Penyanyi minat lontar peluru selain hoki dan bola jaring ketika di sekolahNAMANYA sering menghadirkan kegerunan kepada lawan dan setiap kali turun beraksi dia mudah menguasai pertandingan.
Itulah Nurshid’la Ahmad Kamaruddin atau lebih dikenali sebagai Nursyella (Syella), 22, ketika zaman persekolahan dengan begitu aktif dalam sukan olahraga iaitu lontar peluru, hoki dan bola jaring.
Malah, kelibatnya dalam pasukan hoki sekolahnya - Sekolah Rendah Sungai Besi menyaksikan skuad ini digeruni lawan dengan kerap kali merangkul kejuaraan atau sekurang-kurangnya naib juara, satu kejayaan manis yang sukar dilupakan hingga sekarang.
Walaupun sudah lama meninggalkan alam persekolahan tetapi bekas pelajar Sekolah Menengah Cheras dan Sekolah Menengah Perempuan Pudu ini masih terkenang keseronokan ketika beraksi dalam sukan yang menjadi kegemarannya.
Kini, artis yang mencipta nama di persada seni hampir lapan tahun itu, hanya berjinak dengan kegiatan renang, gimnasium selain yang terbaru, boling.
Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur ini, sukan boling lebih mudah disertai terutama ketika bersiar di pusat beli belah, apatah lagi, ia tanpa memerlukan pakaian khas.

“Memang ketika aktif bersukan dulu sampai kulit jadi gelap, tetapi, sekarang bukan takut gelap maka tidak bersukan, cuma jadual harian kini agak padat,” kata anak keempat daripada 15 beradik ini ketika diminta beraksi di gimnasium di tingkat dua, The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), yang baru beroperasi seminggu lalu.
Menerusi pengawasan Gym Master, Wan Ahmad Mukhriz Wan Mohd Dumiri, Syella diajar teknik yang betul menggunakan peralatan di situ seperti `lap pull down’, `gym ball’ dan `abdominal crunch’.
“Sesekali melakukan regangan seperti ini walaupun hanya seketika, dapat rasa kesannya,” kata usahawan muda yang turut menguruskan perniagaan solekan dan andaman serta mengusahakan restoran, D’Syella Place di kediamannya di Cheras.
Beliau berpendapat, semua pihak perlu bersukan bagi mengekalkan kesihatan badan, tidak mengira sama ada ahli sukan atau artis.
Malah, katanya, penyanyi sepertinya sangat memerlukan kegiatan sukan yang bagus untuk sistem pernafasan selain meningkatkan stamina mereka untuk membuat persembahan.
“Bila sudah lama meninggalkan sukan dan hanya sesekali melakukannya walaupun hanya bermain di gimnasium memang membuatkan badan rasa sakit pada mulanya,” katanya sambil mengakui dapat merasa kesan penggunaan ‘abdominal’ crunch di situ.
FAKTA
Nurshid'la Ahmad Kamaruddin
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
TARIKH LAIHIR: 15 Julai 1985
KERJAYA: penyanyi, berlakon, model dan berniaga
ALBUM: Manis (2000), Pasti Kembali (2002), Harum (2006)
FILEM: Sembilu 2005 dan Pontianak Menjerit
DRAMA: Sembilu, Anak Datuk dan Gerak Khas.
Atlit Idola
Luar Negara:
VENUS WILLIAM (tenis)
Tempatan:
NICOL ANN DAVID