Personaliti: Dari gelanggang badminton ke litar lumba



SIAPA sangka pada suatu ketika dulu, bukan litar menjadi tempat buat pelumba Novis - Mohd Afiq Azhar menghabiskan masanya berlatih seharian, sebaliknya raket dan gelanggang badminton adalah teman setianya.

Dan ia bukanlah sesuatu yang asing buat Afix kerana dia memang berazam untuk menjadi pemain badminton kebangsaan sejak sekolah rendah dan sehingga kini, walaupun sudah bertukar minat menjadi pelumba motosikal, dia tetap meneruskan hobinya ketika kecil itu.

“Dulu cita-cita saya memang mahu menjadi pemain badminton kebangsaan dan saya pernah mewakili Kuala Lumpur pada 2002 selain wakil sekolah sehingga tingkatan lima,” katanya yang menamatkan persekolahan hujung tahun lalu selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Afiq, 18, sememangnya serius dalam setiap bidang sukan diceburinya dan tidak menghairankan dia pernah menjadi pelatih kelab Nusa Mahsuri semata-mata untuk meningkatkan permainannya ke taraf lebih bagus dengan berlatih di bawah bimbingan Misbun Sidek.

“Mungkin rezeki saya tiada dalam sukan badminton, lagipun saya juga berminat dengan sukan permotoran ini, sama seperti ayah,” katanya merujuk kepada ayahnya, Azhar Ahmad yang juga pernah bergelar pelumba dan sehingga kini masih meminati jentera berkuasa tinggi.

Afiq menjelaskan, sejak kecil, ayahnya sering membawanya dan adiknya Mohd Adli yang juga seorang pelumba Cub Prix menonton perlumbaan motosikal di Litar Antarabangsa Sepang malah dia juga aktif dalam perlumbaan mini bike sebelum terbabit secara serius dengan Cub Prix pada 2005.

“Sukan lumba motosikal ini lebih puas dari segi saingannya kerana kita sentiasa bersaing untuk mendapatkan kemenangan bertemu lawan yang handal,” katanya.

Kini selepas menamatkan peperiksaan SPM, Afiq jelas memiliki sasaran lebih pasti dengan mahu bergelar juara musim ini selain beraksi di tahap yang lebih tinggi bersama pasukan barunya, Modenas Yuzy Pachi Racing.

“Saya bukan sekadar mahu bergelar pelumba Cub Prix, saya mahu lebih dari itu kerana memang cita-cita saya ingin bergelar pelumba MotoGP,” kata anak kepada pasangan ahli perniagaan dan guru itu.

“Mungkin ramai yang berkata saya selalu menukar pasukan tetapi sebenarnya saya memilih pasukan yang benar-benar memiliki perancangan yang bagus dan bukan hanya sampai ke tahap tertentu saja kerana saya mahukan aksi yang lebih bagus.”

Dan menyedari musim ini pasti dipenuhi cabaran sengit, Afiq sudah bersedia lebih awal menghadapi musim ini apabila melakukan latihan kecergasan sama ada ke gimnasium, berjogging mahupun bermain badminton untuk meningkatkan kecergasannya sambil beraksi bersama jenteranya.

DATA

MOHD AFIQ AZHAR
UMUR: 18 tahun (11 Mac 1990)
ASAL: Kuala Lumpur
TINGGI: 162sm
BERAT: 49kg
ADIK BERADIK: Anak ketiga dari lima beradik
BAPA: Azhar Ahmad
IBU: Norizah Ilyas
MULA BERLUMBA: 2005
PASUKAN: Modenas Yuzy Pachi Racing
KELAS: Novis
MOTOSIKAL: Modenas
PENCAPAIAN:
2005 - Ke- 17 keseluruhan Wira epg
2006 - Ketiga keseluruhan Wira epg
2007 - Kesembilan keseluruhan Novis


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768