Sania meniti era emas
APABILA gadis berusia 18 tahun ini melangkah ke gelanggang di Arena Rod Laver kira-kira seminggu lalu untuk menempuh halangan di kejohanan tenis Terbuka Australia, tidak ramai yang memandangnya.
Namun, sebaik Sania Mirza membuat kejutan menewaskan pemain Hungary, Petra Mandula 6-2, 6-1 di pusingan kedua pemerhati mula bertanya siapakah pemain itu.
Gadis cantik itu yang berada dalam ranking ke-166 dunia menewaskan lawan yang berada di ranking lebih baik (84) untuk mencipta sejarah tenis di India selaku wanita pertama berjaya mara ke pusingan ketiga.
“Kejayaan ini memberi semangat baru kepada saya. Saya sudah melihat kemampuan dan sasaran saya adalah untuk menjadi pemain dalam kelompok 20 teratas dunia satu hari nanti,” kata Sania yang berundur dari Melbourne selepas tewas kepada Serena Williams.
Jelas, kebangkitan wanita dari negara konservatif seperti India menonjol dalam tenis global kurang disaksikan dan apabila dia diajukan soalan kenapa ia berlaku Sania menjawab; “Kami sentiasa sukar men cari penaja, tambahan ramai daripada wanita dikahwinkan ibu bapa pada usia awal.”
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan tenis dunia, nama Sania mungkin masih segar kerana dia adalah juara beregu wanita Wimbledon 2003 apabila berpasangan dengan pemain Russia, Alisa Kleybanova.
Anak kepada Imran dan Nasima Mirza yang bermain tenis sejak enam tahun itu adalah wanita India pertama memenangi Grand Slam sejak kejayaan Rita Dabur pada 1952 yang ketika itu muncul naib juara acara perseorangan wanita.
DATA EPG
SANIA MIRZA
TARIKH LAHIR: 15 Nov 1986
ASAL: Mumbai, India
KEDIAMAN: Hydrabad, India
TINGGI: 168sm
BERAT: 54kg
JURULATIH: Cak Bhupathi
HOBI: Renang, muzik
SASARAN: Tempat 20 teratas ranking dunia
PEMAIN IDOLA: Steffi Graf
PENCAPAIAN: Juara beregu remaja wanita Wimbledon 2003; wakil India di Piala Fed Remaja 2002; pingat gangsa beregu campuran Sukan Asia 2002.
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|