Paradorn, Thongchai lonjak imej Thailand


DUA bintang sukan sensasi Thailand – Thongchai Jaidee dan Paradorn Srichaphan tidak perlu diperkenalkan, apatah lagi pelbagai kejayaan mewarnai dunia mereka selaku atlit profesional dari negara Gajah Putih itu.

Malah, kedua-dua atlit ini yang meningkatkan martabat golf dan tenis difahamkan adalah personaliti sukan paling popular di negara asal mereka. Namun, bola sepak yang masih di tahap amatur tetap permainan nombor satu negara.

DATA EpG
PARADORN SRICHAPHAN
ASAL: Bangkok, Thailand
TARIKH LAHIR: 14 April 1979
KEDIAMAN: Bangkok
TINGGI: 6’1” (185sm)
BERAT: 81kg
STATUS PRO: 1997
GELARAN ATP: 4
GELARAN PERSEORANGAN: 2
HADIAH KEMENANGAN: AS$794,362 (RM3.01 juta)
PENCAPAIAN 2003: Juara Long Island, naib juara
Chennai separuh akhir Indianapolis separuh akhir Madrid TMS
KEGEMARAN: Lumba kereta dan tomoi


Kedua mereka berjaya membawa lambang kejayaan atlit Asia ke satu tahap membanggakan malah boleh melebihi keupayaan atlit ternama dunia seperti dibuktikan dengan kemenangan Thongchai di Kejohanan Golf Terbuka Malaysia di Kuala Lumpur, Ahad lalu.

“Saya rasa gembira ketika ini dan kemenangan ini harus membanggakan rakyat Thailand. Sebagai anak watan saya mahu mengejar banyak kejayaan lagi dan menjadi tenis permainan yang menjadi ikutan besar di negara saya,” kata Thongchai yang membina akademi golf di kampung asalnya di Lop Buri bagi mendidik kanak-kanak berpotensi.

Thongchai mendapat pengiktirafan daripada Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang menjemputnya selaku tetamu selain dianugerahkan pasport diplomatik bagi memudahkan bekas askar payung terjun itu menyertai pelbagai kejohanan di setiap negara dalam kalendar European Tour.

Kelebihan itu turut dirasai Paradorn yang suka bertemu duta Thailand untuk makan bersama di setiap negara di mana dia menyertai kejohanan sebagai simbol sikap sayangkan negaranya sehingga perkara itu dianggap sebagai tradisinya.

Malah Paradorn seperti juga Thongchai suka memakai baju berwarna merah yang disifatkan sebagai warna bertuah rakyat negaranya.

DATA EpG
THONGCHAI JAIDEE
TARIKH LAHIR: 8 November 1969
ASAL: Lopburi, Thailand
TINGGI: 170sm
BERAT: 71kg
STATUS PRO: 1999
GELARAN PERTAMA: Terbuka Korea 2000
RANKING PGA ASIA: Nombor 3 (setakat 16 Februari 2004)
RANKING DUNIA: 127 (setakat 16 Februari 2004)
PENCAPAIAN TERBESAR: Juara Volvo Masters Asia 2003
PENCAPAIAN LAIN:
1995 – Terbuka Amatur Pakistan;
1995 – Sukan Sea, Chiang Mai (berpasukan)
1997 – Piala Putra (individu)
1998 – Piala Putra (individu dan berpasukan)
1998 – Terbuka Amatur Singapura;
1998 – Terbuka Amatur Thailand;
2000 – Terbuka Bangkok Singha
2004 – Juara Terbuka Myanmar,
2004 – Juara Terbuka Malaysia


Bukan itu saja, pada November 2002 dia dilantik selaku Duta Kebudayaan negaranya dan diberikan juga pasport diplomatik selain menerima anugerah 'Thai of the Year' men gatasi beberapa penyanyi pop berstatus bintang dan ahli politik negaranya dalam satu tinjauan di negaranya.

Dia juga pernah menjadi penghias muka depan majalah 'Time Asia' pada April 2003 yang melabelkannya seorang daripada 29 'Hero Asia' pada tahun itu.

Walaupun jarang memenangi kejuaraan utama dalam jelajah ATP Dunia, Paradorn yang juga seorang daripada anggota pasukan Davis Cup Thailand sejak 1998 pernah menerima gelaran sebagai pemain ATP paling meningkat 2002 serta penghormatan Edberg Sportsmanship Award pada 2002-03.

Jadi tidak hairanlah, kedua 'jenama' antarabangsa Thailand ini tersimpan di sudut hati setiap rakyat di negaranya bukan saja di sebabkan kehebatan di gelanggang tetapi yang lebih penting semangat kesetiaan pada negara yang ada di sanubari mereka.





Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768