Angka kontinjen negara ke Olimpik Athens 2004 dijangka bertambah


PEMINAT sukan tanah air pasti mendengar perkhabaran bahawa jaguh terjun negara, Leong Mun Yee sudah layak ke Sukan Olimpik di Athens, tahun ini. Saya bagi pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengucapkan tahniah kepada atlit wanita kita ini yang menunjukkan kesungguhan untuk layak daripada disiplin popular ini.

Kejayaan Mun Yee muncul dalam kelompok 10 peserta terakhir bagi acara papan anjal 3 meter dan juga platform 10m di Kejohanan Piala Dunia di Athens, baru-baru ini harus menyuntik semangat kepada atlit atau pasukan lain.

Ini bererti dia akan menyertai Lim Keng Liat, Siow Yi Ting dan Saw Yi Khy dari acara renang ke Greece nanti.

Kemajuan ditunjukkan Mun Yee adalah baik kerana dia berjaya layak ke Sukan Olimpik dua kali berturut-turut selepas 2000 di Sydney. Ini menunjukkan atlit seperti ini sama ada mengekalkan mutu mereka secara konsisten atau pun bertambah maju.

Inilah yang kekurangan pada majoriti atlit dan pasukan negara yang kerap terumbang ambing prestasi di pentas antarabangsa. Adalah impian setiap rakyat Malaysia untuk beraksi dalam Sukan Olimpik dan atlit yang ada peluang harus menggunakannya secara maksimum untuk layak dan bukan takut untuk layak.

Percayalah jika kita gagal ke sukan seperti ini bererti kemajuan kita sudah terbantut kira-kira empat tahun kerana biasanya perubahan besar berlaku dalam tempoh itu di era sukan berteknologi tinggi masa kini.

Kelmarin, skuad hoki negara kita berlepas ke Madrid bagi kelayakan pra-Olimpik. Saya berharap pasukan pimpinan Paul Lissek juga akan berjaya. Pasukan hoki negara kita tidak pernah gagal ke pusingan akhir Sukan Olimpik sejak 1992 di Barcelona dan saya berharap kejayaan itu akan berterusan.

Lazimnya, skuad hoki kita membentuk jumlah besar daripada angkatan kecil kita setiap kali ke Sukan Olimpik dan sudah pasti kehadiran mereka akan dapat memeriahkan suasana kontinjen Malaysia nanti.

Pasukan badminton negara yang menyerlah di kelayakan Piala Thomas, baru-baru ini juga membentuk angka besar dan tambahan kejayaan pasukan wanita layak ke pusingan akhir Piala Uber juga satu berita amat menggembirakan.

Kita menjangkakan angka baik daripada badminton sebagai wakil kita kali ini.

Ketika ini MOM belum pasti berapa jumlah atlit ke Athens tapi saya melihat antara 50 atau 55 atlit negara ada prospek mewakili kita kali ini.

Atlit negara daripada cabang sukan lain masih ada kejohanan kelayakan bagi mengintai peluang ke Greece dan saya mahu mengucapkan selamat berjaya dan selamat berjuang.

Kita juga mengharapkan ada tambahan wakil daripada lapangan olahraga selepas kejayaan Yuan Yu Fang.

Baru-baru ini MOM juga peka akan masalah kekurangan kelab olahraga di negara yang boleh menjejaskan kelahiran atlit berkemampuan mewakili pasukan negara di masa depan.

Kami menggesa Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) bekerjasama dengan majlis tempatan dan pemilik stadium untuk membentuk kelab di seluruh negara.

MOM percaya penganjuran kegiatan sukan secara kerap bagi kelab antara faktor boleh membantu memastikan kesinambungan pembangunan peringkat kelab.

Antara cara adalah bekerjasama dengan pemilik stadium bagi penubuhan kelab olahraga yang banyak bagi pembangunan peringkat akar umbi.

Tambahan, antara kepincangan adalah sikap berbeza antara agensi kerajaan dan bank dalam membantu pelajar selepas dia meninggalkan sistem persekolahan.

Baru-baru ini bekas atlit Olimpik negara, Ishtiaq Mubarak ada membangkitkan cadangan agar kejohanan antara kelab peringkat kebangsaan diadakan bagi mendorong penyertaan yang menyeluruh bakat di seluruh negara.


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768