Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta jadi batu loncatan ke pentas tertinggi

MINAT terhadap sukan lumba motosikal bermula dengan sukan motocross buat pelumba MOS Racing Team, Shazuan Azrulizam Salim yang memasang impian lebih besar dengan beraksi dalam Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia suatu hari nanti.
Anak muda kelahiran Rembau yang dibesarkan di Klang itu berjinak-jinak dengan sukan motocross seawal usia sembilan tahun ketika melihat bapanya, Salim Dolkhalid yang pernah menjadi juara motocross peringkat kebangsaan sekitar tahun 80-an dan 90-an.
Minat itu kini bersemarak di dalam jiwanya yang melonjak-lonjak untuk mengikut jejak langkah dua idolanya dari Itali, Valentino Rossi dan Max Biaggi.
Lantaran, Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas menjadi pentas awal buatnya untuk mencipta nama sekalipun pada usia 16 tahun, dia masih bergelut untuk meletakkan dirinya dalam kelompok lima pelumba terbaik.
Nasib nyata tidak menyebelahinya dalam perlumbaan sulung musim ini di Litar Kamunting Raya, Taiping dua minggu lalu apabila dia gagal berakhir di podium sekalipun hampir melakukannya.

“Kerana kesilapan teknik saya terjatuh pada pusingan terakhir sekalipun ketika itu saya sudah menduduki tangga kedua. Memang agak kesal gagal mencatat podium tetapi masih ada peluang buat saya untuk memadamkan kekecewaan itu.
“Lagipun saya rasa peluang saya untuk menang tetap ada musim ini bermula di Kluang hujung minggu ini dengan litar yang menuntut kefahaman teknikal serta taktikal pelumba,” katanya yang berazam untuk menamatkan musim di kalangan tiga pelumba terbaik secara keseluruhan.
Walaupun berdepan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini, Shazuan tidak bimbang kerana yakin mampu membahagikan masa antara pelajaran dan perlumbaan dengan baik.
“Saya memang mendapat galakan kuat kedua ibu bapa dalam perlumbaan Cub Prix. Namun mereka juga meminta saya memberikan tumpuan terhadap pelajaran. Jika belajar, saya belajar bersungguh-sungguh, jika berlumba saya akan memberikan fokus.
“Saya bersyukur kerana musim ini semua kategori perlumbaan dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas menggunakan jentera 4-lejang. Sebelum ini memang saya ada pengalaman dengan jentera 4-lejang jadi ia tidak menimbulkan masalah besar,” katanya.

Sepanjang karier pendeknya sebagai pelumba Cub Prix, Shazuan pernah dua kali menaiki podium dengan tempat ketiga kategori Wira epg di Kuantan tahun lalu selain tempat ketiga acara perlumbaan sokongan, Yamaha 135LC pada 2006.
Kini dia berlatih sekurang-kurangnya seminggu sekali dengan pasukannya MOS Racing Team yang berpangkalan di Sentul. Rakan sepasukannya Md Azwan Md Ridwan berjaya mengutip 20 mata apabila muncul naib juara di Taiping.
“Saya amat berharap suatu hari nanti saya dapat berlumba di luar negara, mungkin di Eropah kerana saya difahamkan banyak perlumbaan dilangsungkan di sana selain saingannya yang amat getir. Akhirnya saya harap boleh berlumba dalam Kejuaraan GP Motosikal Dunia,” katanya mengakhiri perbualan.
DATA
SHAZUAN AZRULIZAM SALIM
TARIKH LAHIR: 21 November 1991
TEMPAT LAHIR: Rembau, Negeri Sembilan
ASAL: Klang, Selangor
MULA BERLUMBA: 2005
STATUS: Pelajar Tingkatan Lima SMK Rantau Panjang, Klang
KELUARGA: Anak kedua daripada lima adik beradik
HOBI: Memancing, badminton dan motocross
KATEGORI: Wira epg
JENTERA: Yamaha
NO JENTERA: 6
SEJARAH PASUKAN:
2005 - Persendirian
2006 - Persendirian
2007 - Petronas Sprinta Ah Hong
2008 - MOS Racing Team
PENCAPAIAN:
2005 - Keenam keseluruhan Wira epg
2006 - Ketujuh keseluruhan Wira epg
2006 - Keempat keseluruhan Cabaran Yamaha 135LC
2007 - Keenam keseluruhan Wira epg