Pengalaman menembak jadi rangsangan buktikan keupayaan kuasai sukan paintball.
PENGALAMAN menjalani latihan sukan menembak ketika di zaman persekolahan memberi kelebihan buat Mohd Syazwan Roslan atau lebih mesra dengan panggilan E-One, yang dicungkil bakatnya menerusi rancangan mentor musim pertama untuk membuktikan kebolehan bermain paintball.
Pertama kali mencuba permainan itu bersama beberapa rakan dari rancangan realiti tv baru-baru ini, E-One ternyata sekali tidak kekok.
Diberi tanggungjawab sebagai kapten bagi pasukan Punisher, E-one bersama rakan sepasukannya iaitu Pija, Shiha, Affan dan pengurus Affan, Deor bekerjasama untuk meraih kemenangan dengan menewaskan dua pasukan lawan yang turut disertai rakan artis daripada pelbagai rancangan realiti tv dalam sukan ‘perang cat’ itu.
“Kalau ikutkan asas permainan ini dengan menembak tidak banyak beza cuma yang membezakannya ialah peluru. Sebagai kapten bagi pasukan Punisher saya tidak menghadapi masalah kerana mempunyai rakan sepasukan yang saling memahami dan mudah mengikut arahan,” katanya bekas anggota FO3 itu.

Melahirkan rasa seronok dapat bermain sukan paintball, E-One berkata dia berpeluang mempelajari sukan menembak semasa zaman persekolahannya kerana menyertai kegiatan beruniform, Kadet Tentera Bersatu Malaysia (PKBM).
Menerusi kegiatan itu ia berpeluang mempelajari menembak dan sekali gus menyertai pertandingan menggunakan senjata M16 dan lebih membanggakan dia turut meraih gelaran juara di peringkat negeri.
E-one turut berpeluang menyertai sukan menembak dalam acara raifal tetapi pembabitannya dalam sukan itu hanya bertahan selama enam bulan saja kerana E-one mahu memberi komitmen sepenuhnya kepada pelajaran dan tidak terfikir untuk bergelar seorang atlit.
“Dah lama tidak menembak jadi apabila diberi peluang mencuba sukan ini sememangnya saya rasa sangat seronok. Sebelum ini semasa menyertai PKBM, saya dapat lesen menembak Tentera Panglima Darat tetapi selepas itu tidak menyambungnya.
“Sukan menembak memerlukan disiplin yang tinggi buat setiap peserta di samping mengutamakan aspek keselamatan,” kata artis berasal dari Kuala Lumpur itu.
Ditanya sukan yang menjadi kegemarannya sekarang ini, E-One berkata dia gemar bermain bowling dan turut menyertai pelbagai pertandingan.
DATA
NAMA: Mohd Syazwan Roslan
TARIKH LAHIR: 17 Jun 1984
ASAL: Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Tahun Empat, Ijazah Sarjana Muda Perisian Komputer, Universiti Multimedia
ALBUM: Realiti
IKLAN: Honda Wave
ATLIT IDOLA
Luar Negara
Ben Johnson (Olahraga)
Tempatan
Shalin Zulkifli (bowling)