
BERBANDING Litar Kamunting Raya yang menyajikan saingan sulung Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta musim ini, Litar Kluang pasti menghadirkan cabaran lebih getir buat pelumba setiap kategori yang dipertandingkan.
Musim lalu, Ahmad Fazrul Sham mencuri tumpuan apabila menjuarai kelas Expert ketika rakannya dari sepasukan Shell Advance Maju, Md Suhadi Ali Rahmat ketiga manakala manakala pelumba Petronas Sprinta Ah Hong, Md Zamri Baba berkedudukan kedua.
Saingan terakhir menggunakan jentera dua lejang di litar sepanjang 0.947 kilometer itu tampak menjadi milik pelumba Shell Advance Maju pada sepanjang perlumbaan apabila
Fazrul, abangnya Ahmad Fazli Sham dan Suhadi mengorak langkah meninggalkan pencabar lain sejak awal.
Namun saingan bertenaga ditampilkan juara Novis tahun lalu, Md Zamri untuk memintas Fazli dan Suhadi pada pusingan penamat lantas merosakkan impian pasukan berkenaan meletakkan semua pelumbanya di podium.
Hujung minggu ini, Fazrul sekali lagi akan tampil membawa nama besar selaku juara di Taiping dan peminat pastinya ternanti-nanti sama ada dia mampu menghasilkan persembahan serupa untuk muncul juara sekali lagi di Kluang.