
DALAM kehebatan pemain sensasi Thailand, Paradorn Srichaphan mengukir gemilang dan menjadi pembawa bendera Asia di persada tenis antarabangsa ada juga nama lain yang tidak harus dipinggirkan.
Nama Hyung Taik Lee jelas bukan asing bukan setakat di liga benua ini malah di Jelajah ATP lelaki.
Pemain yang mula mengenali sukan tenis menerusi guru sekolahnya ketika berusia sembilan tahun terlebih dulu menjadi pemain profesional berbanding Srichaphan.
Sepanjang pembabitan profesional, pemain nombor satu Korea Selatan memiliki rekod konsisten dalam kedudukan dunia dengan kemampuannya mengekalkan kedudukan pada kelompok 100 terbaik dunia sebanyak empat kali dalam tempoh lima tahun.
“Pemain Asia tidak perlu bersikap pasif tidak dapat berjaya di ATP atau takut dengan pemain bintang. Mereka juga manusia cuma kita tidak melihat kemampuan kita dapat menandingi mereka.
“Selepas kejayaan Srichaphan saya juga bersemangat mengejar nama dan ia bukan mustahil kerana segala-galanya terletak pada minda kita,” katanya sebagai merujuk kepada kejayaan skuad bola sepak Korea Selatan yang berjaya layak ke separuh akhir Piala Dunia 2002.
Pencapaian tahun lalu pula menyaksikan pemain yang berasal dari perkampungan penanaman ubi ke ntang di daerah Kang Won Do itu berjaya memenangi 19 perlawanan peringkat sirkit ATP dan turut meraih satu gelaran di Grand Slam termasuk layak ke pusingan ketiga Terbuka Perancis di Roland Garros dan Terbuka AS di samping membuka saingan musim lalu dengan melangkah ke suku akhir di Terbuka Qatar di Doha.
Dia juga mewakili Korea Selatan ke tiga Sukan Olimpik iaitu Atlanta (1996), Sydney (2000) dan Athens (2004) sehingga ke pusingan kedua.
Pemain yang meminati bola keranjang ini mempunyai kelebihan dalam melakukan pukulan kilas dan lebih menggemari aksi di 'hard court'.
Menjadi pemain kedua terbaik Asia selepas Srichaphan, turut menyaksikan sukan tenis di Asia kini tidak lagi menjadi monopoli India sebaliknya kedudukan 10 pemain terbaik kini le bih terbuka dan turut mendapat saingan dari Jepun, Taiwan dan Hong Kong.
