Minat dalam bidang senaman timbul selepas mengikuti kursus kecergasan
SUATU ketika dulu, dunia Adila Idris hanya nyanyian dan berjaya mendapat tempat di kalangan peminat tempatan serta sangat aktif dengan persembahan pentas.
Bagaimanapun sejak akhir 1990an, dunia seninya mula berkurangan, sebaliknya Adila tampil dengan acara berbeza dan wajah lebih banyak ke udara pada sebelah pagi di RTM.
Adila kini aktif bergelar jurulatih kecergasan dan giat mengajar aerobik dan aktiviti kecergasan di sekitar Lembah Klang di samping tampil dalam rancangan Senam Sihat yang disiarkan setiap pagi di RTM.
Pembabitan Adila dalam aktiviti kecergasan bukannya sesuatu yang baru tetapi dia makin aktif sejak menjadi ahli Ladies Fitness Centre di Shah Alam.
Bermula sebagai ahli yang aktif mengikuti kelas aerobik, minat Adila semakin berkembang dan menyedari kecenderungan itu, pemilik kelab itu, Datin Seri Syarifah Sabrina Syed Akil mempelawanya mengikuti kursus kecergasan pada sekitar tahun 1998.
Minat yang mendalam dalam bidang itu bukan saja mendorong Adila mengikuti kursus sebaliknya turut menyertai konvensyen yang diadakan dalam dan luar negara.
“Karier saya sekarang ini bermula dengan menjadi ahli dan selepas sering mengikuti kelas aerobik, saya mula merasai keseronokannya lalu timbul minat untuk mendalami bidang ini.
“Walaupun bergelar jurulatih kecergasan, ada antara peserta yang mengikuti kelas menyedari saya pernah bergelar penyanyi. Ada juga yang meminta saya menyanyi ketika latihan diadakan.
“Saya aktif mengajar aerobik di Mal Gym di Shah Alam pada setiap Khamis,” katanya yang akan melancarkan album baru tidak lama lagi.
Kerana aktif sebagai tenaga pengajar kecergasan, Adila turut menjadi ahli jawatankuasa bagi Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM).
Adila yang sering mendapat undangan untuk menyanyi di majlis makan malam dan minum petang mengakui pembabitannya dalam bidang itu menjadikannya seorang yang aktif bersukan.
“Ketika di zaman persekolahan saya tidak aktif bersukan tetapi apabila terbabit dengan bidang ini dan menjadi ahli jawatankuasa WSFFM, saya mula cergas dalam sukan.
“Jika tidak ada aerobik, saya akan bermain badminton pada sebelah petang, berenang atau ada kalanya bermain bola jaring,” katanya.
DATA
NAMA: Fadzilah Idris
TARIKH LAHIR: 12 Oktober 1972
ASAL: Johor Bharu
KERJAYA: Jurulatih Kecergasan dan Penyanyi
ALBUM: Medley Popular, Janji Seorang Kekasih, 5 Ratu Dangdut dan Puncak Yang Satu
ATLIT IDOLA
Luar Negara
Maria Sharapova (Tenis)
Tempatan
Durratun Nashihin Rosli (Gimrama)