Dekna, Fatin tidak sangka



Permainan pool tidak membosankan dua bintang Akademi Fantasia 5

WAJAH kabur dan tertanya-tanya jelas kelihatan di air muka Dekna dan Fatin, dua peserta program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5), apabila diminta bermain pool di Pusat Snuker, Pandan Kapital, Ampang.

Namun, tanpa banyak bicara, Dekna atau nama sebenarnya Aryana Najwa Ahmad, 19, serta Nurul Fatin Yahya (Fatin), 20, terus tekun mendengar taklimat pengurus pusat snuker itu, Iskandar Lee.

Pengetahuan asas diberikan Iskandar dengan sabar bermula daripada cara berdiri yang betul, memukul dan mensasar bola.

Berasaskan permainan ‘9-ball’ jari Dekna dan Fatin yang keras dilenturkan supaya jarinya dapat membentuk gaya normal, labah-labah (spider) dan mata burung kasawari (phoenix) berdasarkan jarak bola bagi memastikan pukulan lebih tajam.


“Susah juga nak main pool. Nampak macam senang, ingat main sebat dan pukul saja, tetapi perlu ada juga kemahirannya. Seronok juga apabila sudah tahu cara walaupun pada mulanya rasa hendak tergeliat juga jari dan badan ketika belajar berdiri dan memukul cara yang betul,” kata Fatin yang hanya berkesempatan bersama AF5 sehingga minggu keempat.

Minat menonton bowling tetapi jarang bersukan dan hanya sesekali bermain badminton di rumah, bagi Fatin, cabaran pemain pool permulaan sepertinya adalah untuk melentur badan yang secara tidak langsung melenguhkan kaki serta tangannya dalam usaha mendapatkan kaedah bermain yang sebenar.

Berlainan dengan Dekna yang sebelum ini hanya bertahan di AF5 hingga minggu kelima, kegusaran melakukan kesalahan menyebabkannya tidak dapat menikmati permainan pool, kecuali selepas mengetahui kaedah serta langkah sesuai sehingga mampu memasukkan dua bola.

“Bangga juga dapat masukkan dua bola, maklumlah, saya baru belajar. Hendak dapatkan kedudukan yang selesa sebelum bermain dan membuat pukulan memang sukar.

“Pada mulanya, saya sangka pool permainan yang membosankan, ingat pukul saja bola, tetapi bila mula main baru terasa keseronokannya,” katanya yang pernah bergiat aktif dalam sukan bola jaring ketika di sekolah menengah.

Pernah sesekali bermain badminton bersama ahli keluarga, Dekna turut minat menonton sukan gimnastik. “Kadangkala terasa ingin menonton gimnastik secara langsung.”

Bagaimanapun, kedua-dua pelajar AF5 itu yang mula mencintai pool, berhasrat berjinak-jinak di dalam sukan itu sekiranya mempunyai kelapangan.

DATA

NURUL FATIN YAHYA

TARIKH LAHIR: 5 Oktober 1987
ASAL : Johor Bahru
KERJAYA : Penyanyi

Atlit Idola
Tempatan: Malek Noor (bina badan)
Luar Negara: David Beckham (bola sepak)

ARYANNA NAJWA AHMAD

TARIKH LAHIR: 22 Disember 1988
ASAL : Pulau Pinang
KERJAYA : Penyanyi

Atlit Idola
Tempatan: Nicol David (skuasy)
Shalin Zulkifli (bowling)
Luar Negara: David Beckham (bola sepak)


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768