Shayna seronok bermandi peluh
Anak kacukan Besut-Philladelphia tak kekok main futsal walaupun baru kali pertama didedahkan
DIDERA beraksi sendirian bagi rakaman gambar di gelanggang futsal The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP), di Bangsar, tidak memperlihatkan rasa canggung Shayna Zaid, 23, menyepak bola, meskipun pertama kali didedahkan kepada sukan futsal.
Cuma sesekali terdengar gelak dan komennya mengenai futsal, sambil kaki lincah menggelecek bola seterusnya dijaringkan.
“Sukan ini bagus. Berpeluh saya dibuatnya tetapi saya rasa tidak mengapa. Memang sudah tiba masanya badan saya berpeluh... sesekali badan perlu juga melakukan regangan,” katanya yang kemudian terus berlari dan beraksi di sebahagian gelanggang futsal yang terletak di tingkat enam bangunan NSTP.
Suasana tambah meriah apabila adik Shayna, Wan Remylina, 20, yang mengiringinya bersama sepupunya, Jihan Halim yang turut berperanan sebagai pembantu peribadinya, pula diminta menyertainya bermain futsal, meskipun tidak berpakaian sukan.
Dengan hanya kasut bertumit, Remylina tetap sporting dan membuat hantaran serta balingan bola kepada kakaknya bagi menghidupkan suasana permainan futsal.
“Bila bersama dengan ramai kawan merebut bola, rasanya lebih seronok,” kata anak kacukan Besut-Philladelphia yang pulang sementara ke tanah air untuk mempromosikan album keduanya, Half A World Away.
Ketika diminta melakukan regangan, bekas pengacara program Speak Up (TV3) ini tiba-tiba beraksi bagaikan gimnas.
“Saya memang gimnas,” katanya ketika mengulas komen penulis mengenai gayanya bagaikan atlit gimnastik berirama.
Malah, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Convent Bukit Nenas ini mengakui meminati gimnastik berirama dan pernah terpilih menyertai Sukan Komanwel ketika berusia sembilan tahun.
Bagaimanapun, beliau yang menyertai sukan itu sejak berusia lapan tahun berkata komitmen latihan tinggi sehingga tiga hingga empat jam sehari membuatkan beliau terpaksa menarik diri, demi memberi tumpuan terhadap pelajaran.
Pernah menjadi atlit lontar peluru selain pemain bola jaring sekolah, Shayna mengakui berminat terhadap sukan sekadar untuk mengeluarkan peluh bagi memastikan badan kekal sihat tetapi, tidak mahu terbabit secara serius dan ekstrem.
Sebaik tamat sesi penggambaran dan temu bual hampir 45 minit, anak kedua daripada lima beradik perempuan yang bermandi peluh itu, mengakui mula mencintai futsal.
“Memang mulanya rasa macam susah (bermain futsal), tetapi rasanya saya sudah jatuh cinta. Habislah Jihan kena ajar saya futsal selepas ini,” katanya.
DATA
Wan Shayna Wan Zaid
Tempat Lahir: Pennsylvania, Amerika Syarikat
Tarikh Lahir: 11 Jun 1984
Kerjaya: Penyanyi, pengacara, model
Album: 1 Beyond Borders (rakaman album di New York membariskan 11 lagu yang digubah bersama Jay Deasel); 2 Half A World Away
Menarik di dalam kerjaya:
Album kedua menonjolkan rapper popular Malaysia, Shazzy dan JFK.
Muzik video Kali Pertama dirakam di dua lokasi berbeza iaitu New York City dan Toronto, Kanada.
Pernah menjadi model iklan antaranya Coca-Cola, Dove dan Nokia.
Menyertai Asia Bagus ketika berusia 15 tahun dan ditawarkan kontrak rakaman oleh Sony Music Entertainment Malaysia dan EMI Malaysia.
Namun bidang pengacaraan lebih menarik perhatian Shayna.
Mula menunjukkan bakat nyanyian seawal usia 10 tahun
Atlit Idola
Luar Negara:
Steven Gerrard (Bola Sepak - Liverpool)
Tempatan:
Alex Yoong (Lumba Kereta)
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|