'Inspektor Rita' minat Arsenal selain aktif dalam sukan pool, renang, bola baling dan olahraga
`INI sesi ambil gambar yang paling penat. Berpeluh saya dibuatnya,” kata dramatis dan juga model iklan, Salina Saibi, selepas dikerah bermain futsal bersama kelab Figos FC, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menggelecek dengan melepasi pertahanan Nurul Ayesha Abd Rahman, 22; pemain tengah, Nur Nabella Awaludin, 18; dan penyerang, Noor Hedayah Md Amin, 20; Salina kemudian membuat rembatan di depan gawang bagi menewaskan penjaga gol Figos FC, Sity Norazizah Jamal, 17.
Sesekali, Salina memegang dan mengusap kepalanya selepas melakukan tandukan bola ke dalam gawang gelanggang futsal Pan Global, Jalan Tandang.
Bagi Inspektor Rita dalam rancangan CID 3278 yang disiarkan di TV9, setiap Rabu pada jam 9 malam, kejayaan membuat jaringan adalah kepuasannya ketika bermain futsal, selepas berhempas pulas mengelilingi padang dan merebut bola daripada lawan.
Gadis bandar berusia 25 tahun yang meminati pasukan Arsenal, mengakui `jatuh cinta’ terhadap futsal, selain pernah aktif di dalam sukan lain termasuk pool, renang, bola baling dan olah raga.
Malah, beliau pernah mewakili Kuala Lumpur dalam pertandingan bola jaring antara negeri ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras.
“Saya minat sukan terutama bola. Tetapi kini, saya sudah mula berjinak-jinak dengan futsal. Saya ada pasukan sendiri di Sports Planet Ampang. Sesekali saya akan singgah di situ sekadar untuk berpeluh badan.
“Cuma, saya tiada masa hendak belajar banyak kemahiran yang bagus untuk menyertai kejohanan. Setakat bawa bola dan tendang... bolehlah,” katanya yang kini sibuk menjalani dua penggambaran sitcom ‘Jalan Chow Kit’.
Penggambaran Air Mata Maria sebanyak 26 episod yang bakal ditayangkan di TV3 dan Anumertha sebanyak 13 episod untuk tayangan Astro memenuhi jadual hariannya.
“Sejak tadika lagi saya sudah bersukan... acara lumba lari. Saya memang suka bersukan, dapat jaga kesihatan, mengekalkan bentuk badan. Sebenarnya, pendapat bahawa sukan itu memenatkan, adalah silap. Lepas bersukan, badan segar dan sebenarnya awet muda serta boleh kurus,” katanya berseloroh sambil tergelak besar.
DATA
Salina Saibi
Lahir: 10 Januari 1982
Asal: Kuala Lumpur
Kerjaya: Pelakon (dramatis), model iklan
Filem/Drama: 40 drama antaranya Tujuh Tahun Mengendong Cinta, CID 3278, 15 telemovie, enam sitcom dan empat iklan.
Atlit Idola
Luar Negara: Thierry Henry (bola sepak)
Tempatan: Nicol Ann David (skuasy)
Terima Kasih: Figos Sdn Bhd
Persolekan: Dolly