Ji-Sung senjata baru Man United



PERMATA baru kebanggaan Asia, Park Ji-Sung Park awal-awal lagi menegaskan dia bukan datang ke Old Trafford hanya untuk melariskan jualan jersi 'Red Devil' sebaliknya mahu membuktikan negara Asia tidak kurang pemain hebat di pentas tertinggi bola sepak dunia.

“Saya mahu menunjukkan nilai sebenar saya kepada United dari sudut kebolehan, bukan setakat strategi pemasaran untuk Asia. Saya bukan ke England kerana perniagaan,” kata pemain yang dibeli dari kelab Belanda, PSV Eindhoven itu.

Ji-Sung mencuri tumpuan di bawah kendalian jurulatih Guus Hiddink di PSV apabila bersama rakan sepasukan Lee Young-pyo mengemudi pasukan juara Liga Belanda itu ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu namun mereka tewas di tangan AC Milan menerusi kiraan agregat.

Namun ia tidak berhenti begitu saja apabila Ji Sung mula dirisik kelab-kelab utama dunia me nguatkan dakwaan pemain kesayan gan Korea Selatan ketika Piala Dunia 2002 itu bakal menggalas tugas utama bersama kelab lebih ternama.

Ternyata ia benar apabila Ji-Sung dilamar United minggu lalu dengan yuran perpindahan RM27.74 juta (US$7.3 juta) mengesahkan bintang berusia 24 tahun itu menjadi pemain Korea pertama menyarung jersi United sambil bakal menerima gaji berjumlah RM13.68 juta setahun.

“Sebagai rakyat Korea, saya mahu membuktikan pemain Korea juga boleh bermain di tahap tertinggi. Saya yakin boleh membuktikannya di kelab antara terbaik dunia,” katanya.

Kegembiraan Ji-Sung memang tidak dapat dinafikan apatah lagi inilah satu-satunya peluang buatnya memperbaiki kelemahan bagi bergelar antara pemain hebatwalaupun dia terpaksa meninggalkan rakan rapatnya dan Hiddink yang banyak berjasa membentuknya sejak Piala Dunia 2002.

“Secara peribadi saya begitu bangga. Saya meminta maaf dan berterima kasih terhadap Hiddink, saya rasa saya boleh membalas jasanya dengan menjadi antara pemain terbaik di Manchester,” katanya.

DATA Park Ji-Sung

UMUR:
24 tahun (25 Februari 1981)
ASAL: Seoul, Korea Selatan
TINGGI: 175sm
BERAT: 70kg
POSISI: Tengah
KELAB: Manchester United
KELAB LAMA:
PSV Eindhoven (Belanda, 2003 – 2005), Kyoto Purple Sanga
(Jepun, 2000 – 2003)

PENCAPAIAN
PSV Eindhoven – Juara Liga Belanda 2005
Kyoto Purple Sanga – Juara Divisyen 2 Liga J 2001, Piala Maharaja 2002/03

PASUKAN KEBANGSAAN:
Korea Selatan (2000 - sekarang)
PERLAWANAN PERTAMA:
Menentang Mexico
PENAMPILAN: 42 perlawanan
PIALA DUNIA: 2002
GOL: 5

TAHUKAH ANDA
Park Ji-Sung adalah pemain yang membawa kemenangan Korea Selatan berdepan gergasi Eropah, Portugal apabila meledakkan sepakan volley cantik dalam kemenangan 1-0 peringkat kumpulan menentang Portugal pada Piala Dunia Korea/Jepun 2002.

Dia juga menjaringkan gol pertama PSV Eindhoven menentang AC Milan dalam pertemuan kedua separuh akhir Liga Juara-juara yang berkesudahan menang 3-1 dan penjaring gol terakhir Korea Selatan ketika menewaskan Kuwait 4-0 untuk layak buat kali keenam berturut-turut ke Piala Dunia 2006 .




Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768