Nas ada ilmu tempur tanpa senjata


Keberanian dan keyakinan diri meningkat selepas mengikuti latihan hampir setahun lalu

ANDAI dilihat pada wajah lembut dan perwatakan sopannya, ramai tidak menyangka penyanyi Nas Adila mempunyai jiwa yang kuat dan kental.

Nas membuktikannya apabila berani memegang sebiji betik tatkala jurulatihnya, Steve Jerat memotong menggunakan sebilah pedang yang tajam. Jika dilihat pada mata kasar, tugas itu mudah tetapi sebaliknya hanya mereka yang berani dan mempunyai keyakinan diri tinggi saja dapat melakukan.

Kebenaran itu diakui jurulatihnya ketika sesi penggambaran epg dilakukan dan menurut Steve, jika tidak mempunyai keyakinan diri ketika melakukannya, seseorang itu kemungkinan akan putus jari.

Sekiranya tidak ada program nyanyian, Nas akan mengikuti Steve untuk membuat pertunjukan dalam acara itu.

Menerusi Steve yang juga komposer lagu nyanyiannya Istana Janji, Nas mengikuti kelas seni mempertahankan diri Tempur Tanpa Senjata (TTS) membabitkan gabungan beberapa jenis sukan bela diri iaitu karate, taekwondo, kung fu, jujitsu dan silat.

TTS adalah seni bela diri yang direka khas untuk anggota tentera dan sehingga kini acara itu aktif diadakan di beberapa buah negeri iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Melaka manakala Selangor menjadi pusat acara itu.

“Saya mula mengikuti kelas seni mempertahankan diri ini sejak awal tahun lalu iaitu selepas bergelar seorang artis. Terasa juga rugi kerana agak lambat menyertai acara ini kerana ketika bersekolah, tidak terfikir untuk menyertai sebarang acara sukan ini kerana terlalu banyak menumpukan kepada kesenian.

“Keinginan untuk mengikuti kelas mempertahankan diri ini lahir kerana mahu lebih berhati-hati memandangkan terdapat banyak kes jenayah seperti rogol dan ragut yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Kebetulan ketika itu, saya berjiran dengan Steve dan dia pula turut membuka kelas latihan di rumah jadi, dan dia memberi peluang kepada saya untuk turut sama mempelajari seni mempertahankan diri ini.

“Latihan kebiasaan dilakukan pada hujung minggu dan disertai ramai peserta daripada pelbagai peringkat umur,” katanya yang cenderung menyanyikan lagu-lagu berentak irama Malaysia.

Nas berkata, memandangkan perwatakannya agak lembut, dia mengambil masa agak panjang untuk menyesuaikan diri dalam setiap pergerakan.

Kini selepas lebih setahun mengikuti TTS, Nas mengakui mempunyai keyakinan diri dan lahir rasa berani dalam dirinya.

DATA
NAMA: Nas Adila Mohd Dan
TARIKH LAHIR: 20 September 1986
ASAL: Kota Kemuning, Shah Alam
ADIK BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: SPM
KERJAYA: Penyanyi
ALBUM: Kekasih Kerinduan dan Istana Janji.
DRAMA: Lagu tema ‘Aku Dia dan Capetown’ dan ‘Akademi Cinta’

ATLIT IDOLA
Tempatan

Akmal Rizal Ahmad Rakhli (bola sepak)

Luar Negara
Ronaldo (bola sepak)




Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768