Vahid beri Iran nafas baru melangkah ke Piala Dunia


DERITA gagal layak beraksi di Piala Dunia 2002 masih terasa oleh Iran - pasukan bola sepak gergasi dari Asia yang ketika itu dipalit kecewa tewas kepada Ireland 2-1 atas perkiraan agregat.

Kini impian sama dinyalakan untuk layak ke Jerman, tahun depan - rata-rata tempat di mana ramai pemain terbaik dari negara ini gemar menjadikan ia sebagai 'rumah kedua' mencari rezeki sambil memantapkan kemahiran dalam liga antara terbaik di dunia.

KETANGKASAN Nosrati
juga menjadi duri
dalam daging
pasukan lawan.


Vahid Hashemian dari Bayern Munich, Mehdi Mahdavikia (SV Hamburg) dan Fereydoun Zandi (Kaiserslauten), adalah nadi utama Iran kali ini. Hakikat itu terserlah apabila gabungan trio ini menjadi rencah ketika menumbangkan juara Asia, Jepun 2-1 dalam perlawanan kelayakan kumpulan B, minggu lalu.

Vahid adalah satu daripada pemain Iran paling menyinar dan diakui di antara pemain paling berbahaya di udara.

Penyerang Bayern itu membuktikan kelibatnya adalah taruhan utama Iran selepas menjaringkan dua gol kemenangan negaranya ke atas Jepun.

Dia yang diberikan jersi nombor 9 milik Giovane Elber oleh Bayern diakui boleh mengikut jejak langkah pemain ternama itu walaupun suatu ketika dulu pernah merajuk dan tidak mahu mewakili negaranya kerana diletakkan di bangku simpanan.

Produk import terbaik Iran dikenali sebagai 'helikopter' kerana kemampuannya di udara itu kini kembali selepas tiga tahun menyepi dan pengalaman luasnya mewakili banyak kelab di Jerman adalah aset utama.

“Kami akan ke Korea Utara untuk mendapatkan tiga mata penuh, kami sudah menundukkan juara Asia. Kami sudah meraih kejayaan terbesar sebelum bermulanya Piala Dunia,” kata jurulatih Iran dari Croatia, Branko Ivankovic yang berkeyakinan dalam pertemuan menentang Korea Utara di Pyongang selepas menundukkan Jepun.

Keazaman itu pastinya bukanlah omong kosong apatah lagi melihat kebangkitan negara yang pernah melakukan penampilan sulung mewakili Asia pada 1978 berulang kembali selain mencipta rekod baru untuk menyaingi Korea dan Jepun di Piala Dunia.

FAKTA EpG
IRAN muncul di kancah Piala Dunia buat julung kali pada 1978 di Argentina sebagai wakil tunggal Asia dan terus membuat kejutan seri dengan Scotland, 1-1 namun tewas di tangan pasukan finalis, Belanda selain Peru di peringkat kumpulan.

Selang 20 tahun mereka kembali buat kali kedua di Piala Dunia 1998 di Perancis apabila membuat kejutan besar menumbangkan Amerika Syarikat 2-1 menerusi jaringan Hamid Estili dan Mehdi Mahdavikia. Ini menjadikan Iran negara tunggal dari empat wakil Asia memenangi perlawanan di edisi berkenaan.

Piala Dunia ketiga kini dalam sasaran Iran dan mereka masih mengharapkan hero legenda Ali Daei, bintang muda - Mehdi Mahdavikia, Vahid Hashemian dan senjata rahsia, 'Ahli Sihir Tehran' - Ali Karimi dapat membuka laluan ke Jerman.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768