
MUSIM Cub Prix bermula kembali hujung minggu ini di Litar Kamunting Raya, Taiping yang sekali lagi pasti dinantikan setiap pasukan dan pelumba yang sudah berehat lama selepas tamatnya perlumbaan di Litar Kangar, tahun lalu.
Dan ketika ini, cakap-cakap mengenai musim baru ini mula kedengaran dan tumpuannya pasti terarah kepada saingan musim baru ini yang dikatakan akan lebih terbuka dan sengit membabitkan banyak pasukan dan pelumba muka baru.
Selain itu, pelbagai perkara baru juga difahamkan akan diadaptasi kepada perlumbaan musim ini, sesuatu yang sentiasa dilakukan penganjur Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) dalam memperkemaskan lagi perlumbaan domestik terbesar itu.
Justeru epg berpeluang bertemu bual dengan Pengarah Promosi SAM, saudara Ron Hogg untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai perlumbaan musim ini.
epg: Musim ini Cub Prix dikatakan akan berwajah baru dari segi pembabitan lebih banyak pengeluar motosikal tempatan, mungkinkah ia akan mewujudkan saingan lebih sengit?
RON HOGG (RH): Ya kita menerima penyertaan pasukan seperti Yamaha, Honda, Suzuki dan Modenas. Jika kita ambil kira pembabitan pengeluar ini, ia merangkumi 98 peratus industri motosikal di Malaysia.
Dengan kehadiran pasukan ini, sudah tentu akan mewujudkan saingan hebat. Masalah Cub Prix sebelum ini ialah peminat sering berkata bahawa jentera Yamaha saja yang akan menang tetapi kali ini dengan adanya pasukan ini, pasti akan mendatangkan saingan sengit.
Kita juga ada pasukan dari Naza dan Demak yang menyatakan keinginan untuk menyertai Cub Prix kali ini, cuma ia belum diputuskan lagi.
epg: Apakah faktor utama kehadiran lebih banyak pengeluar pada tahun ini?
RH: Ia disebabkan pengenalan kelas empat lejang pada kategori Expert dan tahun ini juga semua kelas akan menggunakan enjin empat lejang. Modenas misalnya sudah menjalankan kajian mereka untuk menyertai Cub Prix sebelum ini, Suzuki sudah enam bulan melihat kemungkinan akan kembali ke Cub Prix.
epg: Mungkin ia juga disebabkan faktor komersil?
RH: Jika kita lihat satu atau dua tahun lalu, jualan motosikal berkurangan tetapi sekarang ia semakin bertambah dan faktor komersil penting untuk menjual motosikal.
Aspek percakapan dalam pasaran atau 'market talk' ini mampu menambah jualan apatah lagi ketika ini Cub Prix adalah kejohanan terbesar membabitkan perlumbaan motosikal di peringkat tempatan.
epg: Bagaimana pula dengan pelumba dalam pasukan ini?
RH: Kebanyakan mereka memilih pelumba kelas Wira epg dan Expert. Pelumba muda dalam kelas Wira epg dan mereka tidak melupakan kelas Expert yang juga kelas utama.
epg: Adakah ini dapat membantu perkembangan pelumba muda?
RH: Kelas lain jangka masanya lebih pendek tetapi bagi kelas Expert ia paling lama, tetapi sejak kita memperkenalkan kelas Wira pada 2003 ramai pelumba Expert terdiri daripada pelumba muda. Sebelum itu umur pelumba Expert lingkungan 30-an tetapi kini mereka masing-masing berusia antara 23-24 tahun.
Harapan kita ialah untuk mendapatkan lebih ramai pelumba muda iaitu berusia kurang daripada 20 tahun kerana kita perlu mereka di usia yang lebih muda supaya dapat mencipta nama di peringkat seterusnya yang akan memakan masa selama 5-6 tahun pula sebelum boleh beraksi di tahap dunia.
epg: Bagaimana pula dengan perlumbaan sokongan?
RH: Tahun ini kita akan bermula dengan dua perlumbaan iaitu Yamaha dan Honda, kedua-duanya akan bermula di Taiping.
Aprilia ada rancangan untuk meneruskan perlumbaan sokongan tahun lalu iaitu Aprilia Racing Dreams tetapi ia mungkin akan menyertainya pada pusingan seterusnya kerana mereka memiliki perancangan sendiri.
Tahun ini juga kita tidak membenarkan pelumba yang menyertai perlumbaan tahun lalu menyertainya semula kali ini. Tahun lalu kita ada 40 pelumba dan tahun ini mereka perlu menyertai kelas terbuka.
Untuk kali ini, sokongan sangat bagus dan semua pelumba yang akan menyertainya berusia bawah 18 tahun. Perlumbaan ini boleh menjadi tempat untuk mengasah bakat mereka.
epg: Mungkin ada perancangan baru untuk mempromosikan lagi perlumbaan Cub Prix tahun ini?
RH: Selain mengekalkan insentif seperti tahun lalu, kita mahu lebih mempromosikan pasukan-pasukan yang bersaing pada kali ini.
Untuk itu kita sudah berbincang dengan pasukan supaya mereka dapat menyiapkan barangan cenderahati kepada peminat dan penyokong mereka dan ia akan dijual di setiap litar ketika ia berlangsung.
Kita mahukan penyokong seperti perlumbaan MotoGP dan disebabkan perlumbaan dijalankan selama dua hari kita dapat mengadakan promosi ini dengan lebih berkesan kerana barangan cenderahati ini boleh dijual dan sentiasa mendapat sambutan dari peminat. Pada Sabtu ramai yang datang untuk membeli barang dan Ahad mereka lebih suka melihat perlumbaan.
Tahun ini juga kita ada sesi bertemu peminat dan kita memperuntukkan masa selama dua jam untuk pelumba bertemu peminat buat semua pasukan. Sebelum ini pelumba tidak berpeluang bertemu dan bergaul dengan peminat.
epg: Selepas memperkenalkan perlumbaan selama dua hari tahun lalu, apakah maklum balas daripada peminat dan bagaimana pula dengan kehadiran penonton?
RH: Dari segi kehadiran penonton, tahun lalu kita mencatat kenaikan 20 peratus berbanding 2006. Pada 2006 kita menerima kehadiran antara 210,000-215,000 penonton tetapi tahun lalu ia meningkat kepada 250,000.
Sebelum ini ramai yang tidak begitu jelas dengan konsep perlumbaan selama dua hari ini tetapi kali ini kita harap akan ada lebih banyak penonton dapat hadir pada perlumbaan Sabtu.
epg: Bagaimana pula dengan litar baru yang diperkenalkan tahun ini?
RH: Kita ada litar baru di Terengganu yang kali terakhir mengadakan perlumbaan pada 1998 bertempat di Gong Badak. Kita harap sambutan kali ini akan sama atau melebihi rekod 55,000 peminat yang hadir pada 10 tahun lalu.
Kita juga masih mengekalkan litar Taiping walaupun ada sedikit perubahan dari segi pembangunan di sana dan jika kita masih berlumba di sana tahun depan, kita mungkin akan mengubahsuai sedikit lakaran litarnya.
Cub Prix juga akan terus berlumba di Sabah dan Sarawak cuma kali ini kita terpaksa membawa peralatan logistik lebih besar iaitu melebihi 70 kontena disebabkan pertambahan bilangan pasukan pada kali ini.
epg: Masih ada pembaharuan lain dirancang kali ini?
RH: Kita buat pertama kalinya akan menggunakan catatan masa mengikut sektor bagi setiap perlumbaan. Kita juga ada perangkap laju pada perlumbaan kali ini. Menerusi sistem ini, pasukan dan pelumba boleh membandingkan catatan masa mereka bagi setiap sektor serta kelajuan.
Semua pasukan boleh melihat catatan pelumba dan ia boleh dianalisis untuk melihat kekurangan dan kelebihan masing-masing.
Ia adalah langkah baik untuk meningkatkan saingan tahun ini dan pelumba serta pasukan pasti akan cuba meningkatkan persembahan masing-masing.
epg: Akhir sekali apakah harapan saudara terhadap hubungan baik dengan penaja utama Petronas yang jelas banyak membantu perkembangan perlumbaan ini di tanah air?
RH: Saya berterima kasih tidak terhingga kepada Petronas kerana memiliki visi jangka masa panjang untuk terbabit dalam Cub Prix ini. Sejak pembabitan mereka Cub Prix sudah berkembang dengan pesat kerana kestabilan yang wujud dalam kejuaraan itu. Dan saya berharap hubungan ini akan berterusan untuk memperkembangkan lagi sukan ini.