
MATA kiri ditutup bagi memfokuskan panahan.Tidak kekok pegang busar dan anak panah buat kali pertama selepas tiga tahunTIADA rasa ragu atau kekok bagi Mohd Zani Mohd Nizariff atau lebih dikenali sebagai Ezany apabila memegang busar dan anak panah, meskipun sudah meninggalkan sukan memanah yang mula diperkenalkan kepadanya, kira-kira tiga tahun lalu.
Malah, pelakon yang turut dikenali sebagai Irfan dalam `Natasha’ mula menunjukkan `taring’, apabila memperoleh markah sembilan pada panahan ketujuh, seterusnya tepat pada markah 10 pada panahan ke-12, di lapang sasar The Saujana Kuala Lumpur.
Kepuasan melihat panahannya yang tepat di papan sasar, jelas kelihatan pada riak muka yang gembira, berserta jeritan riang.
Dalam dua sesi memanah dijalankan hampir 30 minit, Ezany berjaya memperoleh 59 markah dan 60 markah, hanya selepas ditunjuk ajar buat pertama kalinya oleh penyelia kegiatan sukan di situ, G Kogilan.
Teori yang diberikan mudah, tutup mata kiri dan fokus. Tetapi, ia sudah mampu memperlihatkan Ezany bagaikan pemanah profesional.
“Mulanya memang `tension’ apabila panahan asyik tersasar. Tetapi, apa yang penting untuk mendapatkan panahan tepat adalah fokus serta elakkan gangguan,” katanya sambil membetulkan topinya bagi memberi sepenuh tumpuan.
Turut meminati lumba motosikal di Sepang, Ezany berkata, dia mula memegang busar dan anak panah dalam satu sesi bergambar di Maju Junction, Kuala Lumpur, tiga tahun lalu.

EZANY menunjukkan hasil panahannya di papan sasar.Dia yang pada mulanya, kurang yakin terhadap kemampuan sendiri untuk beraksi memanah di hadapan kamera berkata, sukan memanah tidak mudah sebagai mana yang dilihat.
Malah, pertama kali mencuba sukan itu, panahannya sering kali tersasar.
Ezany yang kini menjalani penggambaran ‘Aku Untukmu’ sebanyak 60 episod di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, membuka rahsia, pernah mewakili Perlis dalam sukan badminton, sebelum menceburi lakonan.
“Saya pernah menjalani latihan secara intensif menggunakan khidmat juru latih. Ketika itu, saya hanya bercita-cita menjadi Rashid Sidik,” katanya yang mengakui kerjayanya kini, tersasar jauh dari impiannya, suatu masa dulu.
Sukan memanah di The Saujana Kuala Lumpur, boleh disertai secara pakej berharga RM46 setiap seorang tanpa had masa, membabitkan pelbagai kegiatan lain termasuk berenang, berbasikal, menaiki bot kayuh selain kegiatan dalam dewan seperti gymnasium, sauna dan jakuzi.
DATA
MOHD ZANI MOHD NIZARIFF
Tarikh Lahir: 8 September 1973
Asal : Kangar, Perlis
Kerjaya : Pelakon dan Model
Filem : Gerak Khas The Movie 3, Cinta Nan Satu
Drama : Ampunkan Dosaku, Natasha, Demi Cinta Laila, Keroncong Untuk Maria, Cinta Rahsia
Sukan: Memanah
Tempat: The Saujana
Atlit Idola
Luar Negara:
Valentino Rossi (lumba motosikal)
Tempatan:
Rashid Sidek (badminton)