Ginseng Korea jadi ramuan mujarab Eindhoven
DUA tahun lalu, Guus Hiddink mengesan bakat milik dua anak buahnya dari Korea Selatan sambil membuat andaian mereka boleh mencari nama di pentas liga Eropah jika diberi peluang.
Hari ini, jelas tanggapannya tidak meleset melihat kelibat Park Ji-sung dan Lee Young-pyo yang terus mewarnai cabaran kelab PSV Eindhoven dalam Liga Belanda dan juga Liga Juara-Juara Eropah.
Dua pemain ini adalah bintang Korea Selatan apabila Hiddink membimbing pasukan Asia itu mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002 di halaman sendiri dan sumbangan besar mereka terus mendapat pujian pengendali itu.
Ji-sung yang bertindak di bahagian sayap dinobatkan pemain terbaik perlawanan ketika PSV menyingkirkan Monaco, bulan lalu untuk mara ke suku akhir Liga Juara-juara.
“Kami berhasrat untuk mengekalkan kedua-dua pemain ini di kelab ini kerana berjaya memberi persembahan terpuji dan se suai dengan corak permainan kami.
“Ji-sung berseronok di sini. Mereka berdua sudah berjaya menempah nama di sini,” kata Hiddink.
Park membuat kemunculan pertama di peringkat antarabangsa menentang Laos pada April 2000 dan kemudiannya mewakili negaranya di pusingan akhir Piala Dunia 2002, bermain kesemua tujuh perlawanan dalam perjalanan Korea Selatan ke separuh akhir. Saat paling manis buatnya ialah ketika meledakkan sepakan volley cantik dalam kemenangan 1-0 peringkat kumpulan menentang Portugal.
Young-pyo yang beraksi di bahagian tengah atau pertahanan membuat kemunculan pertama menentang Mexico pada Jun 1999 dan sudah 50 kali membuat kemunculan untuk pasukan kebangsaan.
FAKTA EpG
PSV Eindhoven
DITUBUHKAN: 31 Ogos 1913
BANDAR: Eindhoven
GELANGGANG:
Philips Stadium
KAPASITI: 33,500
LAMAN WEB: www.psv.nl
GELARAN:
Juara Belanda (17 kali): 1929, 1935,
1951, 1963, 1975, 1976, 1978, 1986,
1987, 1988, 1989, 1991, 1992, 1997,
2000, 2001, 2003
Juara Piala Belanda (7 kali): 1950,
1974, 1976, 1988, 1989, 1990, 1996
Juara Piala Super Belanda (7 kali):
1992, 1996, 1997, 1998, 2000, 2002, 2003
Juara Piala Eropah: 1988
Juara Piala UEFA: 1978
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|