Mahu buktikan wanita juga boleh berlumba sebaik pelumba lelaki
SUDAH 15 tahun siri perlumbaan Cub Prix berlangsung di negara ini dan sepanjang tempoh itu jugalah ribuan pelumba sudah pernah menyertainya sama ada secara serius mahupun sekadar mencuba.
Dalam sukan yang lebih didominasi oleh kaum lelaki itu, jangan sangka ia tidak membenarkan pelumba wanita menyertainya dan itulah yang dibuktikan Farah Melina Ismadi.
Gadis berusia 13 tahun itu adalah pelumba wanita kedua dalam sejarah pernah menyertai perlumbaan Cub Prix sejak 2001 dan kehadirannya jelas ‘satu kelainan’ bukan saja kepada orang ramai yang menyaksikannya malah di kalangan barisan pelumba.
Kecewa apabila gagal mendapat tempat ke sekolah berasrama penuh selepas cemerlang mencatat keputusan 5A dalam Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Farah nekad untuk aktif dalam apa juga aktiviti disertainya.
Dan sukan perlumbaan ini menjadi pilihannya tambahan pula dia sudah diperkenal dengan minibike sejak berusia 10 tahun lagi oleh keluarganya yang turut meminati perlumbaan motosikal.
“Sejak kecil saya selalu mengikut abang menyertai sukan minibike, memang mula-mula rasa takut dan saya pernah patah bahu ketika berusia 11 tahun kerana terjatuh,” kata pelajar SMK Puteri dekat Seremban itu.
Lantaran minat yang mendalam, dia mengambil keputusan untuk menyertai Cub Prix menerusi perlumbaan sokongan Cabaran Honda Wave 125S di Taiping, dua minggu lalu selepas berjaya memperoleh lesen perlumbaan yang dikhaskan untuk mereka yang berusia 13 tahun ke atas.
“Saya cuba menyertainya tahun ini kerana dulu tidak boleh. Abang saya akan menyiapkan pelarasan motosikal untuk saya dan saya mahu menyertai semua 10 perlumbaan musim ini,” kata anak perempuan tunggal daripada empat adik beradik itu.
Gelagat Farah yang lebih mesra dipanggil Puteri oleh keluarga dan kalangan pelumba Cub Prix sentiasa menjadi tumpuan apatah lagi dia adalah pelumba wanita tunggal daripada ratusan pelumba lelaki lain.
“Kali ini memang saya seorang saja perempuan dan ketika sesi penerangan sebelum perlumbaan ramai bertanya sama ada saya adalah pelumba, saya berkata memang betul... kenapa? tak percaya,” katanya yang menduduki tempat kesembilan daripada 20 pelumba di Taiping.
Jika di sekolahnya yang hanya dikhaskan untuk pelajar perempuan, minatnya menyertai pelbagai aktiviti turut dirasakan pelik oleh rakan-rakannya, keputusannya untuk menyertai Cub Prix tambah menggamatkan keadaan.

“Saya bersekolah di sekolah perempuan, jadi apabila berlumba seperti ini tentu ramai yang hairan. Tapi saya tidak kisah kerana saya mahu buktikan bukan hanya lelaki boleh menjadi pelumba.
“Perempuan juga boleh juga lakukan dan tidak semestinya kita sebagai wanita perlu duduk di ceruk dapur saja,” katanya.
Kini sasaran Farah adalah untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam setiap perlumbaan disertainya dan sokongan keluarga yang tidak berbelah bagi buatnya menambahkan keyakinannya untuk terus serius dalam perlumbaan ini.
Dan apa yang menggembirakannya, sudah ada tawaran buatnya daripada pasukan handalan bagi menyertai perlumbaan utama iaitu Wira epg selepas ini yang sentiasa menjadi idamannya.
DATA
FARAH MELINA ISMADI
TARIKH LAHIR: 8 Mac 1995
UMUR: 13 tahun
ASAL: Senawang, Negeri Sembilan
ADIK BERADIK: Anak ketiga daripada empat beradik
PANGGILAN: Puteri
PENDIDIKAN: Tingkatan Satu SMK Puteri, Seremban
IDOLA: Shahrol Yuzy Ahmad
Zaini, Md Emir Firdaus Hassan
dan Abd Muhaimin Roslan
KELAS PERLUMBAAN: Cabaran Honda Wave 125-S
PENCAPAIAN: Ke-9 Pusingan 1 di Taiping