Ridwan dapat semangat baru



Pelumba Honda Racing Team sasar kedudukan lima terbaik dalam kategori Novis musim ini

SEKADAR menduduki tangga kelapan keseluruhan pada musim pertamanya dalam cabaran kelas Novis pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas Sprinta 2007 ternyata menyuntik semangat baru buat Ridwan Bakri hadir sebagai pencabar yang digeruni.

Juara kelas Wira epg pada 2006 yang tampil bersama pasukan barunya Honda Racing Team ini menjadikan pengalaman semusim bersaing dalam kelas Novis sebagai pengajaran penting melangkah maju ke hadapan dalam membina reputasi cemerlang sebagai pelumba negara.

“Hajat di hati saya ingin mencontohi kejayaan Mohd Zamri Baba dengan rekod bergelar juara Wira epg kemudiannya Novis. Saya sedar bukan mudah, namun untuk mencapainya saya perlu lebih konsisten dalam setiap perlumbaan pada musim baru nanti. Menjadi impian saya untuk memenangi podium dalam setiap pusingan,” jelas pelumba kelahiran Gelugor, Pulau Pinang ini.

Namun dia sedar betapa saingan Novis begitu kompetitif yang memerlukan fokus dan tunggangan lebih agresif berbanding ketika bersaing dalam kategori Wira epg selain memerlukan jentera yang berdaya saing.

“Cara tunggangan dalam kategori Novis tidak jauh berbeza seperti ketika saya menunggang dalam Wira epg dua musim sebelum ini. Begitupun saingan Novis sebenarnya lebih kompetitif dan memerlukan tunggangan yang agresif berbanding tahap persaingan dalam kelas bawah 19 tahun itu.

“Kekuatan dan ketahanan jentera juga memainkan peranan penting. Apa pun saya perlu berusaha keras untuk mendapat keputusan lebih baik musim ini. Keseluruhannya, saya akan berasa gembira untuk menamatkan saingan di dalam kelompok lima terbaik tahun ini. Walaupun hakikatnya gelaran juara sememangnya menjadi impian saya,” kata pelumba yang bernaung di bawah pasukan Harian Metro SCK musim lalu.

Ridwan beralih menyertai pasukan Honda Racing apabila menandatangani kontrak baru menjelang musim baru. Semangatnya kini lebih membara berlumba dengan pasukan baru.

“Walaupun musim lalu saya menggunakan jentera Yamaha dan kali ini saya beralih menggunakan jentera Honda, saya tetap berkeyakinan untuk mencapai keputusan cemerlang. Saya akan berusaha memastikan yang terbaik untuk pasukan baru saya Honda Racing Team kerana saya yakin kemampuan pasukan ini untuk menjulang saya sebagai juara.

“Sokongan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh pasukan ini sejak kehadiran saya tidak akan saya lupakan. Sebagai tanda terima kasih, saya akan berusaha untuk memberikan kemenangan kepada pasukan,” kata Ridwan yang baru sahaja pulang daripada menyertai Kejohanan Honda Piala Asean di Filipina.

DATA

NAMA: Ridwan Bakri
UMUR: 21 tahun
ASAL: Gelugor, Pulau Pinang
PASUKAN: Honda Racing Team
MULA BERLUMBA: 2005
KATEGORI: Novis
PENCAPAIAN
2007 - Kelapan keseluruhan Novis
2006 - Juara Wira epg


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768