
AJAKAN kawan menjurus pembabitan Nonny dengan go-kart.Artis AF5 mampu lepaskan tekanan setiap kali memecut di atas litar tanpa rasa takut
PUSINGAN pertama pemanduannya memperlihatkan rasa gusar dan kekok. Namun, selepas kenderaannya tersasar hingga memaksa pengajar, Azlan Abdullah mengalihkannya, Nonny terus memecut sehingga melebihi 10 pusingan.
Artis kelahiran program realiti televisyen - Akademi Fantasia musim kelima (AF5) benar-benar kelihatan gembira dengan pemanduannya di litar go-kart Extreme Park, Sunway Lagoon.
“Saya memang suka go-kart. Tetapi sudah lama juga saya tidak memandunya. Inilah satu-satunya untuk saya benar-benar dapat lepaskan tekanan.
“Memandu go-kart membuatkan saya tenang kerana di sinilah saya boleh memandu laju, kata Nonny atau nama sebenarnya Nonny Nadirah Zainuddin, 18, yang ditemani sepupunya, Nurul Atiqah Hazwani, 16.
Mengenali go-kart melalui rakan ketika berusia 15 tahun, artis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu mengakui pada mulanya, beliau menganggap kegiatan sukan rekreasi itu kurang menarik.
Namun, minat terhadap kegiatan sukan lasak itu bercambah apabila beliau mula mendekatinya sebagai memenuhi masa lapang pada zaman remajanya.
Bagaimanapun, hobi itu sukar dilaksanakan kini apabila mula berpindah ke Kuala Lumpur sejak menyertai AF5, awal tahun ini, kerana kesukaran mencari lokasi yang sesuai, selain kesuntukan masa.

BERJAYA juga akhirnya menamatkan perlumbaan.Selain meminati aerobik dan sesekali berbasikal, anak kelima daripada sembilan beradik yang mempunyai minat unik - melipat kertas bintang dan mengumpul kipas kecil, Nonny paling menggemari tarian.
“Saya cuma aktif menari ketika menuntut di sekolah rendah terutama dalam tarian kebudayaan. Tetapi, apabila berpindah sekolah menengah, ia sukar diteruskan kerana tiada kegiatan tarian di situ.
“Tarian dan sukan dilihat hampir sama, tetapi ternyata berbeza. Tarian lebih releks terutama tarian kebudayaan, manakala tarian moden pula lebih aktif.
“Saya perlu mengetahui dan mengkaji irama lagu terlebih dulu bagi membolehkan saya menjiwai tarian. Ia seperti juga aerobik.
“Namun, itu tidak bermakna saya tidak menyukai sukan. Saya menggemari sukan lasak kerana ia memerlukan keberanian untuk melakukannya,” kata artis yang kian menyerlah dalam lakonan berbanding nyanyian.
Jadual padat sebagai artis yang kadangkala menuntut masa tidur dan rehat menyebabkan beliau hanya mampu berjogging atau berjalan sambil window shopping.
DATA
Nonny Nadirah Zainuddin
Tarikh lahir: 21 Julai 1989
Asal: Kota Kinabalu, Sabah
Adik beradik: Anak kelima daripada sembilan beradik
Makanan kegemaran: Tom yam dan makanan berasaskan coklat
Minuman kegemaran: Milo ais
Hobi: Melipat kertas bintang dan mengumpul kipas kecil
Kerjaya: Artis (AF5 sehingga minggu keempat)
Drama: Pria (Astro Ria), Gaya dan Papaku Rock (sitcom)
Atlit idola:
Tempatan: Shalin Zulkifli (bowling)
Antarabangsa: Ronaldo (bola sepak)
Terima Kasih: Figos Sdn Bhd