Pengalaman baru Karen
Memberanikan diri meluncur ais selepas memerhatikan dari jauh sebelum ini
SEMALAMAN Karen Tan tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan cabaran yang bakal dihadapinya apabila epg mengatur sesi fotografi sambil bermain luncur ais di Sunway Pyramid Ice.
Begitulah keadaan bintang Akademi Fantasia 4 (AF4) itu apabila diberi peluang mencuba sesuatu perkara baru. Bagi seorang yang tidak pernah menyertai sebarang aktiviti lasak, luncur ais dirasakan sangat sukar.
Lebih membimbangkan, dia sering juga terdengar kawan yang bercerita sambil menunjukkan bukti kesan lebam akibat terjatuh ketika bermain sukan itu.
Bagaimanapun kebimbangannya terlerai. Sebaliknya timbul keseronokan lebih-lebih lagi selepas diberi tunjuk ajar jurulatih luncur ais, Surayu Ismail.
“Bermain luncur ais adalah pengalaman baru buat saya. Sebelum ini saya sekadar menjadi pemerhati dari jauh saja sambil melihat keseronokan orang lain beraksi.
“Jujur saya akui, terdetik perasaan takut bimbang andainya jatuh akan mencederakan diri tetapi perasaan itu sama sekali hilang apabila diberi tunjuk ajar cara bermain dengan betul.
“Selain bimbangkan kecederaan, saya sebenarnya tidak tahan sejuk. Apabila diberitahu mengenai sesi fotografi ni saya terus bersedia dengan baju lengan panjang,” kata gadis pemalu itu.
Karen yang gemar mengisi masa lapangnya dengan bermain badminton mengagumi pemain negara, Muhammad Hafiz Hashim yang juga satu negeri dengannya.
Namun di sebalik rasa kagum terhadap bekas juara Seluruh England itu, dia juga kesal dengan prestasi pemain itu yang tidak begitu konsisten.
Selain bermain badminton, Karen juga gemarkan bowling dan sering meluangkan masa bersama beberapa artis AF lain seperti Khai, Rosma dan Shairi bermain sukan itu.
“Kalau bowling selalulah saya main. Lagipun di Kelantan, ada gelanggang bowling dan saya selalu meluangkan masa lapang bermain sukan itu.
“Tidak seperti luncur ais yang saya anggap agak asing kerana gelanggangnya hanya di Kuala Lumpur tetapi peluang mencubanya saya rasakan sangat berharga,” katanya penyanyi yang banyak memberi tumpuan kepada nyanyian lagu berirama asli itu.
DATA
Karen Tan
TARIKH LAHIR: 28 Ogos 1984
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
ADIK BERADIK: Bongsu daripada dua beradik
KERJAYA: Penyanyi
LAGU: Pelangi Cinta
ATLIT IDOLA
Tempatan
Muhammad Hafiz Hashim (Badminton)
Luar Negara
David Beckham (Bola Sepak)
Artikel lain:
|
|
Copyright
2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami
sebarang maklum balas
|
|