Medan lahirkan jaguh motosikal negara ke pentas antarabangsa
MUKADIMAH
KEJOHANAN Cub Prix Malaysia AAM Petronas sudah lebih 15 tahun dilangsungkan di negara ini dan melahirkan beberapa jaguh tempatan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Keluaran khas Cub Prix kali ini menemubual Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia (AAM) Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha mengenai harapan dan impian persatuan itu terhadap kejohanan yang diiktiraf badan induk itu sebagai kejohanan peringkat akar umbi utama di negara ini.
epg: Siri perlumbaan Cub Prix sudah memasuki usia 15 tahun dan sepanjang tempoh itu juga pihak AAM banyak membantu dari segi pemberian lesen dan menguruskan perlumbaan. Adakah AAM berpuas hati dengan pencapaian setakat ini dari segi mutu penganjuran dan pencapaiannya?
Tunku Mudzaffar Tunku Mustapha (TMM): AAM memang berpuas hati dengan pencapaian setakat ini. Bagaimanapun, kami mesti bersikap mahu mengambil inisiatif mempertingkatkan lagi prestasi perlumbaan pada setiap tahun.
Ini pasti akan mendatangkan manfaat kepada pelumba, penaja, pasukan dan juga penonton, terutama peminat sukan permotoran seperti Cub Prix.
Tidak ramai menyedari, AAM yang sudah ditubuhkan sejak 75 tahun, sebenarnya adalah sebuah badan bukan kerajaan yang bernaung di bawah Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan tertakluk kepada peraturan yang sudah ditetapkan badan induk itu. Tetapi kami juga menjalankan perniagaan sendiri berkaitan bantuan kepada kenderaan di jalan raya, perlindungan insurans dan sebagainya.
Kami sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan terutama dalam kempen keselamatan dan mendidik pengguna jalan raya.
Jadi secara tidak langsung, AAM terbabit dalam perlumbaan Cub Prix dengan mengeluarkan lesen perlumbaan, membekal petugas teknikal, marsyal dan steward serta memastikan penganjur memenuhi syarat dan spesifikasi keselamatan yang sudah ditetapkan.
epg: Sepanjang tempoh 15 tahun penganjuran kejuaraan Cub Prix, kehadiran penonton mencatatkan jumlah yang semakin meningkat setiap tahun sehingga ada yang menyifatkannya sebagai kedua selepas Formula Satu. Ada cadangan lain di pihak AAM untuk terus memperkembangkannya?
TMM: Sebagai salah satu acara yang berlangsung di persekitaran jalan raya awam (public roads) serta lokasi-lokasi yang berhampiran dengan tempat awam, acara ini sudah pasti mampu menarik ramai penonton, lebih-lebih lagi kerana ia tidak mengenakan sebarang bayaran atau tiket masuk.
Strategi pihak penganjur ialah untuk sentiasa mencari dan mengenal pasti lokasi-lokasi yang strategik serta lokasi baru bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat di seluruh negara berpeluang menikmati dan menyaksikan kemeriahan dan kerancakan perlumbaan itu.
Bagi AAM pula, ada banyak aspek yang diambil kira sebelum sesuatu perlumbaan itu diberi pengiktirafan atau ‘sanction’ yang perlu dipohon oleh penganjur kira-kira dua bulan sebelum tarikh sesuatu perlumbaan. Salah satu daripadanya ialah aspek keselamatan yang perlu diambil kira penganjur, seperti pagar pemisah di antara litar dan tempat menonton.
Jadi kami menitikberatkan perkara ini dan sentiasa mengawasi penganjuran sesuatu perlumbaan itu agar ia menepati spesifikasi keselamatan yang ditetapkan.
Seperkara lain ialah, setiap pelumba perlu dilindungi insurans sebelum dizinkan bertanding.
epg: Tempoh 15 tahun juga dikira cukup lama untuk melahirkan pelumba di peringkat lebih tinggi tetapi sehingga kini, kita masih belum dapat melihat pelumba di tahap berkenaan. Pada pandangan Tunku, apakah penghalang utama terhadap matlamat itu?
TMM: Untuk melahirkan pelumba bertaraf dunia, banyak yang perlu dilakukan oleh pihak-pihak terbabit. Kita memerlukan satu program pembangunan yang berkesan untuk mengenal pasti pelumba berbakat yang boleh diketengahkan.
Selepas itu, pelumba terbabit perlu menjalani program latihan di peringkat antarabangsa dan dalam masa yang sama didedahkan dengan perlumbaan di peringkat tinggi. Ini memerlukan inisiatif baru dan pihak AAM dengan kerjasama beberapa pihak lain, akan melaksanakannya dalam masa terdekat ini.
epg: Setiap tahun, perkara pertama yang akan diperkatakan mengenai Cub Prix ialah pembabitan pelumba muda. Apakah langkah yang diambil AAM untuk membantu mencari bakat daripada golongan muda ini, selain pengenalan kelas Wira epg yang dilakukan oleh pihak promoter Safe Aim Mutual sejak tiga tahun lalu?
TMM: Kita perlu menggalakkan persatuan atau kelab-kelab permotoran menganjurkan banyak lagi acara di peringkat kelab bagi mengesan dan mencungkil bakat baru. Persatuan atau kelab sedia ada boleh bekerjasama rapat dengan kami dan mengambil inisiatif baru yang AAM sedia hulurkan seperti maklumat, bantuan kepakaran teknikal dan subsidi.
Kami mempunyai 23 ahli gabungan di Malaysia dalam sukan permotoran sama ada kereta atau motosikal dan kami sentiasa menggalakkan ahli kami mengadakan program mencungkil bakat baru menerusi penganjuran perlumbaan.
epg: Isu utama pembabitan pelumba muda ialah mengenai keselamatan kerana ia membabitkan kalangan pelumba yang kadang kala berumur 13 tahun ke atas. Bagaimanakah kriteria pemilihan dibuat dari segi pemberian lesen untuk perlumbaan?
TMM: Kebenaran pemberian lesen kepada pelumba berusia 13 tahun di peringkat kebangsaan adalah mengikut garis panduan yang sudah ditetapkan badan induk antarabangsa iaitu Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM).
FIM membenarkan lesen diberi kepada pelumba berusia 15 tahun bagi lesen perlumbaan Grand Prix 125cc. Selepas diawasi kemahiran pelumba itu dalam beberapa sesi pengawasan, barulah AAM akan bersetuju dan mengeluarkan lesen perlumbaan bagi 13 tahun ke atas.
epg: Ada sesetengah pihak berpendapat bahawa pemberian lesen kepada mereka yang berusia bawah 16 tahun tidak praktikal kerana dari segi undang-undang, mereka yang berusia 16 tahun ke atas saja yang dibenarkan memiliki lesen. Apa pandangan Tunku?
TMM: Sebarang pemberian lesen perlu mematuhi garis panduan yang sudah ditetapkan FIM dan pemberian lesen di peringkat umur yang ditetapkan dengan pengawasan rapi akan memastikan pelumba bermula pada usia yang ideal untuk memberi pencapaian yang maksimum dalam proses pengasahan bakat dan melahirkan pelumba jaguh ini.
Ia dipraktikkan di seluruh dunia termasuk negara-negara handalan dalam bidang sukan permotoran motosikal seperti Britain, Itali, Sepanyol, Jerman dan Belanda.
Tetapi kami bukan promoter perlumbaan, kami cuma memastikan cara pelaksanaan perlumbaan itu menepati peraturan perlumbaan yang sudah ditetapkan, sama ada FIA atau FIM.
Pelumba di Malaysia masih mempunyai perjalanan yang jauh sekiranya mahu melahirkan pelumba bertaraf antarabangsa tetapi dengan adanya Kementerian Belia dan Sukan serta agensi di bawahnya seperti Majlis Sukan Negara (MSN), proses ini boleh dipercepatkan.
Dan tidak mustahil, dalam sekelompok 100 pelumba dalam kejuaraan Cub Prix ini, pasti ada seorang atau dua yang mampu bergelar juara dunia jika mendapat peluang, didikan dan bantuan yang sepatutnya seperti rakan sebaya mereka di Eropah.
epg: Setiap tahun, kalangan pelumba di Malaysia yang menyertai perlumbaan secara serius semakin bertambah dan usia pelumba juga semakin muda kerana mereka kini mendapat sokongan penuh ibu bapa. Apakah ini dapat menyemarakkan lagi perlumbaan Cub Prix pada masa akan datang?
TMM: Sokongan ibu bapa kepada pelumba muda memang penting terutama di peringkat awalan yang memerlukan sokongan semangat, bantuan kewangan serta pengawasan rapi. Sokongan seperti ini banyak didapati oleh penunggang muda yang kini bergelar jaguh dunia, bukan di dalam sukan perlumbaan motosikal saja tetapi juga sukan lain.
Contohnya bagi perlumbaan lumba kereta, pelumba akan terbabit dalam perlumbaan go-kart di peringkat awal, sebelum beralih ke formula yang lebih tinggi.
Sokongan seperti inilah yang diperlukan pelumba muda di negara ini dan jika lebih ramai ibu bapa yang sanggup berhabisan untuk membantu anak-anak mereka, maka cerahlah sukan itu pada masa depan.
Kita di Malaysia memang amat memerlukan perlumbaan seperti ini dan berharap suatu hari nanti ia menjadi satu budaya di mana secara tidak langsung, ia juga dapat membendung gejala lumba motosikal haram atau Mat Rempit.
Secara peribadi, saya dapati kini banyak maklum balas dan kesanggupan di kalangan ibu bapa yang sanggup berhabisan masa, tenaga dan wang ringgit untuk menggilap bakat anak-anak mereka menceburi sukan lumba motosikal seperti Cub Prix.
epg: Adakah jumlah penganjuran perlumbaan di negara ini mencukupi untuk mengasah bakat pelumba baru?
TMM: Untuk 10 pusingan perlumbaan setahun, ia mungkin terlalu kecil jika dibandingkan dengan beberapa negara maju lain tetapi kita sedar bebanan kewangan yang terpaksa ditanggung pelumba, pasukan dan penganjur sendiri.
AAM berharap ada lebih banyak lagi perlumbaan dapat dianjurkan pada masa akan datang tetapi yang pasti, kami gembira kerana minat dan kesedaran untuk mematuhi peraturan perlumbaan itu semakin meningkat.
Malah AAM juga sentiasa memantau dan memastikan setiap pelumba yang diberi lesen perlumbaan, berlumba dengan sihat dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan terhadap pelumba atau pasukan yang melakukan kesalahan, dengan harapan Malaysia akan dapat melahirkan penunggang yang profesional dan tahu etika persaingan yang sebenar.
epg: Apakah cabaran paling besar AAM dalam menguruskan perlumbaan jalanan seperti Cub Prix yang tentu saja memerlukan pengendalian terbaik kerana ia membabitkan soal keselamatan pelumba dan penonton?
TMM: Pengurusan sebarang perlumbaan sebenar ini amat memerlukan satu penganjuran yang rapi. Ia memerlukan kelab penganjur iaitu di antara kelab di bawah gabungan AAM.
Ia juga memerlukan sokongan dan usaha promoter seperti Safe Aim Mutual dan Two Wheels, di samping kerjasama daripada pihak Majlis Daerah, polis, bomba, hospital dan lain-lain.
Di pihak AAM, kami mensyaratkan bilangan di antara 60 hingga 80 petugas marsyal dan steward pada setiap pusingan perlumbaan dan jumlah itu mungkin bertambah sekiranya litar itu lebih panjang dan mempunyai ciri-ciri lebih teknikal.
Semuanya adalah ahli daripada kelab permotoran yang menjadi ahli gabungan AAM dan kami sentiasa memastikan mereka terlatih dan berkesan dalam menjalankan tugas. Sebagai contoh, bagi perlumbaan Cub Prix ini, ada sehingga tiga pegawai bertugas pada setiap selekoh untuk memastikan kelancaran dan keselamatan perlumbaan.
Semua petugas yang bertauliah perlu menjalani ujian baru pada setiap dua tahun demi memastikan mereka sentiasa arif dengan tugas-tugas tertentu dalam perlumbaan.
epg: Pada tahun ini, ada banyak pasukan besar mengambil bahagian berbanding siri perlumbaan tahun-tahun lalu. Pasukan yang besar pasti mengutamakan pelumba senior untuk menaikkan jenama mereka dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehadiran pelumba muda. Apa pandangan Tunku?
TMM: Kehadiran lebih banyak pasukan besar membuktikan bahawa perlumbaan Cub Prix yang dianjurkan di negara ini sudah meningkat, diiktiraf dan semakin berkembang ke satu tahap yang boleh dibanggakan.
Kita perlu melihat dari sudut yang positif kerana setiap pasukan besar membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk pembabitan mereka. Sudah pasti, mereka hendak yang terbaik dan ini akan memberi rangsangan kepada pelumba muda untuk mempertingkatkan lagi bakat dan mutu tunggangan mereka supaya lebih menonjol, dengan harapan dapat menarik minat pasukan besar itu.
Pasukan pula melihat adanya ‘exposure’ terhadap produk dan jenama mereka. Ada juga pihak penaja yang mendirikan pondok atau ‘booth’ mereka di tapak yang ditetapkan. Kehadiran penaja dan pengunjung ini memeriahkan suasana perlumbaan itu sendiri sehingga menjadi satu karnival yang besar.
epg: Cub Prix semakin berkembang saban tahun dan sudah ada perancangan untuk memperbesarkannya dari aspek menambah bilangan pelumba. Adakah ini praktikal bagi sesuatu perlumbaan?
TMM: Ia bergantung kepada pihak penganjur itu sendiri, sama ada mereka sanggup menerima jumlah kehadiran pelumba yang ramai dan menyesuaikan format perlumbaan.
Kita juga boleh melihat semakin ramai pelumba persendirian yang mahu mengambil bahagian dan memohon lesen perlumbaan, walaupun mereka menyedari sukar untuk menang dan ia mungkin membabitkan faktor kewangan yang besar.
Tetapi bagi pihak AAM, kita sentiasa mengalu-alukan sesuatu yang dapat mempertingkatkan lagi kualiti perlumbaan tetapi kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelumba dan penonton.
epg: Kejuaraan Cub Prix tempatan kini mempunyai tiga kelas saingan utama yang berbeza iaitu Expert, Novis dan Wira epg. Begitupun, beberapa perlumbaan sokongan lain turut diperkenalkan. Berapakah jumlah perlumbaan yang paling ideal dan memudahkan pihak AAM dalam mengendali dan mengawasi perlumbaan dengan lebih berkesan?
TMM: AAM tidak pernah mengehadkan jumlah perlumbaan sokongan, dengan beranggapan lebih banyak kelas saingan, maka lebih meriah sesuatu perlumbaan itu serta makin ramai bakat baru mendapat peluang untuk menjadi pelumba.
Trend ini juga mungkin berubah di masa akan datang kerana sesuatu pengenalan produk atau jenama motosikal itu mengikut pasaran semasa.
epg: Apakah harapan AAM sendiri terhadap siri perlumbaan Cub Prix dan hala tujunya?
TMM: Kami amat berharap bidang perlumbaan motosikal ini akan suatu hari nanti menjadi satu industri perniagaan yang besar. Inilah juga hasrat kerajaan. Biarlah ia mengikut jejak seperti di England di mana industri aksesori berkaitan jentera perlumbaan itu saja menjana sehingga 10 bilion pound atau kira-kira RM68 bilion ringgit.
Jepun dan Korea Selatan sudah mula ke arah itu dan tidak mustahil, Malaysia yang mempunyai siri perlumbaan sendiri serta kemudahan litar perlumbaan yang moden, menjadi pangkalan bagi industri ini, sekurang-kurangnya di peringkat Asia Tenggara. Perlumbaan Cub Prix juga menghala ke arah dan impian yang sama.
epg: Terima kasih Tunku kerana sudi meluangkan masa bagi keluaran khas kali ini.
TMM: Sama-sama.
DATA
TUNKU MUDZAFFAR TUNKU MUSTAPHA
TARIKH LAHIR: 18 Ogos 1940
TEMPAT LAHIR: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
KEDIAMAN: Damansara Heights, Kuala Lumpur
HOBI: Lumba motosikal, rali, go-kart, tenis, badminton, skuasy, renang, scuba diving, golf dan memburu
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Automobil dan Diploma Kejuruteraan Pertanian, Kolej Kejuruteraan Aeronautikal dan Automobil London
PENGALAMAN KERJAYA:
1964-1970 - Penolong Pengurus Syarikat Pengangkutan Sri Jaya
1970-1976 - Timbalan Pengurus Besar Syarikat Pengangkutan Sri Jaya
1976-1984 - Pengarah Urusan Gunong Pertainan Sdn Bhd
1984-kini - Pengerusi Eksekutif Syarikat Kumpulan Jaranydi Sdn Bhd
1984-kini - Pengarah Syarikat Dairy Maid Resort & Recreation Sdn Bhd
KHIDMAT KOMUNITI:
1966-1970 - Ahli Jawatankuasa Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (Seksyen Ambulans)
1975-kini - Pengerusi Persatuan Automobil Malaysia
LAIN-LAIN:
- Wakil dalam Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM)
- Wakil dalam Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA)
- Juara rali kebangsaan tiga kali