Cinta Haziq hanya pada kriket


JIKA tidak kerana Akademi Fantasia (AF4), pastinya Hazwan Haziq Rosebi atau lebih dikenali sebagai Haziq, masih lagi berpanas di bawah matahari menjalani latihan untuk menyertai Kejohanan Kriket Remaja di peringkat antarabangsa.

Sebelum bergelar penyanyi, kriket begitu sebati dalam diri Haziq, tidak hairanlah komitmen dan tumpuan penuh diberikan untuk sukan itu. Penyertaannya dalam kriket bukan sekadar suka-suka kerana dia adalah pemain skuad remaja negara.

PERNAH bergelar jaguh
kriket remaja kebangsaan
suatu ketika dulu.


Begitupun, komitmen yang padat terhadap AF membuatkan Haziq terpaksa melupakan seketika sukan yang amat dicintainya itu.

Di Oval Bayuemas, Pandamaran di Klang yang menjadi gelanggang latihan baru skuad remaja, ada terpampang beberapa gambar Haziq dan rakan sepasukannya ketika meraih pelbagai kejuaraan di peringkat remaja dalam dan luar negara.

Antara kejayaan yang pernah dijulang penyanyi irama tradisional itu ialah juara Kejohanan Jemputan di Perth Australia 2001, Kejohanan Kriket Melayu Antarabangsa di Cape Town, Colombo, Sri Lanka pada 2002 dan 2003.

Di peringkat kebangsaan, Haziq yang mewakili Johor pernah membantu pasukannya ke separuh akhir Sukan Malaysia 2004 (Sukma) Negeri Sembilan dan pernah dilantik menjadi kapten bagi pasukan remaja kebangsaan untuk skuad bawah 15 tahun.

Kariernya terhenti pada 2005 kerana ingin memberi tumpuan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tahun ini pula, dia menyertai AF.

“Saya mula bermain kriket sejak darjah lima selepas diperkenalkan guru sekolah ketika itu iaitu Cikgu Ahmad Nizam yang mengajak saya ke sesi pemilihan di mana saya kemudiannya terpilih mewakili Kluang, seterusnya mewakili Johor bagi kategori bawah 12 tahun.

“Sepanjang pembabitan dalam sukan kriket, saya beruntung kerana bapa memberi sokongan padu,” kata remaja berusia 18 tahun itu.

Haziq berkata, di Johor dia menjalani latihan di Oval Mutiara Rini dan turut hadir ke gelanggang Bayuemas untuk menjalani latihan dan perlawanan persahabatan.

Sambil melahirkan rasa rindu terhadap sukan ke sayangannya itu, Haziq ber harap dapat beraksi di masa akan datang biarpun mengakui agak sukar baginya untuk merebut semula tempat selepas sekian lama tidak berlatih. “Kalau dapat bermain untuk kejohanan jemputan pun, jadilah,”katanya.

DATA
HAZWAN HAZIQ ROSEBI


TARIKH LAHIR: 7 Januari 1988
ASAL: Kluang, Johor
PENDIDIKAN: SPM
ADIK BERADIK: Bongsu daripada empat beradik
KERJAYA: Penyanyi
LAGU: Gurindam Anak Muda


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768