Pelakon drama cuma puas apabila dapat memandu lajuSESI bergambar bersama artis Zuliana Ab Aziz atau lebih dikenali sebagai Jue tidak begitu sukar apabila mendapat kerjasama sepenuhnya selain kelebihan beliau yang mampu menguasai litar Extereme Park di Sunway Lagoon, sebaik dikehendaki beraksi memandu go-kart.
"Memang seronok sangat bila dapat memandu go-kart. Sudah lama juga tidak main. Setiap kali memandu go-kart saya terasa seperti memandu kereta mainan," kata artis kota yang menggemari sukan lasak ini, selepas melepaskan gian hampir setengah jam, di bawah penguasaan Pengurus pusat rekreasi terbabit - Jeffrey Tan.
Menjadikan litar Mofaz di Penchala selain pusat go-kart di tepi lebuhraya Elite di ibu kota sebagai sasarannya sebelum ini, Jue mengakui agak terkilan apabila pusat kegiatan lasak seperti itu kerap ditutup dan bertukar tempat.
Sekalipun berpendapat bertukar `angin' menjalankan kegiatan sukan lasak adalah perlu bagi merasai perbezaan dan cabaran, namun, katanya, sikap pengusaha yang kerap menutup dan menukar lokasi pusat rekreasi mereka turut memberi kesan kepada peminat sukan berkenaan.

"Susah juga untuk kita terus mengekalkan minat dan aksi dalam sukan seperti ini andainya pengusaha kerap bertukar tempat, terutama apabila kita sukar mendapatkan masa yang sesuai untuk bergiat aktif.
"Bagi saya, setiap litar ada perbezaannya dari segi pengendalian pemanduan, kelajuan dan keadaan litar itu sendiri," kata Jue yang ditemani teman lelakinya yang juga artis Jehan Miskin.
Mula berjinak dengan kegiatan seumpama itu sejak empat tahun lalu, pelakon berusia 24 tahun yang kerap menghiasi televisyen akhir-akhir ini, berkata, kegiatan go-kart diperkenalkan rakannya selepas mendapati ia sesuai dengan kegemarannya memandu laju.
Beliau yang turut menggemari paintball dan menembak, mengakui meminati bidang sukan selain bergiat aktif sejak di sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh sebelum diteruskan sehingga ke Sekolah Menengah Bandar Baru Sungai Buloh.
Antara sukan yang diceburi ialah hoki sebagai pemain tengah dan serangan, olah raga termasuk acara pecut, lompat jauh dan lompat tinggi serta seni pertahanan diri seperti silat gayung dan shorinji kempo.
"Saya pernah dianugerah Olahragawati Sekolah Rendah Bandar Baru Sungai Buloh," katanya penuh bangga.
Bagi Jue, sekalipun komitmen lain dalam kehidupan sehariannya hari ini menuntut masa sekaligus menyukarkannya bergiat aktif dalam kegiatan sukan, namun, minat yang sebati dalam diri menyebabkannya sukar memberhentikannya.
Malah, kini, kegiatan sukan sehariannya lebih tertumpu kepada renang yang akan dilakukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu selain berpeluh di gimnasium - dua kali seminggu.
"Sesekali saya juga akan bermain skuasy. Tetapi, ia tengok juga keadaan. Sudah lama juga tidak beraksi," katanya.
Beliau berkata, alasan untuk tidak bersukan disebabkan kesibukan jadual harian adalah bergantung kepada setiap individu. Jika mereka benar-benar meminati dan memberi komitmen sepenuhnya, maka, sudah pasti mereka akan mencari masa yang sesuai bagi melakukannya.
Sukan baginya adalah ruang beriadah dan merehatkan diri daripada tekanan. Tanpa mengira jenis sukan, jika ada masa yang terluang, beliau akan memanfaatkannya dengan bersukan selain bersiar-siar dan menonton wayang.
"Setiap kali bersukan, saya akan terasa sihat sangat. Jika ada tekanan sama ada daripada kerja atau mana sekalipun, saya lepaskan melalui sukan. Itulah masa terbaik bagi saya untuk melepaskan tekanan," katanya.
DATA: Zuliana Ab Aziz
Tarikh lahir: 18 Februari 1983
Asal: Kuala Lumpur
Adik beradik: Bongsu daripada lima beradik
Makanan kegemaran: Masakan kampung dan Itali
Minuman kegemaran: Air kosong, lobak susu dan tembikai susu
Hobi: Membeli belah, sukan menembak
Kerjaya: Model, pelakon, pengacara
Filem: Anak Mami The Movie, Tipah Tertipu
Drama: Dua Hati, Manjalara, Aku Untukmu, Senario dan Jam, Lif Ke Cinta
Atlit Idola:
Tempatan: Nicol Ann David (squasy)
Antarabangsa: Ronaldo (bola sepak)
Terima Kasih: Figos Sdn Bhd Extereme Park Sunway Lagoon