Hujan bukan halangan di Litar Taiping




KEHADIRAN lebih 35,000 peminat sukan permotoran pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta di Litar Kamunting Raya, Taiping jelas membayangkan kerinduan mereka terhadap perlumbaan itu yang berehat lama selepas tamat saingan musim lalu.

Dan tidak menghairankan pada saingan pertama hujung minggu lalu, ditambah pelbagai aktiviti yang dirancang - ia menepati statusnya sebagai perlumbaan domestik terbesar tanah air.

Kehadiran jenama pengeluar baru seperti Suzuki, Modenas dan Naza selain ‘muka lama’ Yamaha dan Honda menambah kemeriahan saingan kali ini bukan saja dari segi saingan tetapi juga aktivitinya.

Peminat kini bukan saja dapat melihat perlumbaan bahkan boleh menyertai pelbagai aktiviti ditawarkan dan menerima hadiah menarik daripada penganjur.

Ia menjadikan ia seakan satu pesta besar buat seisi keluarga yang boleh datang menyaksikan perlumbaan dan melawat pelbagai gerai pameran.

Tidak lupa Kempen Keselamatan Motosikal Berita Harian-epg yang memasuki tahun kedua dan terus mendapat perhatian pengunjung untuk memeriksa kenderaan mereka dan mendapatkan hadiah istimewa.

Sejak Sabtu lagi, peminat sudah hadir ke litar untuk melihat sesi ujian dan hari berikutnya, jumlah itu berganda walaupun saingan agak terganggu oleh hujan di sebelah petang.

Bagaimanapun ia tidak menghalang peminat untuk menyaksikan saingan menarik dalam tiga kelas utama - Expert, Novis dan Wira epg sambil perlumbaan sokongan - Honda Wave 125-S - menambah kemeriahan.

Lebih menggembirakan warga Taiping, pelumba kesayangan mereka - Ahmad Fazrul Sham megah berdiri di podium selaku juara kelas Expert empat lejang buat kali pertama.

Bukan itu saja, Fazrul juga sudah meraih semua gelaran termasuk Novis dan Wira epg di litar kampung halamannya itu yang dilakukannya pada 2005.

Apapun kemeriahan itu pastinya berterusan di Litar Kluang 12 dan 13 April ini, litar di selatan yang mampu memberi ‘saingan sengit’ buat Litar Taiping dari segi sambutannya sejak kali pertama diadakan pada 2005.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768