Seni pilates pilihan Amber



SENAMAN pilates memberi kesan yang cepat
dalam membentuk tubuh yang menarik.

Model antarabangsa ini tidak mahu bergantung kepada ubat pelangsing

KERJAYA sebagai model yang memerlukannya banyak berjalan menggunakan kasut tumit tinggi sering kali membuatkan Amber Chia mengalami kesakitan di bahagian belakang.

Begitu pun, belenggu kesakitan yang sering dialami sebelum ini sedikit demi sedikit berjaya diatasi sejak dia mengamalkan senaman pilates beberapa bulan lalu.

Amber yang menjadi duta kepada Celebrity Fitness mempelajari seni senaman pilates di pusat kecergasan itu dengan mendapat bimbingan tenaga pengajar profesional.

“Untuk menjaga bentuk tubuh, saya tidak percaya kepada ubat pelangsing atau mengunjungi pusat pelangsingan badan, sebaliknya berpendapat bersenam adalah cara terbaik.

“Dengan bersenam, bukan saja dapat membuatkan seseorang itu cergas dan memiliki bentuk tubuh menarik tetapi juga raut wajah dapat memancarkan betapa sihat dan cerianya seseorang itu,” kata model bertaraf antarabangsa itu.

Menurut gadis berketurunan Cina dan Kadazan yang dilahirkan di Ipoh tetapi membesar di Sabah itu, sebelum menyertai kelas pilates dia terlebih dulu menyertai kelas yoga.


MENDAPAT tunjuk ajar daripada Tara Zewar.

Pengalaman menyertai kelas yoga memberikannya rasa lebih mudah apabila melakukan senaman pilates.

“Pilates sangat baik terutama bagi wanita kerana ia membantu seseorang itu membentuk tubuh menarik secara berkesan di samping mengatasi masalah kesihatan dengan lebih cepat, kira-kira dalam tempoh satu hingga dua bulan.

“Senaman ini nampak senang tetapi apabila melakukannya, ia tidak semudah disangka,” katanya yang turut menceburi bidang lakonan.

Amber yang mengamalkan senaman pilates sebanyak dua atau tiga kali seminggu gemar melakukan aktiviti itu bersama dua atau tiga rakan dalam satu kumpulan berbanding secara individu kerana ia tidak membosankan, di samping memberi lebih motivasi untuknya apabila melihat pelatih lain dapat melakukan aktiviti itu.

Apapun Amber tidak suka melakukannya dalam kelas yang terlampau ramai kerana tumpuan yang diberikan oleh tenaga pengajar agak berkurangan.

Ini kerana untuk melakukan pilates seseorang itu tidak boleh melakukannya sendirian, sebaliknya perlu mendapat bantuan daripada jurulatih.

DATA

NAMA: Amber Chia
UMUR: 24 tahun
TEMPAT LAHIR: Ipoh
KERJAYA: Model dan pelakon
Drama: Trio And The Bed (Astro)
FILEM: Possessed dan Darkness of Sea

ATLIT IDOLA

Tempatan
Wong Choon Hann (Badminton)

Luar Negara
David Beckham (Bola sepak)


Artikel lain:

Copyright 2008 Berita Harian Sdn. Bhd. All rights reserved. Emel kami sebarang maklum balas
Paparan terbaik dalam resolusi 1024 x 768