Pit Stop: Piston ibarat 'jantung' enjin



Pengubahsuaian perlu tepat dan sepadan dengan silinder bagi menghasilkan kuasa terbaik buat enjin

PISTON adalah satu komponen dalam enjin dan ia terletak di dalam silinder yang menjadikan gas termampat oleh penggunaan gegelang piston.

Dalam sesuatu enjin, tujuan piston ialah memindahkan kuasa daripada gas yang terhasil dalam silinder ke ‘crankshaft’ menerusi rod piston yang menyambungkannya.

Piston secara umumnya boleh diibaratkan sebagai jantung sesebuah enjin. Ia adalah medium utama yang mencetus pergerakan bagi membolehkan motosikal atau apa jua kenderaan bergerak.

Selain itu, piston juga mempengaruhi jumlah kekuatan enjin berkenaan dengan kebiasaannya, motosikal ‘kapcai’ hanya mempunyai satu piston saja begitu juga dalam perlumbaan Cub Prix, hanya motosikal satu piston saja dibenarkan.

Peraturan perlumbaan dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia hanya membolehkan perubahan pada saiz gerek (bore) oleh itu, kebanyakkan motosikal akan menukar saiz piston kepada yang lebih besar supaya isi padunya mencapai tahap maksima yang ditetapkan.

Selain itu, bagi jentera-jentera yang tidak boleh menambah saiz diameter piston pula, pemilihan reka bentuk piston mungkin dapat membantu untuk mendapatkan kuasa yang diperlukan.


Kepelbagaian reka bentuk dan juga bahan buatan piston memberi impak yang berbeza. Jika 10 tahun lalu, ketika Kejuaraan Cub Prix keseluruhannya menggunakan jentera 2-lejang, piston bukanlah satu benda yang dimodifikasi.

Kini, peralihan kepada perlumbaan jentera empat lejang sepenuhnya membuatkan setiap pasukan dan juga pelumba bersama-sama mencari idea untuk mendapatkan kombinasi serta modifikasi terbaik piston yang akan digunakan.

Namun begitu, penentuan pemilihan piston bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia adalah komponen yang sangat sensitif.

Sebarang kerosakan kecil pada piston boleh menghentikan terus sesebuah enjin daripada berfungsi. Tetapi, jika piston yang digunakan tepat dan sesuai dengan litar perlumbaan tersebut, ternyata ia akan memberi kelebihan kepada pelumba dan juga pasukan.

Justeru epg sempat bertemu pemilik pasukan Motul KMC YY Pang, saudara YY Pang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penggunaan piston ini.

epg: Apakah perbezaan piston biasa dan juga piston yang digunakan untuk perlumbaan?

YY Pang (YYP):
Dari segi perbezaan, piston biasa akan rata di bahagian atasnya manakala piston perlumbaan ada sedikit berbonjol di atasnya dan ia memiliki saiz berbeza yang biasanya lebih besar dari yang asal.

Dari segi kualitinya, ia dibuat dari material tahan lasak biasanya aloi dan lebih ringan untuk lebih tahan lama dalam perlumbaan yang memerlukan ketahanan tinggi.

Piston biasa tidak bertahan lama dalam perlumbaan dan ia akan rosak selepas satu perlumbaan saja tetapi bagi piston untuk perlumbaan, ia tahan selama tiga perlumbaan dan kadangkala masih boleh digunakan lagi.

Dari segi kelebihannya ia mampu menghasilkan pecutan dan kelajuan lebih tinggi kerana ia boleh menghasilkan tenaga lebih tinggi selepas diubahsuai.


epg: Apakah jenis kerosakan yang boleh berlaku kepada piston perlumbaan?

YYP:
Biasanya dia akan pecah di bahagian dalam kerana tekanan yang kuat, kerana itu kita akan tukar selepas tiga perlumbaan walaupun ia masih boleh digunakan. Biasanya jentera perlumbaan akan menghasilkan RPM maksimum sekitar 13,500 kerana itu ia tidak akan bertahan dengan lama.

Piston biasa pula tidak boleh mencapai tahap RPM itu kerana akan merosakkan enjin motosikal.

epg: Apakah jenis-jenis atau jenama-jenama piston yang biasa digunakan untuk perlumbaan?

YYP:
Ada banyak piston boleh didapati untuk perlumbaan tetapi kebanyakan pasukan menggunakan piston untuk perlumbaan buatan Jepun kerana ia lebih tahan lama berbanding buatan Indonesia. Ada juga piston dibuat di Malaysia tetapi ia tidak begitu bagus dan kos membuatnya adalah mahal.

Piston yang digunakan bergantung kepada syarat perlumbaan sama ada Expert, Novis atau Wira epg, dalam kelas Expert kita menggunakan piston bersaiz 54mm dan ada juga yang bersaiz 52mm atau 50mm.

epg: Bagaimanakah reka bentuk piston ini dapat mempengaruhi pecutan jentera di setiap litar?

YYP:
Sebenarnya kita tidak perlu menukar piston hanya untuk menyesuaikan jentera dengan litar perlumbaan, kita memakai piston yang sama mengikut peraturan dan pelarasan untuk piston sama saja di mana-mana trek. Cuma kita perlu menukar sprocket dan kotak gear bagi menyesuaikan kepantasan di litar berkenaan.

Contohnya jika di Kluang, kita perlu melihat dengan lebih tepat jenis sprocket dan kotak gear kerana litarnya lebih pendek dan banyak selekoh berbanding Taiping yang memiliki litar lebih panjang dan kurang selekoh.

epg: Berapa banyak piston diperlukan untuk perlumbaan dan berapa pula kosnya?

YYP:
Seperti pasukan kami yang menggunakan lima buah motosikal, kami memerlukan lima set piston untuk perlumbaan, biasanya lima set sudah mencukupi dan apabila ada masalah kami akan menukar kepada satu set yang baru.

Biasanya bagi lima set piston, harganya sekitar RM780. Kita juga boleh menukar gegelang piston jika ia rosak tetapi biasanya kami tidak akan melakukannya kerana lebih mudah menukarnya terus kepada set piston yang baru.

epg: Gegelang piston adalah komponen lain yang diletakkan pada piston, apakah fungsi utama gegelang ini?

YYP:
Gegelang ini adalah untuk mengetatkan piston ketika ia memasuki blok, jika ia sepadan ia akan memudahkan proses pergerakan piston dan turun naik piston adalah sama. Biasanya ia adalah lebih besar sedikit daripada piston.

Dalam perlumbaan kita juga akan mengorek blok yang baru mengikut syarat perlumbaan contohnya jika motosikal ‘standard’ ia menggunakan blok bersaiz 50mm dan kita akan mengoreknya supaya menjadi 54mm.

Dan jarak dinding blok dari gegelang piston ini juga perlu lebih besar iaitu kira-kira 0.7mm supaya ia lebih senang bergerak dan mengelakkan motosikal rosak.

epg: Apakah perbezaan antara gegelang jentera dua lejang berbanding empat lejang?

YYP:
Jentera dua lejang menggunakan hanya satu gegelang kerana bahan bakarnya terdiri daripada petrol dan minyak pelincir dua lejang manakala bagi jentera empat lejang ia memiliki tiga gegelang.

Bagi piston empat lejang, selain ada tiga gegelang ia juga memiliki lubang-lubang kecil pada bahagian piston yang paling bawah untuk memudahkan minyak enjin masuk ke dalam piston dan menyejukkannya.

Minyak enjin ini tahan panas sehingga 250 darjah dan jika ia tidak sesuai enjin boleh rosak.

epg: Mungkin lebih sukar untuk membuat modifikasi pada blok untuk perlumbaan pada tahun ini kerana buat pertama kalinya menggunakan jentera empat lejang?

YYP:
Ia tidak terlalu sukar cuma ini adalah kali pertama kita menggunakan jentera empat lejang dalam kelas Expert. Cuma yang penting ialah pelumba kerana mereka perlu memberikan maklum balas dengan cepat jika ada berlaku sebarang perubahan pada jentera.

Bagi pelumba yang bagus, mereka akan dapat mendengar menerusi bunyi enjin sama ada ia kasar dan kurang berkuasa. Mereka kemudiannya akan memberitahu mekanik untuk melakukan pengubahsuaian.

Satu lagi perkara yang mustahak ialah bagaimana kita mengorek lubang pada kepala blok kerana ia perlu sesuai dengan minyak dan api. Biasanya kita memerlukan lubang selebar 27mm untuk minyak dan 23mm untuk api.

epg: Bagaimanakah cara paling bagus untuk menjaga ketahanan piston ini?

YYP:
Yang terbaik ialah menggunakan minyak enjin sintetik sepenuhnya kerana ia lebih halus dan cair berbanding minyak lain. Ini dapat melicinkan pergerakan piston dan mengelakkannya tercalar dan rosak.

Minyak enjin seperti ini biasanya mahal dan berharga kira-kira RM80 seliter dan perlu ditukar pada setiap perlumbaan untuk mengekalkan prestasi enjin.

DATA

YY PANG
UMUR: 60 tahun
ASAL: Malim, Melaka
PASUKAN: Motul KMC YY Pang
DITUBUHKAN: 1989
JAWATAN: Pemilik pasukan

KARIER:
Mula berlumba - 1969
Bersara - 1991

PELUMBA:
Expert - Edzuan Ghani, Md Rafie Md Naser
Novis - Md Emir Firdaus Hassan, Mohd Adli Salihin
Wira epg - Zaidy Zaifaizal

PENCAPAIAN PASUKAN:
1997 - Juara Novis Rosnizam Md Noor
1999 - Juara Novis Choo Chuen Hoong
1999 - Juara Yamaha 125Z Irwan Rosli
2005 - Juara Novis Md Zanardi Azahar
2007 - Juara Wira epg Md Emir Firdaus Hassan


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768