
KALAU disuruh berenang di kolam, pengacara, pelakon dan penyanyi Betty Benafe memang handal tetapi apabila diminta terjun ke laut, ia sesuatu yang menakutkan lantaran pernah melalui pengalaman hampir lemas di laut.
Bagaimanapun Betty merasakan satu cabaran buatnya tatkala melihat rakannya, Umi Aida yang tidak tahu berenang mampu melakukan selam skuba.
Betty yang sukakan acara lasak mengakui dia berani mencuba sesuatu yang menakutkannya dan selepas dipujuk Umi dan Zahida Rafik, Betty akhirnya mengambil keputusan mencuba kegiatan itu.
Begitupun, dia terlebih dulu perlu mengikuti kelas latihan asas senam skuba dan seterusnya mengambil ujian. Untuk melakukan aktiviti itu, Betty mendapat tunjuk ajar daripada pakar, Ahmad Kadir Nizaruddin dan Mior Azlan Adnan.
November lalu, Betty bersama rakan-rakan artis yang lain iaitu Umi, Zahida Rafik, Erra Fazira, Hans Issac, Harith Iskandar dan Aflin Shauki pergi ke Pulau Tioman untuk melakukan selam skuba dan dia berkesempatan melakukan 11 selaman sepanjang tempoh tiga hari.
“Ketika berada di atas bot untuk selam skuba kali pertama, saya menggigil. Bermacam-macam perasaan bermain dalam diri termasuk hendak menangis. Semasa di atas kapal, kami perlu terjun dengan cepat tetapi kerana saya, semua orang tersangkut.
“Tiba-tiba ada seseorang menolak saya dari belakang dan terus jatuh ke laut. Bagaimanapun ketika di atas permukaan air, instruktor menenangkan saya terlebih dahulu dan lepas itu, barulah saya terus berani dan dapat mengatasi rasa takut itu.

“Ketika di dalam laut, saya menyaksikan berbagai hidupan yang cantik dan berbagai spesis ikan termasuk ikan jenis bahaya dan ikan pari. Sekali gus membuatkan saya jadi kelam kabut tetapi ditenangkan Hans,” katanya yang menimba banyak pengalaman berguna menerusi aktiviti sukan air itu.
Menurut Betty, selepas tiga kali dia melakukan aktiviti itu, dia dapat mengimbangi pernafasan dan merasakan masalah resdung yang dihadapi sebelum itu berkurangan.
“Melihat keadaan dalam laut yang cantik juga membuatkan saya begitu menghargai khazanah alam itu,” katanya yang menyelam sehingga ke kedalaman 30 meter.
DATA
NAMA: Betty Ibtisam Abu Bakar Benafe
TARIKH LAHIR: 14 November
TEMPAT LAHIR: Johor Bahru, Johor
KELUARGA: Anak ketiga daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi Massa
KERJAYA: Pelakon dan Penyanyi
DRAMA: Nur Penyuluh Alam, Kiranya Ku Tahu, Dari Maisarah Ke Qistina Hijrahku, Sayangnya Liya,
FILEM: Buai Laju-laju, Haru Biru
ALBUM: Ibtisam
ATLIT IDOLA
Luar Negara
Martina Hingis (Tenis)
Tempatan
Quzir Ambak (Ekuestrian)
TAHUKAH ANDA?
Skuba (scuba) adalah singkatan daripada Self Contain Underwater Breathing Appratus, iaitu alat pernafasan bawah air. Ia mempunyai kandungan 21 peratus oksigen dan 79 peratus nitrogen yang diguna ketika berada di dalam air lebih 30 minit dengan kedalaman lebih lima meter.