Liu Xiang fenomena baru China



DETIK emas Liu (kanan) melepasi garisan penamat
untuk rekod baru dunia.

Memecahkan rekod 13 tahun jaguh Britain Colin Jackson dengan kelebihan 0.03 saat

JUARA Olimpik China, Liu Xiang terus membanggakan Asia apabila mencatat rekod baru dunia dalam acara kegemarannya, 110 meter berpagar sesuatu yang amat cemerlang apatah lagi jika dibuat perbandingan antara pelari pecut Asia dan Eropah mahupun Afrika.

Catatan 12.88 saat pada Kejuaraan Super Grand Prix di Lausanne, Switzerland awal Julai lalu menenggelamkan catatan lama 12.91s ciptaan pelari legenda Britain, Colin Jackson kira-kira 13 tahun lalu.

Ia mencetuskan fenomena hangat di seluruh dunia apatah lagi di China, tempat kelahirannya ketika Liu sendiri seakan tidak percaya dia mampu melakukan catatan berkenaan.

“Saya tidak pernah terfikir saya boleh memecah rekod dunia. Saya rasa sangat penat tetapi begitu gembira,” kata Liu yang menyukai Switzerland terutamanya Lausanne apabila dia turut mencatat rekod di sana dalam Kejohanan Remaja Dunia pada 2002.

Liu Xiang juga adalah pemilik bersama rekod sebelumnya dengan catatan 12.91s ketika menjuarai emas Olimpik 2004 di Athens, Greece, catatan sama di lakukan Colin Jackson sebelumnya.


CATATAN 12.88 saat yang sentiasa diingati Liu.

Kemenangan itu menaikkan namanya di China, malah dia lebih menjadi sebutan berbanding acara itu sendiri seakan selebriti yang begitu popular yang dikejar peminatnya ke mana saja.

Dunia olahraga terkejut dengan saat ajaib dilakukan Liu apabila dia mencantas margin besar untuk rekod baru dunia itu ketika dia dikatakan tidak mampu melakukannya kerana baru sembuh dari kecederaan.

Renaldo Nehemiah, bekas pelari Amerika Syarikat yang mencatat rekod dunia pada era 1980an mengakui ‘sudah tiba masanya’ rekod dunia itu hadir selepas dunia sekian lama menantinya.

“Lariannya penuh teknikal. Larian pecut asas di permukaan milik Liu tidak begitu baik berbanding pelari lain yang bermakna dia boleh melepasi pagar dengan kelajuan tinggi tanpa perlu bimbang menjadi terlalu pantas.

“Dia boleh lebih tenang, hanya memberi tumpuan terhadap tekniknya dan melepasi halangan. Lawannya lebih laju di permukaan tetapi kelajuan itu adalah halangan utama buat mereka,” katanya.

Walau sudah bergelar pemegang rekod dunia, sasaran utama Liu masih tidak berubah iaitu mempertahankan pingat emas dimenangi pada Olimpik 2008 di Beijing.

“Semua latihan akan akan mengikut perancangan asal,” kata jurulatihnya, Sun Haiping. “Temasya 2008 sentiasa menjadi keutamaan. Memang bagus Liu Xiang mencatat rekod baru tetapi latihan untuk temasya itu masih mengikut perancangan,” katanya.

DATA
LIU XIANG
UMUR: 23 tahun (13 Julai 1983)
ASAL: Shanghai, China
ACARA: 110 meter berpagar
PENCAPAIAN UTAMA:
2001 - Emas Kejohanan Pelajar Dunia - Beijing, China
- Emas Sukan Asia Timur - Osaka, Japan.
2002 - Emas Kejohanan Asia - Manila, Filipina
- Emas Sukan Asia - Busan, Korea Selatan
2003 - Gangsa Kejohanan Dunia, Paris, Perancis
- Gangsa 60m Kejohanan Dalam Dewan Dunia - Birmingham, England.
2004 - Gangsa 60m Kejohanan Dalam Dewan Dunia - Budapest, Hungary
- Emas Olimpik Athens, Greece.
2005 - Perak Kejohanan Olahraga Dunia, Athens
2006 - Rekod Dunia 12.88 saat

TAHUKAH ANDA?
Liu adalah atlit pertama China yang memenangi pingat emas Olimpik dalam acara balapan ketika muncul juara di Athens, dua tahun lalu dan ramai menjangkakan pelari muda itu hanya akan berupaya memecah rekod pada Olimpik 2008 di Beijing tetapi dia melakukannya dua tahun lebih awal.




Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768