Wakil Asia sedia gegar dunia



JEPUN harus berbangga selaku pasukan pertama layak ke Piala Dunia 2006 di Jerman daripada pelbagai zon kelayakan peringkat global.

Namun, sebagaimana dijangka skuad pimpinan legenda Brazil, Zico adalah antara empat gergasi Asia berjaya melangkah ke temasya itu selain Korea Selatan, Iran dan Arab Saudi untuk hadir dalam kelompok 32 pasukan negara bagi memburu mahkota kejuaraan dalam tempoh setahun lagi.

Cuma yang bezanya tiada China kali ini yang gagal selepas menyertai kejohanan berprestij itu buat julung kali pada 2002. Kali ini tempat itu diisi Iran yang kembali semula selepas menyepi lapan tahun.

Kapten Iran, Ali Daei yang menjaringkan banyak gol di pentas antarabangsa berbanding pemain lain dalam sejarah perlawanan ini jelas membawa segenggam harapan ke Jerman membantu pasukan melangkah lebih jauh kali ini.

“Ini adalah detik paling manis bagi kami untuk membuat 70 juta rakyat kami gembira dan berpesta.


“Kejayaan ini membuktikan kami bukan pasukan kelas dua. Kami ke Piala Dunia dengan sasaran mahu layak ke pusingan kedua,” kata penyerang veteran itu.

Apapun, tumpuan pasti terarah sekali lagi kepada kelibat Korea Selatan - pasukan Asia paling hebat berdasarkan rekod selepas berjaya ke separuh akhir Piala Dunia 2002 lalu selain beraksi dalam final keenam berturut-turut daripada jumlah tujuh keseluruhan.

Jurulatih baru mereka dari Belanda, Jo Bonfrere boleh tersenyum melihat persembahan anak-anak buahnya apatah lagi ia adalah kali pertama pengendali itu berjaya membimbing pasukan kebangsaan ke Piala Dunia selepas mengemudi Nigeria dan Qatar.

Jika empat tahun lalu, Jepun turut mengharapkan penghormatan tertinggi apatah lagi mereka adalah tuan rumah bersama, kali ini mereka sekali lagi boleh melakukannya dengan bekalan lebih ampuh. Bagi Zico ia pasti satu titik peralihan dalam kerjaya bola sepak selepas gemilang selaku antara pemain Brazil paling unggul.

“Sejak saya menandatangani kontrak saya yakin misi ini akan mengecapi kejayaan. Saya amat bangga dengan persembahan pemain yang kuat dari segi mental dan juga teknik dan taktik permainan baik. Kami hanya tewas sekali (kepada Iran) daripada jumlah 11 perlawanan. Ia satu rekod terpuji.” katanya.

Jepun sudah 13 kali menyertai peringkat kelayakan tetapi hanya mampu ke Piala Dunia sebanyak tiga kali dengan kemunculan pertama di Perancis pada 1998.

Bagi Arab Saudi ini adalah kali ketiga berturut-turut mereka ke temasya selepas satu ketika keluarga diraja mereka mengharamkan sukan itu sehingga 1951.

Tidak banyak kejayaan disaksikan kecuali pada 1994 (mengatasi Belgium dan Maghribi) tetapi tewas semua perlawanan berikutnya pada 1998 dan 2002.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768