
BAGI sesebuah jentera perlumbaan, khususnya jentera dua roda, faktor tayar dilihat sebagai salah satu elemen penting bagi pelumba terutamanya ketika mengambil selekoh.
Selain itu, pemilihan roda atau rim yang sesuai juga menjadi elemen penting. Ini kerana kelebaran dan berat roda atau rim akan mempengaruhi kestabilan jentera ketika bersaing dalam perlumbaan.
Pemilihan saiz tayar dan penggunaan roda mungkin berbeza pada setiap litar perlumbaan bergantung kepada teknik pengendalian pelumba.
Tidak semestinya tayar yang lebih lebar memiliki keupayaan mengambil selekoh dengan lebih pantas manakala tayar yang lebih kecil pula sukar mengambil selekoh. Bagi penggunaan roda pula, secara amnya, roda atau rim yang lebih berat memudahkan pelumba mengambil selekoh tetapi keupayaannya memecut di laluan lurus adalah kurang dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu, kombinasi tayar dan roda yang sesuai akan memudahkan pengawalan jentera seterusnya memberi lebih peluang buat seseorang pelumba bergelar juara.
Peraturan teknikal musim 2008 diperbaharui dan penggunaan tayar dihadkan kepada satu set sahaja pada setiap hujung minggu perlumbaan. Ini bermakna, setiap pelumba harus menggunakan tayar yang sama pada sesi ujian masa, saringan dan juga perlumbaan akhir. Selain itu, dari segi keselamatan pula, ketebalan bunga tayar itu mestilah tidak kurang 60 peratus daripada asal sebelum pelumba memulakan perlumbaan akhir.

Di samping itu, pengenalan peraturan ini dapat mengurangkan kos penyediaan tayar bagi setiap pelumba mahupun pasukan yang bersaing. Oleh itu, aspek penjagaan tayar haruslah dititikberatkan supaya setiap tayar yang digunakan dapat berfungsi dengan baik sehingga ke akhir perlumbaan. Faktor ini dilihat sebagai medan yang akan menguji tahap kecekapan pelumba dan juga strategi pasukan bagi merebut gelaran juara pada setiap pusingan.
epg: Apakah perbezaan di antara tayar perlumbaan dan tayar kegunaan harian?
Barry Leong (BL): Secara asasnya, tayar yang digunakan untuk perlumbaan mempunyai lapisan khas getah membolehkannya lebih mencengkam pada permukaan litar.
Teknologi terkini pembuatan tayar seperti dari model radial cukup berkesan menjadikan tayar selamat sekiranya jentera bergerak pantas tetapi ia tidak mampu bertahan lama kerana dibuat daripada bahan lembut.
Berbanding tayar biasa, tayar perlumbaan jauh lebih mahal dan dijual di pasaran antara RM250 sehingga RM500 manakala jangka hayat sehingga 1,200 kilometer saja berbanding satu atau dua tahun bagi motosikal biasa.
epg: Apakah jenis tayar dan saiz yang kebiasaannya digunakan bagi tayar hadapan dan juga belakang?
BL: Ketika ini semua jentera perlumbaan Cub Prix menggunakan tayar import. Bagi tayar hadapan, kami menggunakan tayar bersaiz 90/80 dan untuk tayar belakang, kami menggunakan tayar bersaiz 100/70. Namun begitu, di sesetengah litar perlumbaan kami akan menggunakan tayar saiz sama bagi kedua-dua tayar hadapan dan belakang.
epg: Kenapa kombinasi ini yang dipilih?
BL: Dalam perlumbaan Cub Prix, pemilihan tayar tidak begitu rumit kerana kelajuannya tidak mencecah tahap terlalu laju cuma kita perlu menjaga ketahanannya supaya mampu bertahan lebih lama.
epg: Adakah pemilihan jenis rim berbeza mengikut litar perlumbaan?
BL: Sudah tentu. Dalam perlumbaan Cub Prix ada perlumbaan di litar sebenar dan juga di litar jalanan. Pemilihan rim bergantung kepada keadaan litar dan juga saiz tayar yang akan digunakan.
Sekiranya perlumbaan dilangsungkan di litar sebenar, rim yang lebih lebar akan digunakan supaya dapat disesuaikan dengan tayar yang lebih lebar.
Penggunaan rim seharusnya sesuai kerana jika ia terlalu kecil atau terlalu besar berbanding tayar, ia akan menyebabkan tayar tidak mampu beraksi di tahap maksimum selain akan menyebabkan penggunaan minyak yang banyak.
epg: Bagaimana tekanan angin dalam tayar mempengaruhi prestasi tayar berkenaan?
BL: Bagi setiap tayar sama ada untuk perlumbaan atau kegunaan harian, ada nilai tekanan angin yang disyorkan. Tetapi, tekanan angin tayar bagi perlumbaan di litar sebenar tidak sama dengan tekanan angin bagi tayar yang digunakan untuk perlumbaan di litar sementara kerana di litar sebenar, suhunya lebih tinggi dan secara langsung meningkatkan tekanan angin dalam tayar itu. Oleh itu, pelarasan tekanan yang tepat dapat memastikan tayar-tayar ini berfungsi dengan baik sehingga ke akhir perlumbaan.
epg: Apakah teknik yang digunakan bagi memastikan tayar sentiasa dalam keadaan baik?
BL: Sekiranya berlumba di litar sebenar, kami menggunakan ‘tyre-warmer’ supaya tayar tidak perlu dipanaskan lagi dan pelumba boleh terus beraksi. Selain itu, setiap kali pelumba memasuki pit, krew pasukan akan sentiasa memeriksa tayar-tayar itu supaya tidak ada sebarang kesan calar atau apa-apa saja yang boleh mengakibatkan tayar-tayar itu bocor.
Ahmad Fuad Baharudin (Pelumba Petronas Sprinta Raceline)
epg: Sebagai pelumba, apa pendapat Fuad mengenai peraturan baru kawalan tayar pada musim ini?
Ahmad Fuad Baharudin (AFB): Ia satu langkah yang bagus kerana ia berlaku adil kepada semua pihak, terutamanya bagi pelumba perseorangan dan pasukan kecil yang tidak mempunyai peruntukan besar. Tayar perlumbaan amat mahal harganya. Tayar belakang saja berharga kira-kira RM420 manakala tayar hadapan kira-kira RM220. Peraturan baru juga akan memberi faedah kepada pasukan besar kerana mereka boleh berjimat dan menggunakan wang itu untuk perkara lain.
epg: Adakah peraturan ini menambahkan lagi cabaran dalam perlumbaan musim ini?
AFB: Ia memang satu cabaran sekarang kerana semua pelumba perlu memiliki strategi yang mantap. Berapa pusingan mereka bersedia untuk melonjak ketika sesi kelayakan pada Sabtu, saringan pada Ahad dan yang paling penting, perlumbaan akhir. Jadi, adalah amat penting setiap pelumba mengetahui ketahanan tayar yang mereka gunakan.
epg: Bagaimana anda mengatur strategi supaya tayar dapat digunakan secara optimum?
AFB: Saya bersama-sama dengan pasukan akan sentiasa berbincang supaya tayar yang dipilih dapat digunakan secara optimum. Sebelum bermulanya musim perlumbaan ini, kami sudah mengadakan latihan khas untuk menguji keupayaan setiap tayar. Berdasarkan keputusan ujian itu, saya dan rakan sepasukan menetapkan strategi dan kami tidak sabar untuk mempraktikkannya pada pusingan pertama nanti.
epg: Sebagai seorang pelumba berpengalaman, adakah anda rasa peraturan ini mempengaruhi pelumba-pelumba persendirian?
AFB: Sebenarnya, ramai pelumba yang berlumba atas tiket pelumba persendirian bergelut dengan kos untuk menyertai perlumbaan. Kebanyakan daripada mereka menggunakan satu set tayar sahaja bagi setiap tiga atau empat perlumbaan. Oleh itu, peraturan ini mungkin tidak mempengaruhi pelumba-pelumba yang bersemangat tinggi ini.