
TIADA yang lebih membanggakan muncul juara
kelab-kelab benua Asia.
STATUS sebagai jaguh kelab bola sepak Asia menjadi milik Al-Ittihad dari Arab Saudi sekali lagi selepas menjuarai Liga Juara-Juara AFC buat kali kedua berturut-turut menerusi kemenangan 4-2 mengatasi Al-Ain dari Emiriyah Arab Bersatu pada final kedua di Jeddah.
Al-Ittihad, yang merobek impian Seongnam Ilhwa Chunma dari Korea Selatan tahun lalu, mengesahkan kejuaraan terunggul di benua Asia dengan agregat 5-3 apabila seri 1-1 pada final pertama di gelanggang lawan.
Gol seawal minit kedua menerusi bintang Sierra Leone, Mohamed Kallon yang pernah beraksi di Serie A bersama Inter Milan dan AS Monaco dalam Liga Perancis, dan tandukan Mohammed Noor pada minit ke-33 memberikan kelebihan 2-0 buat pasukan bimbingan Anghel Iordanescu itu sebelum babak pertama berakhir.
Sekalipun Al-Ain, juara kejohanan itu pada 2003, merapatkan kedudukan dengan gol sepakan penalti Shehab Ahmed 10 minit selepas babak kedua berlangsung, pasukan dari Jeddah itu mengukuhkan kedudukan seminit kemudian menerusi Joseph-Desire Job yang dipinjamkan daripada kelab Liga Perdana Inggeris, Middlesbrough.
Job dibuang padang tidak lama kemudian tetapi Ahmed Dokhi memastikan piala dalam genggaman Al-Ittihad 22 minit sebelum tamat sekalipun Luis Tejada membalas buat pasukan pelawat pada masa kecederaan.
Kemenangan itu membolehkan Al-Ittihad menerima AS$500,000 (RM1.9 juta) sebagai juara tetapi apa yang lebih penting tiket ke Kejohanan Kelab Dunia FIFA di Jepun bulan depan, yang mana mereka akan membuka tirai kempen menentang juara Afrika pada 13 Disember di Tokyo.
Kemenangan itu juga amat manis buat kelab Arab Saudi itu yang sebelum ini menjulang trofi Liga Juara-Juara Arab pada Julai untuk menambah koleksi kejuaraan liga tempatan dan cabaran benua yang mengagumkan.
Al-Ittihad hanya mengubah seorang pemain dalam kesebelasan utama yang seri 1-1 pada final pertama di Al-Ain 10 hari sebelumnya dengan Mohammed Noor, yang hanya beraksi pada babak kedua pada perlawanan terdahulu, memulakan perlawanan di tempat Ibrahim Sowed yang mengalami kecederaan.
Ia adalah perlawanan yang begitu membanggakan buat pemain tengah itu yang menjaringkan satu gol dan kemudiannya dipilih sebagai pemain terbaik final.
Di Al-Ain 26 Oktober lalu, tuan rumah memecah kebuntuan pada minit ke-50 menerusi Ali Msarri sebelum Kallon menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti lima minit sebelum tamat.