Tuntutan RM190 juta buat MOM berang
BARU-baru ini delegasi badan sukan dari wilayah Guangdong membuat lawatan ke pejabat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kuala Lumpur. Hajat mereka adalah mendapatkan sokongan kita bagi membuat penawaran menjadi tuan rumah Sukan Asia 2010 di Bandaraya Guangzhou.
Pada masa sama kami di MOM juga menyuarakan hajat sama menjadi tuan rumah dengan hujah bahawa kami tewas dalam penawaran Sukan Asia 2006 yang dimenangi Qatar.
Lagi pun, Malaysia belum lagi menjadi tuan rumah temasya sukan terbesar benua ini. Bandaraya lain yang turut bersaing sekarang adalah Daegu dari Korea Selatan dan Amman, Jordan.
Delegasi dari China itu ada menemui lembaga Eksekutif MOM dan kami berbincang dengan pandangan terbuka.
Kali terakhir China menjadi tuan rumah Sukan Asia adalah pada 1990 di Beijing manakala Korea Selatan pada 2002 di Busan. Amman juga belum pernah menjadi tuan rumah seperti Malaysia.
Tetapi, peluang negara Arab itu agak tipis kerana Doha sudah mendapat hak selaku tuan rumah pada 2006. Jadi, tidak mungkin satu lagi negara Teluk akan dipilih Majlis Olimpik Asia (OCA) dalam tempoh empat tahun selepas temasya di Doha.
China pula akan menganjurkan Sukan Olimpik 2008 di Beijing dan adalah kurang rasional kerajaan pusat mereka mahu mengadakan satu lagi suka terbesar selang dua tahun kerana soal kewangan besar.
Kita juga tidak faham akan hajat Daegu selepas Busan baru sahaja menjadi tuan rumah pada 2002.
Apapun, peluang kita cerah kali ini tambahan New Delhi yang turut bersaing sebelum ini sudah menarik diri kerana berjaya mendapat hak penganjuran Sukan Komanwel 2010.
Namun, cuma apa yang membuat MOM kurang senang dengan tuntutan OCA yang meminta AS$50 (RM190 juta) kepada negara yang mahu membuat penawaran tuan rumah Sukan Asia 2010.
Saya tertanya-tanya apakah Kerajaan Malaysia perlu membayar wang besar itu semata-mata mahu menjadi tuan rumah. MOM tidak dapat melihat rasional kenapa yuran tinggi diletakkan OCA sebagai syarat.
Jumlah ini tidak membabitkan kos meningkatkan kemudahan gelanggang atau menganjurkan temasya sukan itu.
Saya difahamkan dari jumlah itu, AS$15 juta (RM57 juta) adalah milik OCA untuk mengadakan kempen mendapatkan hak itu.
Apa perlunya mereka membantu kerja perhubungan awam ini kerana kita juga mampu melakukan sendiri. Kita sudah melakukan kempen ketika memenangi hak tuan rumah Sukan Komanwel 1998 dan Sukan Sea 2001.
Ini bererti kita sudah kekeringan tabungan sebanyak RM190 juta sebelum melakukan sebarang persiapan ke arah sukan ini.
Walaupun MOM sudah mengemukakan surat menyatakan hajat mahu menjadi tuan rumah tetapi peraturan oleh OCA adalah kurang wajar serta tidak memihak kepada tuan rumah.
Apapun, kami belum lagi membuat keputusan muktamad. Mungkin sesetengah negara lain ada wang untuk berbelanja tetapi MOM tidak berkongsi sentimen sama dengan mereka.
Dalam hal ini saya berharap semangat perpaduan Asia akan kekal sambil OCA tidak keterlaluan dalam tindak tanduk mereka dalam mengejar wang menggembungkan kantung mereka.
Hajat Malaysia adalah untuk tidak bersaing dengan bandaraya lain mendapatkan hak penganjuran Sukan Asia.
Apapun, saya difahamkan Guangzhou sudah menyatakan hasrat mereka untuk membayar AS$15 juta (RM57 juta) sebagaimana disyaratkan OCA bagi menjayakan misi mereka. Tetapi bagi MOM dan Malaysia ia pasti akan menyentap peluang kita jika benar China bersedia melabur wang besar.
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|