pelarasan motosikal. Ramai yang tidak pandai. Bagi pelumba baru mereka sudah biasa oleh itu senang bagi mereka untuk memberi maklum balas.
“Jika kami pelumba veteran dapat kembali pelarasan terbaik, kami juga akan mampu bertarung dengan lebih baik. Banyak motosikal tidak bersedia, tak dapat 100 peratus,” katanya.
Rosnizam menjelaskan, pasukannya berdepan masalah lebih besar kerana mereka kini menggunakan jentera Suzuki selepas sekian lama bersama Yamaha, tambahan pula ini adalah kali pertama mereka beraksi dengan jentera 4-lejang.
Bagaimanapun, untuk mengaku kalah lebih awal pastinya tidak berlaku buat Rosnizam dan pada firasatnya, tiada apa yang mustahil akan berlaku di Kluang nanti yang bakal menyaksikan pertarungan sengit di litar yang teknikal itu.
Bagi barisan pelumba yang sudah biasa menggunakan jentera 4-lejang, kelebihan membiasakan diri lebih awal memberikan mereka keistimewaan untuk mendapatkan seberapa banyak mata awal.

Azlan Shah Kamaruzzaman yang juga pelumba Novis musim 2006 menegaskan, bekas pelumba Novis memang sudah biasa menggunakan jentera 4-lejang dan tidak menghairankan mereka boleh mendapat keputusan baik di Taiping.
“Tapi kita tidak harus lupa bahawa pelumba veteran memang bagus dan saya tidak hairan jika mereka dengan cepat akan dapat membiasakan diri dan mengatasi kami.
“Ia baru perlumbaan pertama dan ia mungkin memihak kepada kami, cuma bagi saya inilah masa terbaik untuk mencari seberapa banyak mata kejuaraan dan berhati-hati berdepan saingan seterusnya,” kata pelumba Petronas Sprinta Ah Hong itu.
Ditanya mengenai siapakah akan menang di Kluang, Azlan tidak mahu membuat ramalan sebaliknya dia sendiri mahu menang di sana untuk menyamai pencapaiannya pada 2006.
Ketika itu dia muncul juara kelas Novis dengan menggunakan jentera 4-lejang tetapi nasib berbeza dialaminya pada 2007 apabila gagal di final yang dikatakan berpunca daripada kurang memahami jentera 2-lejang dalam saingan kelas Expert.
DATA
ZULHELMI AHMAD
UMUR: 23 tahun
MULA BERLUMBA: 2001
PASUKAN: Petronas Sprinta Ah Hong
KELAS: Expert
JENTERA: Yamaha
ROSNIZAM MD NOOR
UMUR: 30 tahun
MULA BERLUMBA: 1996
PASUKAN: 41 Motorsports MMRW
KELAS: Expert
JENTERA: Suzuki
AZLAN SHAH KAMARUZZAMAN
UMUR: 23 tahun
MULA BERLUMBA: 2003
PASUKAN: Idemitsu Honda Racing
KELAS: Expert
JENTERA: Honda
FAKTA
KEPUTUSAN DI TAIPING
EXPERT
1 Ahmad Fazrul Sham Shell Advance Maju Motor 13 minit 20.921 saat
2 Mohd Affendi Rosli Suzuki Harian Metro SCK 13:20.968
3 Mohd Zamri Baba Petronas Sprinta Ah Hong 13:42.733
4 Rosnizam Mohd Noor Forty One Motorsports 13:58.840
5 Md Zanardi Azahar Suzuki Top-N Racing 13:57.282
KEDUDUKAN KESELURUHAN PELUMBA
1 Ahmad Fazrul Sham Shell Advance Maju Motor 25 mata
2 Mohd Affendi Rosli Suzuki Harian Metro SCK 20 mata
3 Mohd Zamri Baba Petronas Sprinta Ah Hong 16 mata
4 Rosnizam Mohd Noor Forty One Motorsports 13 mata
5 Md Zanardi Azahar Suzuki Top-N Racing 11 mata
KEDUDUKAN BERPASUKAN
1 Shell Advance Maju Motor 32 mata
2 Suzuki Harian Metro SCK 20 mata
3 Petronas Sprinta Ah Hong 16 mata