Peserta AF5 pernah jadi pengutip bola tenis
“KENAPA tenis?”
Itu persoalan Heliza Helmi, peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5) apabila diminta beraksi bermain tenis untuk tatapan pembaca Emas Perak Gangsa (EPG).
Apa tidaknya? Peserta AF5 yang menyerlah dengan personaliti bertudungnya tersendiri rupanya mempunyai pengalaman `fobia’ terhadap tenis sehingga memutuskan hanya menjadi pengutip bola bagi melepaskan geramnya, gara-gara gagal memukul bola ketika kali pertama mencubanya di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Itu percubaan pertama dan bola pula asyik tidak mengena. Akhirnya, saya putuskan untuk mengutip bola dan menonton saja,” kata remaja yang memperoleh kunci kebebasan pada 3 Februari lalu.

Namun, dalam sesi bergambar hampir sejam di Kelab Golf Saujana di Subang, Heliza yang dibimbing kakitangannya di situ, Azhar, menunjukkan prestasi baik apabila hampir semua bola yang dilontarkan dapat dipukul dengan sempurna.
“Entahlah, apabila di sini... pukulan bola mengena pula, pelik juga,” kata bakat seni baru kelahiran program realiti yang turut memiliki tali pinggang taekwondo merah-hitam. “Lepas ini, tidak perlu lagi saya menjadi pengutip bola.
“Tenis menyeronokkan. Rasa seperti enggan berhenti pula. Selepas bermain tenis, walaupun untuk seketika, badan terasa segar, maklumlah, sudah lama tidak berpeluh seperti ini.
“Memang fikiran rasa lapang terutama apabila dapat bermain tenis dalam kawasan yang luas dan kehijauan walaupun di bawah panah matahari.”
Masih bercuti daripada pengajiannya di UMS sehingga akhir tahun ini, pelajar tahun ketiga Ijazah Pendidikan dan Sains itu, mengakui minat terhadap tenis kian bercambah, namun, perlu diasah bakatnya melalui kemahiran dan teknik permainan sebenar.
Baginya, tenis adalah sukan yang kurang tekanan, namun tumpuan penuh diperlukan bagi mendapatkan pukulan yang tepat.
“Perkara yang paling sukar dan mencabar dalam permainan tenis ketika membuat hayunan (raket) kerana kita perlu melawan rintangan angin dan berat bola apatah lagi raket yang digunakan berat tidak seperti badminton.
“Ada masanya apabila bola sampai agak laju, saya terlepas dan terpukul angin,” kata penyanyi kelahiran Terengganu ini.
FAKTA
Nur Heliza Helmi
Umur: 21 tahun
Tarikh Lahir: 3 Februari 1986
Asal: Terengganu
Adik beradik: Anak kedua daripada empat beradik
Kerjaya: Penyanyi
Makanan kegemaran: Pedas dan panas, coklat, roti dan biskut
Minuman kegemaran: Milo ais, sirap bandung cincau, teh tarik, ais krim
Idola:
Atlit tempatan: Hafiz Hashim (badminton)
Shalin Zulkifli (bowling)
Nurul Hudda Baharin (penembak)
Antarabangsa: David Beckham (bola sepak)