Pengenalan jentera 4-lejang bakal saksikan saingan lebih sengit untuk memburu gelaran mahkota paling berprestij
MUSIM 2008 menghadirkan perubahan yang banyak dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas Sprinta AAM. Antara yang paling drastik adalah pertukaran daripada perlumbaan 2-lejang ke 4-lejang bagi kategori Expert.
Dalam tahun sulungnya, kelas Expert 4-lejang dijangka menyaksikan banyak pertarungan menarik dan sengit kerana modifikasi yang terhad dibenarkan dalam peraturan memaksa pelumba dan pasukan bersaing di tahap yang lebih saksama.
Dengan perubahan itu, pelumba dalam kelas Expert secara automatik dibahagikan kepada tiga kem - pakar 2-lejang, pelumba yang memiliki pengalaman dalam 2-lejang dan 4-lejang serta pakar 4-lejang yang terdiri daripada generasi muda. Malah pelumba sendiri sukar untuk meramalkan siapa yang akan mengungguli jenetra baru dan menguasai pusingan pertama pada 29 dan 30 Mac ini.
Pelumba 2-lejang
Ini adalah kelompok elit terdiri daripada pelumba yang berpengalaman luas. Diketuai nama tidak asing lagi seperti Ahmad Fazli Sham dan Ahmad Fuad Baharudin, pelumba veteran ini berdepan cabaran membuktikan mereka masih material untuk bergelar juara sekalipun dengan penggunaan 4-lejang.
Namun bagi pelumba ini, setiap litar bagi musim 2008 akan menjadi pengalaman baru buat mereka. Perbezaan besar antara enjin 4-lejang dan 2-lejang adalah elemen breknya. Dibekalkan dengan motosikal yang tidak begitu laju atau tidak bertenaga seperti sebelumnya, mungkin menyukarkan kelompok pelumba ini yang kini terpaksa merangka posisi terbaik untuk membuat brek atau memecut.
Kebiasaan lama mungkin sukar untuk dipecahkan dan peminat boleh menjangkakan beberapa pelumba berpengalaman ini akan mengalami ‘kejatuhan’ pada peringkat awal kejuaraan. Pelumba ini tidak memiliki rekod yang baik dalam perlumbaan 4-lejang. Mengubah corak tunggangan mereka untuk menyesuaikan dengan jentera 4-lejang adalah cabaran terbesar tahun ini tetapi kumpulan pelumba ini akan mempertaruhkan pengalaman luas mereka dan latihan bertahun-tahun sebagai senjata ampuh dalam usaha mempertahankan keunggulan mereka dalam kategori Expert.
Pelumba 4-lejang dan 2-lejang: Kelompok pertengahan
Selepas pakar 2-lejang hadir kelompok kedua di kalangan pelumba Expert. Kumpulan ini terdiri daripada pelumba yang memiliki pengalaman yang seimbang bagi kedua-dua perlumbaan 4-lejang dan 2-lejang. Mengepalai kelompok ini adalah nama-nama seperti Md Zamri Baba, Elly Idzlianizar Ilias dan Azlan Shah Kamaruzaman.
Berdasarkan persiapan teknikal dan mental, ini mungkin kumpulan yang paling bersedia menghadapi musim 2008. Mereka menghabiskan tahun-tahun awal dalam karier mereka dengan menunggang 4-lejang tetapi setahun berpengalaman dengan 2-lejang, tidak cukup lama untuk membentuk kebiasaan lama tetapi sudah cukup menghilangkan kekaguman mereka terhadap pelumba lebih senior.
Empat-lejang sepenuhnya
Pengenalan perlumbaan 4-lejang dalam kelas Expert adalah satu bonus besar buat pelumba rookie yang tampil buat kali pertama dalam kelas utama itu musim ini. Masih segar daripada perebutan kejuaraan Novis tahun lalu, pelumba seperti Md Affendi Rosli, Md Faiz Nawawi, Md Edzuan Ab Ghani dan Mahadhir Raduan akan tampil dengan keyakinan, pastinya mereka mampu melakukan impak yang lebih apabila perebutan kejuaraan 2008 dimulakan.
Senjata utama kumpulan ini adalah kepakaran mereka dengan perlumbaan 4-lejang. Bagaimanapun, untuk merangka jentera kejuaraan buat mereka, pelumba perlu mengambil kira peningkatan dalam kapasiti enjin dan tenaga yang dihasilkannya serta kepantasan yang tidak pernah dibenarkan sebelum ini dalam kategori Novis atau Wira epg.
Pada masa yang sama, pelumba muda ini perlu menangani faktor menakutkan bermula di grid yang sama dengan pelumba yang sebelumnya menjadi idola dan senior mereka. Hampir setiap pendatang baru dalam kelas Expert mengalami fenomena ini. Ia akan mengambil masa beberapa pusingan buat pelumba 4-lejang untuk mengatasi kekaguman mereka terhadap pelumba senior. Namun lambat laun, pelumba hebat seperti Affendi dan Edzuan akan mampu menampilkan aksi terbaik mereka ketika mereka berazam membuktikan keupayaan mereka dalam kelas riben biru itu.
INFO
PASUKAN : Motul KMC YY Pang
PENGURUS : YY Pang
JENTERA : Yamaha Lagenda
PELUMBA : Mohd Rafie Mohd Naser dan Mohd Edzuan Abdul Ghani
ANALISIS
Pasukan YY Pang memang dikenali dengan kepakaran 4-lejang. Tahun lalu saja, pasukannya memenangi empat pusingan dalam kelas Novis dan lima peringkat dalam kategori Wira epg dengan menggunakan jentera 4-lejang. Memenangi kejuaraan Wira epg 2007 pasti meningkatkan semangat pasukan itu. Sementara itu, kedua-dua Rafie dan Edzuan adalah pelumba 4-lejang yang bagus ketika Rafie berjaya dalam Underbone 115cc GP FIM Asia Petronas Sprinta dengan muncul naib juara keseluruhan dan Edzuan ketiga keseluruhan dalam kategori Novis tahun lalu.
PASUKAN : Suzuki Harian Metro SCK
PENGURUS : Soong Chee Kieong
JENTERA : Suzuki Shogun
PELUMBA : Norizman Ismail dan Mohd Affendi Rosli
ANALISIS
Sama ada kategori 2-lejang atau 4-lejang dengan menunggang jentera Yamaha, Soong Chee Kieong sudah menguasai kesemuanya. Norizman adalah juara kelas Expert 2005, Ridwan Bakri merangkul mahkota kejuaraan Wira epg 2006 manakala Affendi melengkapkannya dengan kejuaraan Novis 2007. Affendi mungkin pelumba rookie dalam kelas Expert tetapi dia pernah menunggang jentera 4-lejang selama empat tahun manakala Norizman berlumba dengan 4-lejang pada 2003. Bagaimanapun tahun ini, pasukannya akan menggunakan jentera Suzuki dan adalah menarik untuk dilihat bagaimana mereka akan bersaing di kalangan pencabarnya.
PASUKAN : Shell Advance Maju Motor
PENGURUS : Yong Ying Hoe
JENTERA : Yamaha Lagenda
PELUMBA : Ahmad Fazli Sham, Ahmad Fazrul Sham dan Mohd Faiz Nawawi
ANALISIS
Yong Ying Hoe dikenali kerana jentera hebatnya dan tercatat dalam sejarah dengan kejayaannya membentuk juara-juara 2-lejang. Chia Tuck Cheong, Mohd Faisal Yahya, K Sivanesan, Mohd Suhadi Ali Rahmat dan Fazli adalah juara Expert di bawah bimbingannya. Adakah beliau mampu mengekalkan reputasinya ketika kelas Expert bertukar daripada 2-lejang ke 4-lejang? Fazli yang menang enam pusingan musim lalu bergelut dengan jentera 4-lejang. Dia gagal menyinar dalam kedua-dua kelas Underbone 115 cc pada GP FIM Asia Petronas Sprinta serta Perlumbaan Piala Asean Yamaha menggunakan jentera 4-lejang. Sama ada Fazli masih berkeupayaan untuk melakar kemenangan, kita perlu tunggu dan lihat hujung minggu ini.
PASUKAN : Honda Racing
PENGURUS : Rodney Peh
JENTERA : Honda Wave 125s
PELUMBA : Zulhelmi Ahmad dan Nor Hisham Amran
ANALISIS
Musim ini adalah musim sulung Honda dalam kategori Expert. Nor Hisham begitu biasa dengan jentera Honda dan mempunyai pengalaman bersaing dengan jentera 4-lejang manakala Zulhelmi tidak berpengalaman.
PASUKAN : Petronas Sprinta Ah Hong
PENGURUS : Kenny Chua
JENTERA : Yamaha Lagenda
PELUMBA : Mohd Zamri Baba, Azlan Shah Kamaruzaman dan Elly Idzlianizar Ilias
ANALISIS
Pasukan Ah Hong memiliki barisan pelumba yang mantap. Zamri, Azlan dan Elly sudah sekurang-kurangnya tiga tahun berpengalaman berlumba dengan jentera 4-lejang dan mereka juga mempunyai rekod yang baik. Zamri memenangi kejuaraan Wira epg 2004 dan Novis 2006 manakala Elly muncul naib juara keseluruhan dalam Perlumbaan Piala Asean Yamaha. Mereka mungkin akan jadi pelumba pilihan.
PASUKAN : Modenas Pachi Yuzy Racing
PENGURUS : Shahrol Yuzy Ahmad Zaini
JENTERA : Modenas Kriss 120 Sports
PELUMBA : Mohd Suhadi Ali Rahmat dan Mohd Farid Ahmad
ANALISIS
Musim ini, Modenas bertanding buat kali pertama dalam kategori Expert. Mereka mungkin baru tetapi mereka memiliki Suhadi dan Farid yang berpengalaman dengan jentera 4-lejang, dan ditambah dengan faktor - Yuzy adalah jurulatih mereka. Kita akan tunggu dan lihat sejauh mana mereka mampu pergi musim ini.
PASUKAN : Petronas Sprinta Raceline
PENGURUS : Barry Leong
JENTERA : Yamaha Lagenda
PELUMBA : Ahmad Fuad Baharudin, Iskandar Raduan dan Mahadhir Raduan
ANALISIS
Fuad adalah pelumba paling berpengalaman di kalangan pelumba Expert dan dia dikenali sebagai pelumba serba boleh. Dia tidak akan berdepan masalah berubah daripada jentera 2-lejang ke 4-lejang dan kembali ke 2-lejang. Sementara itu, dua bersaudara Iskandar dan Mahadhir Raduan memulakan karier mereka menunggang jentera 4-lejang dan ia tidak akan menjadi masalah buat mereka untuk menyesuaikan diri dengan jentera 4-lejang.
PASUKAN : Suzuki Top-N Racing
PENGURUS : Ng Cheng Wah
JENTERA : Suzuki Shogun
PELUMBA : Mohd Zanardi Azahar dan Shahril Salleh
ANALISIS
Ini adalah musim sulung buat pasukan Top-N berlumba dalam kelas Expert. Shahril sudah memiliki tiga tahun pengalaman berlumba dengan jentera 4-lejang manakala Zanardi akan membuat kemunculan semula selepas berehat setahun. Bolehkah pasukan rookie mengalahkan pasukan ternama?