Saingan pusingan pertama di Litar Kamunting Raya bukan gambaran sebenar kekuatan mereka

SEJAK 2002 apabila kelas Wira epg diperkenalkan, ramai pelumba muda diketengahkan untuk menyertai kelas lebih utama iaitu Novis dengan harapan mereka dapat menjadi juara pada usia yang muda.
Begitupun pada awal pembabitan golongan muda ini, jelas mereka sukar mencari tempat dalam kelas utama walaupun bergelar juara dalam kelas Wira epg pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun hakikat perubahan itu, walaupun hanya pada satu pusingan perlumbaan, jaguh-jaguh yang mewarnai saingan Wira epg musim lalu kini tampak akan meneruskan misi serupa - cuma dalam kelas yang berbeza.
Abd Muhaimin Roslan, Md Emir Firdaus Hassan dan Adli Salihin yang berdiri megah di podium pada saingan di Taiping bukanlah nama asing dalam kelas Wira epg tetapi mereka membuktikan walau dalam kelas Novis sekalipun mereka tetap gagah.
Bagi pelumba senior, Md Afiq Azhar, pusingan pertama itu tidak menggambarkan apa yang berlaku pada keseluruhan saingan musim ini kerana barisan pelumba lama dalam kelas Novis masih belum membuktikannya.
“Jentera mereka ada kuasa yang lebih, keadaan trek di Taiping tidak begitu teknikal, cuma beralun sambil dipenuhi laluan lurus dan panjang. Mereka ada kelebihan dari aspek itu.
“Di sana (Taiping) tidak perlu banyak kemahiran tetapi di Kluang minggu ini pasti keadaan berubah kerana ia memerlukan kemahiran yang tinggi dan pelarasan motosikal yang betul-betul sepadan,” katanya.

Afiq yang juga pelumba Modenas Yuzy Pachi Racing berkata, dia yakin perkara sama tidak akan berulang di Kluang hujung minggu ini.
Mengenai pencapaiannya yang kurang memberangsangkan di Taiping, Afiq berkata dia menghadapi masalah dengan pelarasan motosikal apabila kuasanya semakin berkurangan selepas pusingan demi pusingan.
“Pelarasan tidak begitu sepadan dan kerana itu kami akan mencari pelarasan lebih baik untuk perlumbaan di Kluang nanti,” katanya.
Bagi Elly Idzliaikmal Ilias dari Petronas Sprinta Ah Hong, kejayaan ramai pelumba muda di Taiping mungkin disebabkan mereka cepat memahami jentera mereka dan mudah menyesuaikan diri.
“Tidak banyak perubahan pada jentera Novis dan Wira, sama saja walaupun jentera Novis menggunakan injap lebih besar, cuma mereka cepat faham dengan jentera dan trek.
“Tetapi itu tidak menunjukkan mereka akan menguasai kelas Novis musim ini, kami pelumba lama akan memberikan cabaran,” katanya.
Elly bermula di petak kedua perlumbaan di Taiping tetapi masalah kemalangan pada pusingan kedua menyebabkan dia gagal menamatkan saingan.
Bagaimanapun dia melontarkan amaran kepada pencabarnya bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah saingan di Kluang kerana dia akan melakukan yang terbaik di litar penuh teknikal itu bagi memperbaiki catatan di tangga ketiga tahun lalu.
DATA
MOHD AFIQ AZHAR
TARIKH LAHIR: 11 Mac 1990
UMUR: 18 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
MULA BERLUMBA: 2005
PASUKAN: Modenas Yuzy Pachi Racing
KELAS: Novis
MOTOSIKAL: Modenas
PENCAPAIAN:
2005 - Ke-17 keseluruhan Wira epg
2006 - Ketiga keseluruhan Wira epg
2007 - Kesembilan keseluruhan Novis
ELLY IDZLIAIKMAL ILIAS
UMUR: 21 tahun
MULA BERLUMBA: 2005
PASUKAN: Petronas Sprinta Ah Hong
KELAS: Novis
JENTERA: Yamaha
PENCAPAIAN:
2005 - Juara Cabaran Yamaha Nouvo
FAKTA
KEPUTUSAN DI TAIPING
1 Abdul Muhaimin Roslan Shell Advance Maju Motor 10 minit 15.630 saat
2 Mohd Emir Firdaus Hasan Motul KMC YY Pang 10:15.807
3 Mohd Adli Salihin Motul KMC YY Pang 10:25.283
4 Md Hafiz Sharudin Khi ARC Racing 10:29.413
5 Md Rizal Jantan Petronas Sprinta Raceline 10:35.141
KEDUDUKAN KESELURUHAN PELUMBA
1 Abdul Muhaimin Roslan Shell Advance Maju Motor 25 mata
2 Mohd Emir Firdaus Hasan Motul KMC YY Pang 20 mata
3 Mohd Adli Salihin Motul KMC YY Pang 16 mata
4 Md Hafiz Sharudin Khi ARC Racing 13 mata
5 Md Rizal Jantan Petronas Sprinta Raceline 11 mata