MOM sedia berdebat cari rumusan penyelesaian di Manila


BERITA panas baru-baru ini adalah isu Sukan Sea 2005 di Manila. Saya percaya majoriti anggota Persekutuan Sukan Sea (SGF) akan berasa hairan dengan gelagat tuan rumah, Filipina menggugurkan beberapa acara popular bagi edisi kali ini.

Tetapi usahlah kita melonjak dan naik marah kerana ia bukan satu keputusan muktamad, malah hanya satu cadangan. Kita juga perlu tahu bahawa setiap tuan rumah ada keutamaan dalam menentukan acara sukan yang bakal dipertandingkan.

Malaysia yang menjadi tuan rumah juga ada memilih acara mengikut keutamaan pada 2001 dan begitu juga Vietnam.

Kata orang “our turn, our right" atau bermaksud ini adalah giliran kami menjadi tuan rumah dan adalah hak kami membuat keputusan. Jadi, istilah seperti ini tampak digunakan Filipina kali ini.

Dalam hal ini kita perlu sedar SGF juga tidak boleh membantah atau menolak keras cadangan tuan rumah.

Tapi memang menyedihkan acara Olimpik seperti badminton dan bola sepak digugurkan daripada senarai bagi edisi ke-23 nanti. Sebaliknya tuan rumah memilih arnis, basebol, tinju bagi wanita dan sukan tarian serta triathlon (dengan duathlon).

Saya juga dimaklumkan acara sukan Olimpik lain seperti lumba basikal, menembak, tenis, perahu layar, karate, pencak silat, sepak takraw dan skuasy digugurkan.

Perkhabaran baik untuk Malaysia adalah bowling akan membuat kemunculan semula selepas digugurkan di Vietnam, tahun lalu.

Tetapi, tuan rumah memilih acara ini kerana mengerti mereka ada peluang membolot pingat emas. Muslihat ini sudah diketahui kerana setiap penganjur hanya mahu membabitkan acara yang boleh mereka meraih emas.

Kita juga ada hajat seperti ini dan begitu juga anggota SGF yang lain. Jadi, ia tidak harus dijadikan satu bahan perdebatan kerana belum ada garis panduan yang jelas dalam menentukan apakah acara yang wajib di Sukan Sea. Mungkin satu langkah baru boleh diambil melalui perbincangan kolektif.

Bukan satu senario baru bagi tuan rumah memperkenalkan acara pelik yang hanya dikenali mereka dan Manila tidak terkecuali daripada hakikat seperti ini.

Jadi salah siapa dan apakah kita harus menghalang tuan rumah dan mengikut cakap kita. Memang setiap negara mahu acara yang mereka boleh menang bagi meningkatkan jumlah pungutan emas.

Malaysia dengan jumlah penduduk hampir 25 juta meraih 111 emas dan dua tahun kemudian Vietnam dengan lebih 70 juta penduduk mendapat 158 emas.

Vietnam juga menggugurkan acara seperti golf, bowling dan softball tetapi memperkenalkan acara seperti renang bersirip, petanque, catur dan timbang bulu ayam.

Mungkin SGF harus lebih tegas, umpamanya jika ada acara baru, sekurang-kurangnya perlu ada penyertaan lima negara sebelum ia diluluskan.

Apa yang lebih wajar adalah persatuan sukan kebangsaan membuat rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi menyuarakan rasa tidak puas hati atau jika ada idea baru.

Setiap persatuan boleh membuat rayuan sebelum 17 Februari ini dan MOM akan mengemukakan senarai kepada tuan rumah apabila mengadakan mesyuarat pada Mac ini.

Ketika ini Jawatankuasa Olimpik Filipina sudah menamakan 22 acara dan kini mahu menambah lagi antara lapan dan 10 acara. Jadi, ada masa bagi beberapa acara lain diselitkan kelak.

Apa yang saya mahu ulangi di sini adalah kita tidak boleh menghalang tuan rumah memperkenalkan acara sukan yang baru tetapi acara berkenaan boleh digugurkan jika tidak ada negara lain bertanding.

Pada pandangan peribadi saya daripada lima acara sukan yang diperkenalkan Malaysia mungkin mengambil bahagian dalam acara sukan tarian dan triathlon. Ini kerana atlit kita pernah terbabit dalam triathlon (renang, berbasikal dan berlari) di sukan Komanwel dan ia bukan sesuatu yang baru bagi kita.

Tetapi sudah pasti acara seperti arnis, basebol dan tinju wanita bukan pilihan bagi kontinjen kita.

Biarlah kita bersabar sedikit ketika ini kerana SGF akan berbincang dan saya percaya ramai wakil akan membantah.

Kita menunggu suara majoriti nanti kerana amat memeranjatkan jika bola sepak, umpamanya yang menjadi acara paling popular di rantau ini digugurkan.

Kami di MOM ada tugasan untuk mempertahankan acara seperti ini. Biar kita berjuang bersama-sama mengejar matlamat serantau.

Atlit usah pandang remeh pemeriksaan perubatan

AGAK bimbang rasanya melihat pelbagai kemungkinan menakutkan boleh menimpa atlit dan pemain di era moden ini di sebalik penemuan sains sukan yang makin canggih.

Saya tertanya-tanya apabila membaca berita kematian pemain bola sepak dari kelab Benfica, Miklos Feher yang meninggal dunia selepas rebah di padang dalam perlawanan Liga Portugal akhir bulan lalu.

Serik juga rasanya apabila kematian pemain berusia 24 tahun itu dikaitkan dengan serang sakit jantung. Ini kerana pemain ini cergas, muda dan tidak mungkin mengalami masalah seperti ini.

Tapi, ini bukan bahan perdebatan kerana kita hanya manusia dan apa sahaja boleh menimpa kita pada bila-bila masa. Apapun, kita juga tidak boleh mendiamkan diri malah mengambil langkah pencegahan pada paras maksimum.

Pemain bola sepak kita dan juga atlit daripada pelbagai cabang disiplin harus berwaspada dan ikut amalan pihak perubatan sukan dengan baik dan sentiasa peka dengan perkembangan perubatan global.

Jika tak salah saya ini adalah kali kedua pemain bola sepak rebah atas padang dan meninggal dunia kerana dikatakan masalah jantung.

Tahun lalu, pemain bintang dari pasukan Cameroon, Marc-Vivien Foe tiba-tiba jatuh di atas garisan bulat padang ketika beraksi menentang Colombia dalam Piala Konfederasi. Punca kematian dilaporkan berpunca daripada ‘enlarged left ventricle’.

Kami di Institut Sukan Negara (ISN) peka dan berasa langkah berjaga-jaga perlu diamalkan sentiasa sambil memberi nasihat kepada atlit kita bagi satu kesedaran.

Saya juga tidak menolak kemungkinan seperti ini kerana ada bilangan besar atlit negara kita diperiksa ada denyutan jantung yang kurang konsisten (irregular heartbeat) atau dikebali dengan istilah arrhythmia.

Sambil itu 10 dikesan ketika membuat persiapan ke arah Sukan Sea di Vietnam, Disember lalu.

Namun, perkembangan ini bukan sesuatu yang perlu kita bimbangkan dan masih terkawal pada tahap ini.

Situasi ini hanya akan bertambah serius jika seorang atlit dengan arrhythmia memiliki jantung ‘abnormal’. Ketika ini cuma pejalan kali wanita, Yuan Yufang memerlukan rawatan perubatan.

Pemain badminton, Roslin Hashim, Lee Tsuen Seng dan K Yogendran didapati ada arrhythmia serta dirujuk kepada pakar kardiologi. Namun, pada pengamatan saya tidak ada petanda membimbangkan dan segalanya akan pulih. Saya dapat memberi jaminan atas perkara ini.

Kami juga ada banyak lagi kes arrhythmia semasa Sukan Sea tetapi tiada apa yang membimbangkan kecuali Yu Fang.

Dalam kes Tsuen Seng dan Yogendran mereka berjaya melalui ujian fisiologi Sabtu lalu manakala Roslin tidak dapat bersama kerana demam. Dia menjalani ujian ini semalam dan keputusan akan diketahui sehari dua ini.

Sebagai maksud berwaspada saya memaklumkan kepada Misbun (Sidek) mengenai situasi itu dan akan mengadakan perbincangan lagi.

Melihat segala kemungkinan yang berlaku ketika ini saya menasihatkan jurulatih dan pemain tidak memandang remeh soal pemeriksaan perubatan sebagaimana dijadualkan.

Daripada apa yang saya perhatikan sebelum ini pemain dan jurulatih ada sikap mengambil mudah akan pemeriksaan ini. Bagi mereka ia hanya sebagai ujian bagi menyertai kejohanan antarabangsa.

Namun, cuma kebelakangan ini ada kesedaran di kalangan mereka bahawa pemeriksaan sebelum musim bermula dan pra-kejohanan sebagai sesuatu yang wajib.

Ujian seperti ini akan memberi gambaran jelas akan kecederaan dan kesihatan seseorang atlit. Ia juga memberi jurulatih peluang menilai persembahan anak buahnya dari masa k semasa sebelum merancang persiapan pasukan.

ISN sudah menjadikan ia sesuatu yang wajib kepada semua jurulatih kebangsaan menghadiri bengkel ini bagi ujian perubatan pada masa yang sesuai.

Arrhythmia, demam, sakit tekak, keletihan dan dehidrasi juga adalah antara puncanya.

Denyutan jantung yang kurang konsisten ada berlaku kepada atlit ternama tetapi ia tidak akan memberi kesan kepada persembahan mereka di gelanggang. Cuma masalah akan timbul jika atlit itu memiliki jantung ‘abnormal’.

Apapun biarlah kes Feher dan Vivein Foe menjadi satu pengajaran agar kita jangan mengambil mudah pemeriksaan perubatan secara konsisten.



Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768