Memey gembira di meja snuker
Sebelum ini hanya bermain tanpa mengetahui peraturan sebenar permainan
TIADA lagi rasa segan dalam diri Suhaiza Suhaimi atau lebih mesra dengan panggilan Memey apabila diajak untuk bermain snuker kerana asas permainan itu sudah pun dimilikinya.
Memey yang pernah beberapa kali mencuba permainan itu sebelum ini hanya sekadar bermain tanpa mengetahui peraturan sebenar permainan itu.
Kesempatan yang diberikan epg dalam sesi fotografi untuk belajar bermain snuker ibarat ‘orang mengantuk disorongkan bantal’ buatnya.
Memey mendapat tunjuk ajar cara permainan yang betul daripada pemilik Pandan Indah Pool & Snooker, Iskandar Abdullah.
“Memey seronok diberi peluang belajar bermain snuker kerana ia satu pengalaman baru. Sebelum ini Memey sekadar mengikut rakan ke pusat snuker dan bermain secara suka-suka tanpa mengetahui syarat dan peraturan sebenar.
“Lebih menggembirakan kerana Memey mendapat tunjuk ajar daripada seorang yang profesional dalam permainan ini.
“Iskandar mengajar Memey langkah demi langkah cara permainan snuker, antaranya cara posisi badan iaitu kedudukan secara betul, fokus, memahami setiap warna bola.
“Walaupun masanya agak singkat iaitu kira-kira sejam, banyak yang dapat dipelajari,” kata pelakon remaja berusia 19 tahun itu.
Menurut pelakon yang turut mengacarakan rancangan Diari Anak Seni di RTM itu, dia seorang yang sukakan permainan bola jaring dan ketika zaman persekolahannya dia beraksi sehingga peringkat daerah dengan mewakili Kota Tinggi.
Dengan memiliki susuk tubuh yang tinggi, Memey bermain sama ada di posisi pertahanan atau penyerang dan berkata, seandai diberi peluang dia mahu beraksi di Fiesta Media Idola yang akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya, setakat ini dia pernah dipelawa oleh Berita Harian untuk bermain futsal dan masih belum memberi sebarang jawapan tetapi jauh di sudut hatinya, dia berharap diberi peluang bermain bola jaring.
DATA
NAMA: Suhaiza Suhaimi
TARIKH LAHIR: 25 Mac 1988
ASAL: Kota Tinggi, Johor
PENDIDIKAN: SPM
KERJAYA: Model, pengacara, pelakon
RANCANGAN: Diari Anak Seni Musim 4 & 5
DRAMA: Rahsia Sebuah Pengorbanan, Kalau Kasih Masih Ada, Jaringan, Karipap Istimewa dan Pontianak Air Jernih.
ATLIT IDOLA
Luar Negara
Christiano Ronaldo (Bola sepak)
Tempatan
Shalin Zulkifli (bowling)
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|