
KOLEKSI tin dan botol Coke menjadi hobi baru Nurul.SEKALIPUN tidak gemarkan minuman bergas, namun gimnas artistik wanita, Nurul Fatiha Abdul Hamid sanggup mengeluarkan wang untuk mendapatkan tin, botol dan cenderamata minuman coke untuk dijadikan koleksi istimewa.
Malah, perkara pertama terlintas dalam kotak fikirannya sebaik tiba ke sesebuah negara sama ada untuk menyertai pertandingan atau latihan ialah mencari kedai yang menjual minuman itu.
Gadis berusia 19 tahun itu berkata, minat mengumpul barangan itu hadir secara tidak sengaja apabila terlihat rakan-rakan lain mempunyai kecenderungan itu.
“Saya dah lupa bila hobi ini bermula kerana saya simpan secara sikit-sikit dan sampai satu tahap ia menjadi banyak dan apabila jumlahnya semakin bertambah saya jadi seronok pula melihat koleksi botol dan tin itu.
“Saya tidak dapat mengira jumlah yang ada kerana bilangan bertambah-tambah.
Semua koleksi itu saya simpan dalam almari khas di rumah.
“Saya seronok mengumpul botol dan tin coke kerana saiz, bentuk dan coraknya yang berbeza antara setiap negara.
“Walaupun saya mengumpul botol dan tin tetapi saya tidak meminum airnya dan semuanya masih seperti asal.
Kalau disuruh pun saya tidak mahu kerana airnya sudah lama nanti jadi lain pula,” kata gimnas wanita paling senior dalam skuad kebangsaan.
Nurul berkata, selain membeli sendiri barangan coke dia turut mengirim kawan-kawannya yang ke luar negara untuk membelinya. Antara tin coke yang paling menarik baginya ialah tin paling kecil yang dibeli ketika menyertai Kejohanan Arafura di Australia pada 1999.
Manakala harga coke yang paling mahal adalah anggaran dalam RM15 yang dibeli di Eropah dan harganya tinggi adalah disebabkan oleh tukaran wang asing.
Ditanya pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Nurul berkata, pernah sekali ketika menyertai kejohanan di luar negara dia meletakkan tin coke dalam tempat penyimpanan barang. Akibat terhimpit tin berkenaan terbuka dan sekali gus menyebabkan barang dan pakaian dalam beg basah.
DATA
NURUL FATIHA ABDUL HAMID
TARIKH LAHIR: 13 April 1986
TEMPAT LAHIR: Alor Star, Kedah
ADIK BERADIK: Anak bongsu
daripada tiga beradik
ACARA: Gimnastik Artistik
JURULATIH: Du Hongwei
PENDIDIKAN: Pra Universiti
Sekolah Sukan Bukit Jalil
PENCAPAIAN TERBAIK: Dua
Emas - Sukan Sea Vietnam 2003
Tiga Emas - Sukan Sea Kuala Lumpur 2001