
SEPERTI kebiasaannya, kelas Wira epg sentiasa menjadi perlumbaan paling sukar di awal musim kerana tiada siapa akan dapat meramal dengan tepat siapakah bakal mendominasi perlumbaan kelas paling kecil itu.
Dan tambah menyukarkan apabila sebahagian besar pelumba yang menyertainya adalah muka-muka baru selepas pelumba yang beraksi tahun sebelumnya, sama ada secara automatik akan naik kelas atau cuba mencari angin perubahan di kelas lebih besar - Novis.
Tahun ini, perkara sama berlaku ketika beberapa nama besar seperti juara 2007, Md Emir Firdaus Hassan, Abdul Muhaimin Roslan dan Md Adli Salihin sudah beraksi dalam kelas Novis.
Dan kesempatan itu tampak terhidang buat pelumba ‘lama’ Mohd Sa’aduddin Rosle bagi menampilkan tunggangan terbaik tahun ini menepati statusnya sebagai antara paling berpengalaman di litar.

Sa’aduddin, 19, adalah pelumba musim lalu bersama Idemitsu Honda Racing dan kali ini dia masih mengekalkan pasukan sama walaupun sudah berubah nama kepada Honda 4T Racing dengan harapan besar untuk muncul juara.
“Saya sudah dua tahun bersama kelas ini jadi ia masa yang tepat untuk saya membuktikan sesuatu selepas penampilan pertama tahun lalu,” katanya yang berkedudukan kesembilan musim lalu.
Walaupun sedar reputasinya mungkin mendapat perhatian melebihi pelumba lain, pelumba kelahiran Balik Pulau itu tidak memandang rendah keupayaan pelumba lain kerana kekuatan masing-masing masih belum dapat dinilai.
“Ramai pelumba yang bagus seperti dari pasukan (Petronas Sprinta) Ah Hong dan Yuzy (Modenas Yuzy Pachi Racing) yang boleh menyerlah tahun ini. Sasaran saya mahu berada di kelompok lima terbaik tetapi jika mampu muncul juara ia pasti lebih bernilai,” katanya.
Sa’aduddin bagaimanapun perlu mengatasi halangan pertama hujung minggu ini apabila pusingan pertama bermula di Taiping, saingan sulung yang bakal memperlihatkan kekuatan setiap pasukan bagi menongkah arus musim ini.

Litar Taiping juga masih baru buat Sa'aduddin kerana dia tidak pernah berlumba di situ kerana pada musim ini dia mengalami kecederaan patah bahu dan tidak dapat beraksi di Kamunting Raya.
Dan kali ini dia mensasarkan untuk mengutip 25 mata penuh di sana selepas mengadakan latihan intensif sejak Selasa lalu di Pasir Salak, Perak selain mencari pelarasan terbaik buat perlumbaan pertama kalendar musim ini.
DATA
MD SA'ADUDIN ROSLE
UMUR: 18 tahun
ASAL: Balik Pulau, Pulau Pinang
ADIK BERADIK: Anak sulung dari dua beradik
TINGGI: v1.70sm
BERAT: 55kg
MULA BERLUMBA: 2007
PASUKAN: Honda 4T Racing
KELAS: Wira epg
MOTOSIKAL: Honda
PENCAPAIAN: Kesembilan keseluruhan Wira epg 2007