Gara-gara rumah kena bom, Adnan berpisah dengan bola sepak



SKUAD Iraq yang layak ke separuh akhir Sukan
Olimpik 2004 di Athens.

KHABAR mengenai jurulatih bola sepak meletak jawatan atas masalah prestasi pasukan ataupun dia gagal melaksanakan misi kerap terpampang di halaman sukan akhbar dan sudah menjadi satu tatapan biasa.

Namun, lain pula ceritanya dengan gelagat bekas jurulatih Iraq – Adnan Hamd yang mengumumkan persaraan akhir tahun lalu.

Nampaknya Iraq nyata bukan bumi bertuah bagi pengendali skuad negara itu disebalik kejayaan gemilang membimbing pasukan dari Asia itu mara ke separuh akhir Sukan Olimpik 2004 di Athens.

Dia terpaksa bertarung nyawa di dalam dan luar padang akibat sengketa berpanjangan di bumi negara Teluk itu sejak berdekad lalu sehingga rumah kediamannya musnah di bom, baru-baru ini.

Hamd akhirnya terpaksa mengundur diri walau memiliki rekod baik membawa pasukan kebangsaan Iraq ke suku akhir Piala Asia dan separuh akhir Sukan Olimpik.

Selain itu, dia dianugerahkan Jurulatih Terbaik Asia 2004 atas pencapaian terpuji itu.

Dia juga cemerlang bersama kelab Al-Zawra apabila mengumpul hampir setiap gelaran domestik termasuk kejuaraan berganda liga dan piala liga.

Hamd berupaya membawa kelab berkenaan ke final Piala Juara-juara Asia menewaskan juara bertahan Al-Ittihad se lain menggunakan rencah taktikal terbaik untuk pasukan belia Iraq dalam kejayaan mengejutkan pada Piala Belia Asia ke-32 (bawah 19 tahun).

“Saya memang mahu meneruskan. Tapi terlalu banyak masalah keselamatan di Iraq.

Saya menerima panggilan yang rumah saya musnah dibom, situa si ini amat berat bagi saya.

Ketika ini saya rasa lebih elok berehat dan pada masa depan saya pastinya akan meneruskan kembali karier ini,” katanya yang mengakui jurulatih dan pemain terdedah kepada banyak bahaya akibat sengketa di Iraq. Pada Ogos tahun lalu ketika berlangsung Sukan Olimpik, Hamd pernah merayu supaya militan Islam membebaskan wartawan Itali - Enzo Baldoni sebelum bermula perlawanan penentuan pingat gangsa kedua pasukan.

“Kami mahu menyampaikan mesej keamanan kepada penculik berkenaan, mereka seharusnya membenarkan Baldoni kembali kepada keluarganya. Kita adalah bersaudara, kita semua adalah manusia.

Kami tidak bersengketa dengan Amerika atau sesiapa saja walaupun negara kami dimusnahkan dan rakyat di bunuh.

“Apakah ada kebebasan andai saya hendak ke stadium adanya tembakan di jalan-jalan raya,” katanya yang akan digantikan oleh Nasser Al Johar.

FAKTA EpG
PERSATUAN BOLA SEPAK IRAQ

DITUBUHKAN: 1948
ALAMAT: P O Box 484, Sha’ab Stadium Palestine Street, Baghdad, Iraq
TELEFON: + 882 1666669293
FAKS: + 44 2071805555







Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768